Sunday, June 23, 2013

PRC UK seru rakyat luar negara desak reformasi SPR


Peserta bergambar kenangan bersama Dr Redzuan.

MANCHESTER: PAS Representative Council (PRC) United Kingdom dan Ireland menyeru rakyat Malaysia yang prihatin di luar negara bersama-sama dengan gabungan Pakatan Rakyat dan NGO di tanah air untuk terus mendesak pembaharuan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini disebabkan kegagalan suruhanjaya itu dalam mengendalikan pilihanraya yang adil dan bersih selama ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengerusinya, Jupri Bade ketika ditemui setelah selesai penganjuran Bicara ‘Pasca PRU13 – What’s Next’ bersama Pengarah UMCEDEL, Universiti Malaya Prof Datuk Dr Redzuan Mohamad Othman di Abraham Moss High School, Manchester.

“Jika kita lihat kepada hasil kajian yang dilakukan oleh UMCEDEL, selagi mana sistem pilihanraya dan persempadanan yang telus dan adil tidak terlaksana, selagi itulah Barisan Nasional akan terus memerintah negara,” katanya.

Bayangkan, ujar beliau BN hanya perlu sekitar 35 peratus daripada undi popular untuk mendapat majoriti mudah di Parlimen berdasarkan sistem pilihanraya yang ada sekarang.

“Ini amat mendukacitakan dan dengan jelas tidak menghormati semangat demokrasi dan pilihan majoriti rakyat,” tambahnya.

Beliau yang juga koordinator majlis berkenaan, yang dianjurkan oleh Persatuan Komuniti Malaysia Cheetham Hill Manchester (MCCH) itu turut mendesak agar Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meletak jawatan di atas kegagalan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan adil, termasuklah skandal dakwat tidak kekal.

“Beliau mesti bertanggungjawab di atas kegagalan ini dan meletak jawatan dengan serta merta.  Alasan-alasan yang beliau berikan bagi menutup kegagalan SPR selama ini kini terbukti hanya satu sandiwara yang tidak boleh disembunyikan lagi.

“Malaysia memerlukan SPR yang bebas,” tegasnya.

Beliau turut menambah bahawa PRC, sebagai wakil PAS di UK dan Ireland,  akan terus bekerjasama dengan semua pihak sama ada parti-parti politik, NGO, Pertubuhan Kebajikan mahupun persatuan masyarakat  untuk menganjurkan program-program yang boleh memberi manfaat kepada seluruh warga Malaysia di sini.

“Pendedahan kepada politik yang matang dan adil dalam konteks yang menyeluruh serta hak mendapatkan maklumat dari sumber  asal yang sahih merupakan antara perkara pokok yang diperlukan oleh rakyat di luar negara, bagi melahirkan warganegara dan pemilih yang akan membuat pilihan berdasarkan fakta dan bukan sentimen semata-mata, yang selama ini dinafikan,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment