Sunday, June 23, 2013

Kes Husam: Juham kecam tindakan niat jahat PDRM


KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia menyelar proses penahanan  Naid Presiden PAS, Datuk Husam Musa semalam di bawah Akta Hasutan yang dilihat dilakukan secara mala fide (niat jahat) oleh PDRM.

Ekoran penahahan tersebut, sekitar jam 3.45 petang, pihak Juham telah bergegas dan mengambil tindakan segera menghantar pasukan peguam ke IPD Ampang bagi mewakili/membantu Husam dalam proses siasatan oleh PDRM.

Malangnya, kata Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi pihak peguam tidak sama sekali dibenarkan berjumpa Husam dan ini seterusnya menafikan hak beliau untuk berjumpa peguamnya.

Lebih teruk, katanya pada jam 6.00 petang, pihak peguam dimaklumkan bahawa Husam telah dibawa ke IPD Kota Baharu bagi tujuan siasatan lanjut tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada peguam yang menantinya di luar IPD Ampang.

“Mengapakah Husam tidak ditahan di Kota Baharu, jika PDRM mendakwa bahawa laporan polis terhadap beliau di bawah seksyen 4(1) Akta Hasutan telah dibuat di  Kota Bharu?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, Juham melihat penahanan itu mempunyai kaitan dengan penglibatan Husam dalam perhimpunan 505 yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.

“Juham menegaskan bahawa tindakan PDRM dalam perkara ini adalah berniat jahat (mala fide) dimana telah menafikan hak Husam berjumpa peguamnya.

“Tindakan ini diselar oleh pihak Juham dan ini menjustifikasikan pelanggaran pihak PDRM kepada peruntukkan undang-undang di bawah Kanun Prosedur Jenayah,” tegasnya.

Beliau menambah, tiindakan PDRM dilihat sebagai tindakan yang ‘bacul’ dan bersifat menyusahkan Husam dan pihak peguam.

Katanya, jika dilihat kepada tangkapan PDRM terhadap Datuk Tamrin dan Tian Chua sebelum ini di bawah Akta Hasutan, pihak Juham dibenarkan  berjumpa anak guam sejurus tangkapan dilakukan.

“Mengapa dalam kes Husam ini, tindakan sebaliknya dilakukan PDRM dan ini memperlihatkan PDRM sebagai tidak professioanl dan membelakangi undang-undang sedia ada,” ujarnya lagi.

Justeru, tegasnya pihak Juham menuntut pihak Ketua Polis Negara memberikan penjelasan yang konkrit berhubung tindakan anak buahnya yang dilihat sangat menjelekkan dan mencemarkan nama baik PDRM yang sedia diragui dan dipertikaikan.

“Pihak Juham tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan Semakan Kehakiman (Judicial Review) berhubung perkara ini,” tegasnya lagi.

No comments:

Post a Comment