Thursday, February 27, 2014

Rumah: Pahit getir kumpulan pertengahan Lembah Klang

Minggu lalu, penduduk di Lembah Klang dikejutkan dengan Kajian Indeks Pendapatan Isi Rumah yang dijalankan oleh Sime Darby Property Bhd bersama dengan kerjasama Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya (UM), yang menyatakan bahawa rata-ratanya pendapatan isi rumah bulanan RM14,580 diperlukan bagi memiliki sebuah rumah di Lembah Klang atau, secara spesifik, RM12,300 di Kajang dan seumpamanya. Tambahan pula, kajian turut mendapati bahawa sesetengah penduduk di kawasan-kawasan tersebut berkemampuan untuk memiliki kediaman yang bernilai 56 kali ganda gaji mereka, dan juga mampu menampung perbelanjaan sehingga 26 kali ganda pendapatan isi rumah bulanan mereka bagi bayaran gadai janji!

Kajian mengenai trend perbelanjaan isi rumah semasa, harga rumah dan kadar gadai janji tersebut dilancarkan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, dan ia dikatakan bertujuan menentukan indeks berdasarkan lokasi untuk menggambarkan tahap mampu milik melibatkan 12 kawasan di sekitar Lembah Klang, termasuk Subang Jaya, Putra Height, Ara Damansara, Mont Kiara, Kajang, Nilai, Bukit Jelutong, Denai Alam, Bandar Bukit Raja dan Subang.

Selepas timbulnya kekeliruan dan juga kritikan di kalangan masyarakat, Sime Darby Property Berhad tampil menjelaskan bahawa kajian indeks tersebut adalah untuk memberi maklumat kepada akses perumahan, khususnya bagi penduduk Lembah Klang yang ingin menaik taraf atau melabur dalam rumah kedua. Menurut pihak Sime Darby Property Berhad, seramai 1,529 responden dengan 1,183 orang di antaranya merupakan pemilik rumah di kawasan terpilih, dengan pendapatan purata RM14,580 yang diperlukan untuk memiliki kediaman di Lembah Klang. Kajian ini tidak mencerminkan tahap pendapatan purata Negara. Lebih-lebih lagi, kajian tersebut tidak melibatkan pembeli rumah kali pertama, dan ia juga tidak merangkumi aspek perumahan mampu milik.

Kemelut Kumpulan Pertengahan 40% yang terpinggir

Sementara penjelasan diberi bagi meredakan kritikan, Kajian Indeks Pendapatan Isi Rumah, walau bagaimanapun, telah mendedahkan trend harga perumahan yang kian melonjak tinggi, terumatanya di kawasan Bandar.

Badan pemikir, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, kajian indeks yang hanya boleh diambil sebagai rujukan oleh golongan berpendapatan tinggi tersebut bukan sahaja gagal mencerminkan tahap pendapatan rakyat Malaysia, seperti yang diakui oleh pihak Sime Darby Property Bhd, malahan memberi ruang kepada spekulasi yang bakal menyebabkan harga rumah di kawasan-kawasan tersebut membumbung tinggi.

Bagi kumpulan yang berpendapatan tinggi, sudah tentu mereka berpeluang lagi berkemampuan untuk menaiktaraf rumah yang sedia ada atau melabur dan membeli rumah yang kedua atau selebihnya; ini juga rasional syarikat atau korporat besar yang menetapkan sasaran mereka pada kumpulan berpendapatan tinggi 20% untuk memacukan pertumbuhan jualan dan keuntungan syarikat masing-masing.

Namun, menyedihkan sekali, 40% kumpulan pertengahan – di mana pendapatan isi rumah bulanan mereka masih berada dalam lingkungan kurang daripada RM5,000 secara purata, berkemungkinan besar tidak berpeluang untuk memiliki sebuah kediaman di kawasan Lembah Klang, seperti yang disenaraikan.

Menurut Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2012,  pendapatan isi rumah bulanan purata di kawasan Bandar pada tahun 2012 ialah RM5,742, meningkat 6.6% berbanding dengan RM4,705 yang dicatat pada tahun 2009. Apabila ditelitikan pendapatan isi rumah bulanan purata masing-masing di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor, agar lebih sesuai dibandingkan dengan Kajian Indeks Pendapatan Isi Rumah yang dikemukakan bagi memiliki kediaman di Lembah Klang, pendapatan isi rumah bulanan purata di negeri-negeri tersebut pun masih belum mencatat pendapatan seperti yang dinyatakan oleh Sime Darby Bhd dan Fakulti Alam Bina, UM.
Jadual: Pendapatan isi rumah bulanan purata dan kadar pertumbuhan tahunan purata mengikut 
negeri, Malaysia, 2009 dan 2012
Negeri
2009
2012
Kadar Pertumbuhan Tahunan Purata (%)
W.P. Kuala Lumpur
5,499
8,586
14.9
W.P. Putrajaya
6,747
8,101
6.1
Selangor
5,962
7,023
5.5
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

