Monday, October 15, 2012

Tentera Assad lancar bom kluster


(Laporan Human Rights Watch  mendapati tentera kerajaan telah menjatuhkan  bom kluster di kawasan penduduk awam.)

 Kerajaan Syria telah menjatuhkan bom kluster buatan Rusia di kawasan awam pada minggu lalu dalam usaha mengambil kembali kawasan yang dirampas kumpulan penentang, menurut kumpulan pemantau Human Rights Watch.

Bom digugurkan dari kapal terbang dan helikopter, dengan banyak serangan mengambil tempat berhampiran lebuh raya utama utara-selatan yang melalui bandar barat laut Maarat al-Numan, dalam satu laporan Human Rights Watch yang dikeluarkan Ahad lalu.

Kumpulan penentang merampas Maarat al-Numan dari tentera Presiden Bashar al-Assad, minggu lalu, memotong laluan dari Damsyik ke Aleppo, bandar terbesar di Syria. Tentera kerajaan cuba untuk merebut kembali kawasan tersebut sejak perampasan berkenaan.

Human Rights Watch,  sebelum ini telah melaporkan bahawa Kerajaan Syria menggunakan bom kluster, yang telah diharamkan oleh kebanyakan negara, pada Julai dan Ogos lalu tetapi serangan terbaru ini menunjukkan keazaman kerajaan untuk mendapatkan semula kawalan strategik di barat laut Syria.

Bom kluster boleh menggugurkan ratusan bom di kawasan yang luas,  direka untuk membunuh orang sebanyak mungkin. Kumpulan hak asasi manusia mengatakan penggunaan bom kluster di kawasan penduduk awam boleh menjadi satu jenayah perang.

Lebih daripada 100 negara telah mengharamkan penggunaan, pengumpulan, pemindahan atau penjualan bom kluster di bawah konvensyen yang kemudian menjadi undang-undang antarabangsa pada tahun 2010, tetapi Syria tidak menandatanganinya, sama seperti Rusia, China dan Amerika Syarikat.

No comments:

Post a Comment