Thursday, February 27, 2014

PP terus mohon walaupun Pusat tidak lulus Skim Bekalan Air dari Sg Perak: LGE


BeritaWalaupun Kerajaan Pusat tidak meluluskan permohonan cadangan Skim Bekalan Air Mentah dari Sungai Perak ke Pulau Pinang bagi menjamin keperluan air di negeri itu mencukupi selepas 2026, kerajaan negeri tetap akan terus memohon agar dipertimbangkan semula.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kejayaan Pulau Pinang menghadapi musim kemarau ketika ini dengan tidak mengadakan sebarang catuan air tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak meluluskan permohonan itu.

Katanya, alasan yang diberikan Kerajaan Pusat untuk menolak cadangan itu kerana mendakwa sumber air mentah di negeri itu mencukupi sehingga 2030.

Menurutnya, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximum Ongkili dalam suratnya bertarikh 18 September 2013 menolak permohonan kerajaan negeri bertarikh 18 Jun 2013 yang meminta projek itu disegerakan sepertimana dalam perjanjian penghijrahan aset air yang ditandatangani kedua-dua pihak pada 2011.

Menurut beliau, kejayaan Pulau Pinang menghadapi musim kemarau ketika ini dengan tidak mengadakan sebarang catuan air mungkin menyukarkan permohonan melaksanakan skim bekalan air dari Sungai Perak diluluskan.

“Walaupun permohonan itu ditolak, kemampuan kerajaan negeri menangani krisis kemarau tidak harus dijadikan alasan untuk tidak mengikuti syarat persefahaman yang dipersetujui sebelum ini.

“Oleh itu, kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus meminta agar skim bekalan air ini diteruskan bagi menjaminkan masa depan generasi selepas 2026,” katanya dalam kenyataan media di Komtar, semalam.

Dr Maximus Ongkili menolak skim bekalan air berdasarkan beberapa alasan termasuk sedang melaksanakan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang membabitkan kos RM1.4 bilion yang menjadi sebahagian daripada Skim Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Pulau Pinang yang dimeterai di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

* Projek itu kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2016 yang akan meningkatkan kapasiti air mentah sedia ada sebanyak 198 juta liter sehari (JLH) dan mampu membekalkan air ke seluruh Pulau Pinang sehingga 2026.

* Di samping pelaksanaan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang, Program Pengurusan Permintaan Air (Water Demand Management) yang komprehensif juga perlu diberi tumpuan bagi memastikan penggunaan bekalan air mentah secara berhemat di Pulau Pinang.

* Cadangan itu berasaskan penggunaan air per kapita bagi negeri Pulau Pinang adalah yang tertinggi di negara ini iaitu sebanyak 285 liter/kapita/hari berbanding purata nasional sebanyak 210 liter/kapita/hari. Penggunaan air per kapita yang tinggi ini mendorong kepada pengabstrakan air mentah yang berlebihan untuk dirawat oleh operator air.

* Kerajaan Pusat juga yakin bekalan air mentah di Pulau Pinang mencukupi sehingga 2030 jika mengawal penggunaan air per kapita ke tahap yang munasabah serta mengoptimumkan penggunaan air Empangan Mengkuang iaitu ke paras 250 liter/kapita/hari bagi kawasan bandar dan 240 liter/kapita/hari bagi kawasan luar bandar

* Cadangan melaksanakan Projek Skim Bekalan Air Mentah dari Sungai Perak/Kerian ke Pulau Pinang dianggap masih terlalu awal untuk dipertimbangkan dan meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Perak untuk mendapatkan persetujuan sebelum Kementerian memperakukan semula cadangan itu pada Rancangan Malaysia yang akan datang.

* Selain itu, Kerajaan Pusat juga tidak dapat mempertimbangkan cadangan itu buat masa ini kerana mempunyai keutamaan yang lebih mendesak untuk melaksanakan projek lain.-

No comments:

Post a Comment