Sunday, June 23, 2013

Tidak pernah tahu ada waran tangkap - isteri




Menteri Besar Kelantan berdoa di pekarangan IPD Kota Bharu. (Foto facebook)

KOTA BHARU: Selepas pulang dari Jordan pada malam 19 Jun lalu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa tidak pernah memberitahu ada waran tangkap terhadapnya.


Isterinya, Datin Rohana Abdul Rahman berkata, suaminya tidak pernah memberitahu ada waran tangkap terhadapnya dikeluarkan polis yang dikatakan bertarikh 20 Jun lalu.

“Cuma pada pagi Jumaat ketika beliau hendak bertolak ke Kuala Lumpur, Abang Sam ada cakap kepada Pakcik Man kali ini perjalanannya agak sukar.

“Pakcik Man kenalan keluarga kami memberitahu kepada saya, perjalanannya kali ini agak sukar tanpa pula ada waran tangkap,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menemui suaminya di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu di Pengkalan Chepa, hari ini.

Sebelum itu beliau ditemani adiknya menemui Husam kira-kira 10 minit di luar bilik lokap IPD. Turut berada pada pertemuan itu dua anggota polis.

Pada Khamis lalu akhbar Umno menyiarkan kenyataan bekas Ketua Penerangan Umno Kelantan, Mohd Nor Deris mahu pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Husam ekoran ucapannya, peserta 'Black 505' syahid sekiranya terkorban ketika menyertai perhimpunan berkenaan.

Husam ditahan ketika berada di Pandan sebelum menghadiri perhimpunan Black 505 di Padang Merbok. Selepas itu beliau dibawa ke IPD Ampang sebelum dibawa pulang dengan kenderaan ke Kota Bharu.

Rohana berkata, semalam jam 2 petang Husam menelefon hendak ke Padang Merbok bagi menghadiri perhimpunan Blackout.

“Kira-kira sejam kemudian ketika saya telefon beliau kata mahu ke Balai Polis Ampang pula,” katanya.

Beliau juga meluahkan rasa kesal kerana dihalang menemui suaminya malam tadi ketika kenderaan membawa Husam sampai di IPD Kota Bharu di Pengkalan Chepa.

“Semalam saya tidak boleh masuk langsung. Pada awalnya pihak polis berjanji boleh berjumpa dengan suami, namun selepas Abang Sam tiba tidak pula diberi.

“Hanya peguam dibenarkan masuk malam tadi. Saya hendak bawa anak pun tidak boleh. Polis kata mereka tidak mahu ganggu proses siasatan,” tambahnya.

Beliau juga berkata, suaminya memberitahu tahanan reman ke atas berakhir esok. Beliau tidak dapat tidur lena malam tadi.

Husam juga memakai baju warna oreng, sama tahanan lain dalam lokap.

“Beliau juga tidak dibenarkan menjamah makanan yang saya bawa jadi terpaksa dibawa balik. Abang Sam demam sejak balik dari sempadan Syria malam 19 Jun lalu.

“Dan tambahan pula keadaan jerebu di Kuala Lumpur sekarang,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa terharu di atas sokongan padu semua pihak kepada suaminya sepanjang berada dalam tahanan polis.

No comments:

Post a Comment