Monday, October 15, 2012

Mahathir buka mulut, undi Melayu untuk BN menurun


PAS melihat pengaruh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak langsung menjejaskan undi kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan datang.

                                                                                                                                                                      
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, Pakatan Rakyat tidak pernah risau apabila Dr Mahathir membuka mulut mengkritik apa sahaja yang beliau kehendaki.

"Saya melihat Dr Mahathir memang mempunyai pengaruh tetapi ia tidak langsung memberi kesan undi kepada mereka yang menyokong Pakatan Rakyat.

"Tetapi ia akan memberi kesan secara langsung kepada sokongan Umno Barisan Nasional," jelasnya kepada Harakahdaily.

Jelas Mahfuz, tindakan Dr Mahathir membuka mulut atau mengkritik sebenarnya menimbulkan kerisauan kepada pemimpin Umno.

Malah, mereka beranggapan setiap kali Dr Mahathir membuat kritikan sokongan yang mereka perolehi dari undi orang Melayu akan menurun.

"Kita lihat bagaimana Dr Mahathir mengkritik mengatakan pemberian BR1M adalah seperti membeli undi, dan ini secara langsung akan terus mengurangkan sokongan kepada Umno Barisan Nasional.

"Inilah yang dirisaukan oleh Umno apabila Dr Mahathir menyuarakan pendapat, mereka bukannya mendapat peningkatan sokongan malah semakin berkurang," kata beliau lagi.

Mahfuz yang menyatakan, pengaruh Dr Mahathir adalah penentu kedudukan pemimpin Umno di dalam parti mereka sendiri bukannya penentu kepada kedudukan Pakatan Rakyat.

"Pemimpin Umno perlu tahu, pengaruh Dr Mahathir adalah penentu kedudukan mereka pada pemilihan dalam Umno itu sendiri bukannya penentu kedudukan Pakatan Rakyat.

"Pakatan Rakyat tidak pernah risau apabila Dr Mahathir bersuara tetapi pemimpin-pemimpin Umno perlu risau kerana kedudukan mereka belum terjamin lagi," sambung beliau lagi.

Tambahnya lagi, setiap kali Dr Mahathir mengkritik sokongan kepada Pakatan Rakyat terus bertambah sama ada dari undi Melayu mahupun kaum-kaum lain.

Manakala, Umno terus tertekan untuk menepis setiap kritikan tersebut apatah lagi bila melibatkan keputusan yang dilakukan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional.

No comments:

Post a Comment