Friday, January 21, 2011

Lembaga disiplin PKR tentukan masa depan MP Gobalakrishnan

Gobalakrishnan berkata bahawa beliau tidak akan menjawab surat tunjuk sebab.
KUALA LUMPUR, 21 Jan – Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan berhadapan dengan risiko masa depan politiknya dalam PKR sementara lembaga disiplin dijangka bersidang dalam waktu terdekat ekoran kegagalan beliau menjawab surat tunjuk sebab berhubung tindakannnya mengecam teruk kepimpinan parti. Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan kepada The Malaysian Insider bahawa langkah seterusnya ialah lembaga disiplin bersidang untuk mendengar kes Gobalakrishnan yang gagal membalas surat tunjuk sebab sebelum 17 Januari lalu.
Wakil rakyat penggal pertama itu diberi surat tunjuk sebab pada 31 Disember lalu.
“Beliau enggan memberi respons kepada surat daripada kami meskipun kami menghantar surat kedua awal bulan ini dan melanjutkan tarikh untuk beliau menjawab,” katanya.
Kepimpinan parti pada awalnya memberikan masa selama seminggu untuk beliau menjawab surat tunjuk sebab 45 muka surat yang difaks ke pejabatnya pada 4 Januari lalu.
Ekoran aduan bahawa beliau memerlukan lebih banyak masa untuk menjawab, parti kemudian menghantar surat kedua bertarikh 10 Januari yang memaklumkan perlu menjawab sebelum 17 Januari.
Bagaimanapun kelmarin, wakil rakyat itu mengadu bahawa Saifuddin telah gagal menjalankan tugasnya sebagai setiausaha agung memandangkan surat kedua hanya diterima pada 17 Januari.
“Bagaimana mereka boleh mengharapkan saya menjawab surat pada 17 Januari sedangkan surat hanya tiba kepada saya pada 17 Januari,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran parti Kita yang diketuai Datuk Zaid Ibrahim.
Gobalakrishnan kemudian mengisytiharkan bahawa beliau tidak akan menjawab surat itu, tindakan yang dilihat akan membawa kesan ke atas beliau.
Susulan komen itu, Gobalakrishnan terus membidas kepimpinan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan presiden Azmin Ali menerusi Twitter.
Saifuddin menafikan beliau telah gagal untuk melanjutkan tarikh bagi Gobalakrishnan menjawab surat tunjuk sebab.
Kata beliau, pihaknya menggunakan kesemua saluran untuk memastikan Gobalakrishnan menerima notis berkenaan.
“Kami menghantar (notis) menerusi e-mel dan juga Daftar AR,” kata beliau.
PKR pernah memecat seorang ahli Parlimennya awal tahun lepas selepas kesnya didengar oleh lembaga disiplin.
“Beliau seorang celik IT, lihat beliau dalam Twitter ... jadi saya sangat pasti beliau telah menerima surat kami pada masanya,” kata beliau.
Saifuddin menambah, selaku ahli politik senior Gobalakrishnan seharusnya menerima tindakan susulan berhubung kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini.
“Bagi parti, kami hanya mengikut prosedur,” kata beliau.
“Sekarang beliau enggan dan telah gagal untuk membalas surat, jadi langkah seterusnya ialah beliau berhadapan dengan lembaga disiplin,” kata beliau lagi.
Lembaga disiplin menurut Saifuddin, akan menentukan masa dan tarikh untuk bersidang lalu mendengar kes Gobalakrishnan.
Gobalakrishnan merupakan salah seorang calon naib presiden yang kalah dalam pemilihan PKR yang baru berakhir.
Akhir bulan lalu, Gobalakrishnan meningkatkan kecaman dan kritikan ke atas Anwar dan Azmin serta menjawab ulasan pelbagai pihak tetapi menafikan akan keluar parti.
Ia membawa kepada andaian sesetengah pihak bahawa Gobalakrishnan juga akan keluar PKR mengikut beberapa bekas wakil rakyat parti itu.
“Mengapa mesti saya keluar parti, ini parti reformasi, kita mesti melakukan reformasi. Saya berada sejak awal penubuhan parti.
“Kami baru mengadakan pemilihan, saya memberi panduan kepada pemimpin-pemimpin yang baru ... saya memberikan pandangan ikhlas, itu sahaja,” katanya.
Dalam salah satu mesej Twitter bulan lalu, Gobalakrishnan berkata, “semua pimpinan PKR harus sedar saya tidak kecam parti, malah pimpinan yang tidak telus dan juga mereka yang tidak hormati rakyat.”
Satu lagi mesej pula berbunyi, “Anwar boleh pecat saya, mengkhianati saya, malah menghantar saya ke neraka. Tiada mengapa. Tolong buka (laluan ke) Kuil Siva (di Bukit Gasing, Petaling Jaya), yang dia tutup,” katanya.
Gobalakrishnan menambah, “saya telah melalui laluan yang ranjau, tetapi hasilnya hanya pengkhianatan Anwar (yang saya terima).”
Pada majlis pelancaran Kita kelmarin, Gobalakrishnan memuji tindakan Zaid, seorang lagi pemimpin yang meninggalkan PKR akhir tahun lalu.
Zaid bertanding jawatan timbalan presiden tetapi memutuskan untuk menarik diri di separuh perjalanan atas alasan proses pengundian cacat dan menyeleweng.
Gobalakrishnan menggambarkan Kita sebagai “parti yang cantik”, tetapi menegaskan akan kekal dalam PKR.

No comments:

Post a Comment