Nyatanya, pendapatan isi rumah bulanan purata seperti yang dibentangkan tersebut hanya sesuai diambil sebagai rujukan oleh kumpulan pendapatan tertinggi, iaitu golongan 20% teratas di Malaysia, di mana pendapatan isi rumah bulanan purata mereka mencecah jumlah lebih daripada RM12,000.
Jadual: Pendapatan isi rumah bulanan purata bagi kumpulan pendapatan tertinggi 20%, 
pertengahan dan terendah 40%, Malaysia, 2009 dan 2012
Kumpulan Pendapatan
2009
2012
Tertinggi 20%
9,987
12,159
Pertengahan 40%
3,631
4,573
Terendah 40%
1,440
1,847
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia
Bagi kumpulan pendapatan pertengahan 40%, harapan bagi memiliki kediaman idaman adalah agak sukar direalisasikan, memandangkan gaji tidak dinaikkan selari dengan peningkatan harga rumah. Maka, pilihan adalah terhad: sama ada sewa rumah ataupun membeli rumah mampu milik. Sememangnya, kerajaan pusat telah melancarkan dan melaksanakan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dikatakan untuk merancang, membangun, membina dan menawarkan perumahan mampu milik bagi penduduk Bandar berpendapatan sederhana, iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 hingga RM7,500. Namun demikian, kemajuan pembinaannya terlalu lambat bagi menampung keperluan rakyat berpendapatan sederhana. Dalam persidangan Dewan Rakyat yang lalu, apabila ditanya tentang pelaksanaan projek PR1MA sama ada sasaran kerajaan untuk pembinaan 80,000 unit rumah mampu milik dapat dicapai menjelang akhir tahun 2013, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim pula cuba berdalih bahawa proses pembinaan adalah begitu rumit, dan projek pembinaan bagi sebanyak 44,223 unit rumah PR1MA daripada sasaran 80,000 unit telah diluluskan di seluruh Negara setakat 30 September 2013. Diluluskan tidak sama dengan siap dibina! Persoalannya, berapakah unit rumah mampu milik di bawah PR1MA yang telah disiapkan dan sedia dipindah masuk?

Ironi sekali, kumpulan pertengahan 40% tersebut yang berkemungkinan masih belum memiliki rumah sendiri pula terpaksa menyumbangkan cukai bagi menampung penggunaan utiliti elektrik dan air untuk kediaman rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mencecah kira-kira RM2.5 juta (RM2,237,788.13) pada tahun 2012! Jumlah bayaran bil tenaga elektrik dan air bulanan bagi Kompleks Seri Perdana di Putrajaya itu adalah sekitar 40 kali ganda pendapatan isi rumah purata bulanan bagi kumpulan pendapatan pertenghan tersebut!

Sememangnya, inilah elegi atau pahit getir yang penuh dengan rintihan dan keluhan rakyat jelata yang bertungkus-lumus demi kehidupan. Sebaliknya, terdapat pula pemimpim-pemimpin rakyat yang cukup bertuah menikmati keselesaan dan kemewahan. Misalnya, pemimpin UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo memiliki sebuah ‘Istana gaya Bali’ di kawasan seluas 50,000 kaki persegi di Shah Alam, yang didakwa anggaran kos pembinaannya mencatat RM20 juta, manakala tanah pula dibeli dengan harga RM3.8 juta. Ketua Wanita UMNO, keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil juga pernah didedahkan pada Disember 2011 dan Feburari 2012 bahawa mempunyai 3 kondominium mewah di Singapura, sejumlah RM44.5 juta.

Kumpulan Pertengahan 40% yang tertekan

Sementara kumpulan pendapatan terendah 40% di Malaysia berpeluang menikmati Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang ditawarkan oleh kerajaan BN, meskipun bantuan tunai secara one-off tersebut dikatakan kurang berkesan dan kurang konstruktif dalam menangani kemiskinan dalam jangka panjang; kumpulan pertengahan 40% diketepikan juga, semata-matanya pendapatan isi rumah mereka melepasi garis takrifan kerajaan, di mana pendapatan kasar isi rumah penerima BR1M haruslah tidak melebihi RM3,000 dan yang terkini, termasuk golongan berpendapatan isi rumah antara RM3,000 dan RM4,000.

Dalam era yang terhimpit dengan tekanan barang naik, bukan sahaja kumpulan pendapatan terendah 40% sahaja yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, malahan kumpulan pendapatan pertengahan turut berdepan dengan tekanan besar. Sejauh mana golongan berpendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM4,000 mampu menanggung perbelanjaan seharian, khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan Bandar di mana kos kehidupannya lebih tinggi dan begitu membebankan?

Maka, wujudnya golongan yang digelar “pekerja miskin” (working poor). Konsep kemiskinan pekerja diperkenalkan terlebih dahulunya oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organization, ILO), dan secara umumnya, ia merujuk kepada individu makan gaji yang tidak dapat menampung perbelanjaan seharian isi rumah, dan terperangkap dalam kemiskinan.

