Tuesday, January 11, 2011

MB akan pilih calon BN Tenang

Naib ketua bahagian Labis juga kesal dengan kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahu seorang wanita menjadi calon BN 

PETALING JAYA: Umno bahagian Labis memilih sembilan nama untuk dicalonkan bagi bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Tenang, 30 Januari ini, kata naib ketua bahagian, Hashim Daud.
Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani selaku pengerusi BN negeri dan pengarah pilihanraya BN Tenang akan memilih nama calon BN tersebut.
Pemilihan sembilan nama tersebut dibuat dalam mesyuarat AJK Umno Labis yang dipengerusikan sendiri oleh Abdul Ghani kira-kira dua minggu lalu.
Mereka ialah Hashim, Rusdin Mahmud (timbalan ketua bahagian) , Haslinda Salleh (ketua wanita), Mohamad Kahiruy (ketua penerangan), Nurul Huda Marsidin (ketua puteri), Mansor Birat (ketua penerangan) dan tiga AJK bahagian iaitu Saadon Wardini  Omar Talib dan  Adam Nasrun.
Abdul Ghani, kata Hashim, mempunyai kuasa yang besar dalam pilihanraya ini termasuk pemilihan calon.
“Jika ada nama lain daripada yang dipilih oleh Umno bahagian bermakna ia adalah usaha peribadi mereka dan tiada kena mengena dengan kami,” katanya.
“Bahagian (Labis) tidak mempunyai kuasa untuk memilih calon kerana kuasa pemutus adalah di tangan Menteri Besar kerana beliau merupakan pengerusi perhubungan BN Johor.
“Malah setiap mesyuarat Umno Labis akan dihadiri oleh Abdul Ghani kerana beliau juga pengarah pilihanraya BN Tenang,” katanya.
Pilihanraya kecil Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha akhir November lalu.
Hashim menegaskan sembilan nama tersebut merupakan senarai yang diluluskan oleh Umno bahagian Labis.
“Jika ada nama lain, itu bukan tanggungjawab kami sebaliknya ia dilakukan sendiri oleh individu berkenaan mungkin atas dasar hubungan baik dengan pihak berkenaan.
“Kini terpulang kepada Ghani untuk memilih siapa sahaja calon BN untuk Tenang. Kita akan menerima pilihan beliau,” tambahnya.
Beliau juga menjelaskan laporan-laporan tertentu termasuk Umno bahagian memilih calon Wanita untuk Tenang bukan datang dari Umno bahagian Labis.
“Ia adalah pandangan mereka sendiri dan kami tidak bertanggungjawab dengan laporan sedemikian rupa,” katanya.
Sementara itu, Hashim kesal dengan kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahu Haslinda menjadi calon BN Tenang.
“Kalau saya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) saya sudah panggil Shahrizat untuk memberi penjelasan mengapa membuat kenyataan sedemikian rupa.
“Dia (Shahrizat) telah mendahului keputusan yang dibuat oleh pengerusi BN negeri sedangkan pengerusi BN negeri yang boleh mengumumkan calon di Tenang,” katanya.
Shahrizat, menteri wanita, keluarga dan masyarakat dilaporkan berkata, beliau membuat cadangan itu atas pertimbangan jumlah pengundi lelaki dan wanita sama ramai di Tenang.

No comments:

Post a Comment