Saturday, November 19, 2011

Buang Kakitangan Awam Jadi Agenda Sempit Umno BN

KETIKA desas-desus Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 bertiup kencang, Umno dan Utusan tidak heti-henti cuba menarah pengaruh DAP dalam Pakatan Rakyat. Usaha yang sama terus dilakukan mereka terhadap PAS dan KeADILan.

Peluang dan ruang diguna sepenuhnya bagi meragukan sokongan rakyat terhadap Pakatan. Apa jua isu yang dirasakan boleh "membeli" hati orang-orang Melayu, akan terus diputar semahunya tanpa rasa bersalah sekalipun ianya fitnah.

Minggu lalu, organ Utusan melaporkan kononnya DAP, apabila mendapat kuasa bersama Pakatan Rakyat, mahu mengurangkan jumlah kakitangan awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak cekap atau tidak produktif.

Tidak ada sebarang keganjilan dalam kenyataan yang dikatakan dilontar oleh DAP itu, kecuali jika dibaca majoriti besar kakitangan awam adalah orang Melayu. Maksud Utusan sangat jelas - jika Pakatan Rakyat berkuasa, maka kuasa politik orang Melayu akan terhakis.

Utusan meniup isu perkauman sempit. Mengurangkan kakitangan kerajaan bermakna "menerajang" orang Melayu, itulah yang cuba digambarkan mereka. Isu ini dimain setiap hari, bagi mengkucar-kacirkan sokongan orang Melayu terhadap Pakatan yang ada DAP di dalamnya.

Hal ini, sama ada munasabah atau tidak sama seperti fitnah Utusan pada masa lalu, kononnya DAP yang majoriti ahlinya kaum Cina berkepercayaan Buddhisme dan Taoisme dituduh mahu menubuhkan Negara Kristian - Utusan tidak peduli itu semua.

Kali ini, kakitangan awam dijadikan perisai manusia dalam meneruskan agenda politik kotor Utusan yang makin terdesak, tidak kira sama ada direstui oleh Umno-BN atau tidak. Itulah sahaja cara untuk mengoyakkan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan.

Bagi rakyat termasuk kakitangan awam yang mempercayai bulat-bulat dakwaan Utusan dan Umno ini, sewajarnya mereka bertenang, duduk sebentar dan gunakanlah akal fikiran menekuni propaganda Umno itu.

Apa yang dipetik Utusan tentang "kenyataan" Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua tentang saiz perkhidmatan awam sebenarnya adalah pandangan yang dikemukakan dalam dialog mengenai Bajet 2012 anjuran Pemuda DAP Johor di Johor Baru pada 31 Oktober lalu.

Pua menegaskan dasar kerajaan pada pertengahan 1980-an sewaktu Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri adalah untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam daripada sekitar 800,000 kepada 500,000. Yang dilakukannya ialah memperkenalkan dasar pengswastaan.

Utusan lupa ia antara akhbar yang ghairah menyokong Mahathir sehingga mencanangkan dasar pengswastaan itu baik untuk rakyat, khususnya orang Melayu. Utusan tidak pula menuduh usaha Mahathir sebagai "tak berasas", "tak rasional" dan "mempunyai agenda politik" sebagaimana yang dilontarkan kepada DAP sekarang.

Pua menjelaskan walaupun Mahathir yang membawa usaha mengurangkan saiz perkhidmatan awam, di hujung era pemerintahannya jumlah kakitangan awam terus meningkat sehingga menjadi lebih satu juta orang.

Apa masalahnya bila kakitangan awam terlalu ramai? Seperti yang berlaku di negara-negara komunis dan fasis yang menentang sistem pasaran, kerajaan terpaksa menyediakan semua pekerjaan dalam sektor awam kerana tiada banyak ruang untuk pihak swasta bergerak bebas.

Apabila saiz perkhidmatan awam terlalu besar, perbelanjaan mengurus melambung naik. Tidak ada cara lain kecuali dengan menaikkan cukai, sama ada cukai pendapatan, cukai korporat, cukai perkhidmatan telefon prabayar, perkhidmatan telefon bimbit, perkhidmatan TV satelit dan sebagainya untuk "menyara" perkhidmatan awam. Itulah yang dijelaskan Pua.

Jika Utusan tidak melihat apa-apa cacat-cela usaha Mahathir, mengapa DAP pula menjadi sasaran kerana menyuarakan perkara yang sama? Tidak lain dan tidak bukan kerana kaca mata Utusan hanya nampak warna kulit, kaum, ras dan bangsa.

Meskipun saiz perkhidmatan awam di Malaysia besar, ia tidak boleh dikecilkan oleh kerajaan yang memerintah dengan mudah kerana ada banyak peruntukan Perlembagaan yang menghalang.
Ekoran kekecohan yang timbul itu, PAS melalui Naib Presidennya, Sallahudin Ayub mengadakan sidang media menenangkan rakyat mengenai kontroversi yang dimainkan oleh Utusan itu.

Selain peruntukan-peruntukan yang disebut oleh Sallahudin, pengurangan atau pemberhentian kakitangan awam juga boleh menyentuh kedudukan istimewa Melayu, khususnya yang diperuntukkan Perkara 153(2), (3) dan (4).

Peruntukan-peruntukan tersebut menyediakan kuota jawatan tertentu untuk orang-orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Jumlah kakitangan awam, termasuk ATM dan polis ketika ini berjumlah sekitar 1.3 juta orang. Ia dianggap besar berbanding dengan negara-negara lain dan dilihat membebankan.

Secara perbandingan Jepun hanya mempunyai 3.2 peratus kakitangan awam berbanding dengan jumlah penduduknya. Sementara itu di Korea Selatan ia berada pada tahap 2.1 peratus manakala Singapura dan Taiwan masing-masing pada tahap 2.9 dan 3.7 peratus.

Malaysia sebaliknya mempunyai 4.68 peratus berbanding dengan 28 juta penduduk. Pada 2011 perkhidmatan awam memerlukan dana sebanyak RM45.6 bilion.

Apa yang boleh dilakukan untuk mengurangkan beban ialah mengecilkan saiz kabinet. Jumlah 30 orang menteri, tidak termasuk timbalan menteri dan setiausaha parlimen, adalah terlalu besar.

Sebenarnya, Perlembagaan tidak menetapkan saiz kabinet Persekutuan dan dengan jumlah kakitangan yang begitu besar jumlah menteri boleh dikurangkan. Bagi Malaysia, sekitar 20 orang menteri sudah amat mencukupi.

Sumber : Harakahdaily

No comments:

Post a Comment