Sunday, December 15, 2013

Banjir: Puluhan juta kerugian peralatan sekolah di T’ganu

Banjir besar luar jangka yang berlaku di Terengganu terutama di daerah Kemaman memusnahkan banyak harta benda dan peralatan sekolah mengakibatkan anggaran kerugian bernilai puluhan juta ringgit.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata, taksiran sedang dijalankan terutama membabitkan peralatan pejabat seperti sistem komputer di sekolah seluruh daerah itu yang ditenggelami air banjir bermula, 2 Dis lepas.

"Jumlah kerugian sebenar kita belum peroleh kerana kerja-kerja pentaksiran harta benda dan peralatan sekolah yang musnah sedang dijalankan sekarang. Ia bukan kerugian setakat dua, tiga juta ringgit, tetapi menjangkau puluhan juta ringgit untuk kembali pulih kerana sistem yang rosak perlu diganti.

"Ia melibatkan kerosakan peralatan bilik darjah, sistem komputer, asrama, prasarana sekolah seperti longkang pecah dan sebagainya," kata kepada pemberita selepas menutup Persidangan Pengurusan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Bagaimanapun Ghazali berkata sesi persekolahan yang bermula bulan depan tidak akan terjejas kerana diramalkan banjir besar seperti yang dialami baru-baru ini, tidak berulang.

Katanya, lazimnya jika sudah berlaku banjir besar, maka banjir kecil yang  berlaku selepas itu hanya melanda kawasan rendah.

"Jadi untuk persediaan memasuki sekolah dalam masa dua minggu akan datang ini, Kementerian Pendidikan dan jabatan pelajaran negeri sudah ada pelan tindakan iaitu memastikan pada Januari ini, semua sekolah di negeri ini dapat beroperasi seperti biasa, sebagaimana dijadualkan," katanya.

Menurut beliau, kerosakan peralatan sekolah seperti kerusi, meja dan buku-buku teks, pihak sekolah boleh mendapat bekalan dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) yang tidak terlibat banjir.

Jelas Ghazali, kerugian yang dialami oleh sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan, akan diuruskan kerajaan pusat manakala sekolah di bawah naungan kerajaan negeri, akan dibaik pulih kerajaan negeri. - Bernama

No comments:

Post a Comment