Saturday, November 19, 2011

ISA: Pakatan Kata BN Bodohkan Rakyat,Hisham Dakwa 13 "Amat Bahaya"

 
KUALA LUMPUR, 19 Nov – Pakatan Rakyat terus mengecam penahanan 13 individu di bawah ISA di Sabah dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, sebagaimana disangka PAS dan kebanyakan rakyat, janji pentadbiran Najib sebenarnya hanya satu pembohongan terancang bagi memperbodohkan rakyat.

Bagaimanapun dalam kenyataan berasingan di Kluang hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan kumpulan 13 individu yang ditahan pihak berkuasa di Tawau awal minggu ini sebagai amat berbahaya kepada keselamatan negara dan serantau.

Menurut beliau, kumpulan 13 individu terbabit termasuk enam warga asing “tidak takut mati” dan “mahu mati jihad” amat berbahaya bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi seluruh rantau Asia Tenggara.

“Kumpulan ini tidak takut mati dan sememangnya mereka mahu mati dalam jihad,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Pemimpin di Felda Bukit Tongkat, Kluang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semberong menyifatkan isu penahanan 13 individu terbabit sebagai “amat serius” dan berkata, pada ketika ini mereka sedang ditahan di pusat tahanan di Tawau.


Hishammuddin juga berkata operasi penahanan 13 individu yang dilaksanakan oleh unit khas anti keganasan polis turut menemui sejumlah besar senjata api dan bahan letupan.

“Ada (senjata yang ditemui), bukan sedikit dan senjata itu dari (negara) luar,” katanya, membuktikan kumpulan individu itu amat berbahaya.

Menteri Dalam Negeri itu turut mendedahkan operasi yang dilaksanakan oleh 13 individu yang ditahan tersebut melibatkan tiga buah negara, tetapi beliau tidak mendedahkan ketiga-ketiga negara terbabit.

Beliau juga berkata, kumpulan terbabit juga menjadikan beberapa tempat dan individu sebagai sasaran mereka.

“Ia melibatkan tiga negara, dengan ada negara tertentu di mana mereka mendapatkan latihan ketenteraan, ada negara dijadikan tempat perancangan dan ada negara di mana tempat serta individu tertentu dilihat sebagai sasaran mereka,” katanya yang juga Naib Presidn Umno.


Dua hari lalu, Hishammuddin berkata beliau ke Indonesia untuk melihat dengan lebih dekat tentang rangkaian kumpulan ini di Malaysia dan negara-negara jiran.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri akan memerangi sebarang kegiatan keganasan secara bersungguh-sungguh dan tidak mahu ia dipolitikkan.

Dalam komennya di laman sosial Facebook, Nik Aziz (gambar) yang juga Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS berkata, “maka benarlah sangkaan PAS dan kebanyakan rakyat selama ini bahawa janji Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) untuk memansuhkan ISA sebenarnya hanyalah suatu pembohongan terancang bagi memperbodohkan rakyat Malaysia kononnya kerajaan Umno-BN ingin memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang paling demokrasi di dunia.”

“Namun pada hakikatnya Umno-BN masih tetap mengekalkan kezaliman, keangkuhan dan tetap sujud kepada talian hayat terakhir mereka iaitu akta kuku besi ISA bagi menakut-nakutkan rakyat supaya tunduk kepada Umno-BN,” kata beliau.

Sementara itu, Naib Presiden PKR N Surendran yang merujuk kepada kenyataan Hishammuddin berkata, justifikasi beliau itu tidak boleh diterima sama sekali dan bercanggah dengan janji dibuat oleh perdana menteri.

“Jika betul menteri ada bukti kukuh, mengapa tidak mendakwa di mahkamah terbuka?
“Penahanan ini membuktikan sikap tidak jujur perdana menteri dengan janji pembaharuan yang dibuat oleh beliau,” katanya sambil menambah, “pengumuman pembaharuan beliau hanya taktik murahan untuk menang undi pilihan raya umum.”

Katanya, Najib sebenarnya tiada niat untuk mengembalikan kebebasan asas yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Pendek kata Najib telah melakukan satu pembohongan besar menerusi televisyen ketika menjanjikan pembaharuan pada Hari Malaysia tahun ini,” katanya lagi.

Dalam usahanya mahu menjustifikasi penahanan tanpa bicara, kata Surendran, Hishammuddin juga berkata, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat ada undang-undang pencegahan untuk berhadapan dengan keganasan.

“Ini sesuatu yang memalukan, tindakan berbohong Hishammuddin mahu mengelirukan rakyat.


“Berbanding dengan Malaysia, Patriot Act tidak membenarkan rakyat Amerika Syarikat ditahan tanpa perbicaraan, hanya rakyat bukan warganegaranya boleh ditahan dan hanya sehingga tujuh hari.

(Sementara) peruntukan antikegagasan UK, Australia dan Kanada pula sangat terhad,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Surendran, kerajaan seharusnya membebaskan 13 individu terbabit dengan segera, menjanjikan bahawa tiada lagi tahanan di bawah ISA, memansuhkan dengan segera ISA dan undang-undang pencegahan yang lain dan menarik balik langkah mahu memperkenalkan dua undang-undang pengganti.

No comments:

Post a Comment