Pembangunan dan perkembangan pesat yang disanjung tinggi, walau bagaimanapun, gagal membasmi kemiskinan dan menawarkan kehidupan selesa kepada setiap orang di sudut sedunia ini, seperti yang dijanjikan. Negara maju, seperti Amerika Syarikat (AS), turut menghadapi masalah kemiskinan di kalangan golongan pekerja bergaji, malahan terdapat kajian yang menunjukkan bahawa masalah pekerja miskin adalah paling serious di AS.

Menurut kajian Brady, Fullerton, dan Cross pada tahun 2010, kadar kemiskinan di kalangan golongan pekerja di AS adalah lebih tinggi daripada kadar kemiskinan di kalangan golongan yang tidak berpekerjaan, dan kadar tersebut adalah yang tertinggi berbanding dengan Negara-negara Eropah maju.

Kira-kira 46 juta warga di AS, atau 15% daripada populasinya, menjalani kehidupan di bawah garis kemiskinan pada tahun 2011. Lebih kurang 10.4 juta daripada mereka boleh dikatakan sebagai pekerja miskin – yang mana golongan tersebut memang digaji, atau mencari kerja sekurang-kurangnya setengah tahun, tetapi masih berada di bawah garis kemiskinan.

Dengan kata lain, gaji yang diperolehi oleh pekerja miskin tidak mencukupi bagi membiayai kos asas kehidupan. Golongan pekerja miskin mencakupi 7% daripada tenaga buruh AS pada tahun 2011, meningkat daripada 5.1% pada tahun 2007. Antara 4.4 juta daripada sejumlah 10.4 juta pekerja miskin bekerja sepenuh masa, manakala 14% pekerja miskin yang lain pula ialah pekerja separuh masa.

Apakah situasi sebenar di Malaysia? Isu pekerja miskin masih tidak mendapat perhatian serius, terutamanya daripada pihak kerajaan pusat. Tiada data dan statistik rasmi daripada jabatan kerajaan tentang bilangan pekerja yang menjalani kehidupan mereka di bawah garis kemiskinan, meskipun dengan adanya Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), iaitu pendapatan atau keperluan minimum yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah bagi memenuhi keperluan asas makanan dan bukan makanan bagi setiap ahlinya, yang digunakan untuk mengenalpasti bilangan isi rumah miskin dan mengukur insiden kemiskinan. Jadual terpapar berikut ialah PGK semasa mengikut wilayah.
Jadual: PGK semasa (mengikut wilayah)
Wilayah
Miskin
Miskin Tegar
Isi Rumah (RM)
Per Kapita (RM)
Isi Rumah (RM)
Per Kapita (RM)
Sem. Malaysia
760
190
460
110
Bandar
770
200
450
120
Luar Bandar
740
170
490
110
Sabah & Labuan
1,050
230
630
130
Bandar
1,020
230
590
130
Luar Bandar
1,080
230
670
140
Sarawak
910
210
590
130
Bandar
940
210
600
130
Luar Bandar
880
210
580
130
Sumber: Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri

Mengikut Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2012, kadar kemiskinan di Bandar dan luar Bandar adalah masing-masing 1.0 dan 3.4 pada tahun 2012, manakala kadar kemiskinan tegar di Bandar dan luar Bandar pula berada pada paras 0.1 dan 0.6. Sememangnya, kadar kemiskinan seperti yang dilaporkan tersebut boleh dikatakan agak rendah, dan pada hakikatnya, kemiskinan dalam erti kata sebenar telah pun berjaya dikurangkan. Persoalannya, sejauh manakah kadar kemiskinan dan garis panduan berhubung takrif kemiskinan tersebut mencerminkan realiti semasa? Apakah tekanan akibat terhimpit dengan kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan yang dihadapi oleh penduduk di Bandar dan di kawasan luar Bandar ada perbezaannya?

Pada pandangan KPRU, garis panduan PGK dan garis kemiskinan harus disemak semula agar lebih realistik untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku di kalangan kumpulan berpendapatan pertengahan 40% daripada sosioekonomi. Khususnya, tumpuan perlu diberi terhadap usaha menangani kemiskinan Bandar yang diburukkan lagi oleh pelbagai isu yang belum selesai seperti peningkatan ketidaksamarataan pendapatan dalam konteks inflasi, kes jenayah yang berleluasa, serta kemudahan awam dan rumah mampu milik atau rumah pangsa kos rendah yang belum mencukupi.

Sesungguhnya, KPRU berpendapat, jurang antara realiti dan perolahan statistik kerajaan adalah begitu besar sekali.

Hutang isi rumah mencatat tahap tinggi

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, hutang isi rumah kini telahpun mencecah 85.7% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),  antaranya hutang membeli rumah adalah yang tertinggi, iaitu sebanyak 44.3%, diikuti hutang kenderaan 17.3% dan hutang peribadi 16.8%. Meskipun kadar hutang isi rumah terus meningkat, Ahmad Maslan pula tidak mengambil kira isu tersebut sebagai satu perkara yang merunsingkan kerana menurutnya, pinjaman tidak berbayar (NPL) kini berada pada tahap 1.4% berbanding 98.6% yang membayar mengikut masa yang ditetapkan.  Kenyataannya mencerminkan ketidaksungguhan kerajaan dalam menangani kemelut rakyat jelata, malahan cuba melarikan diri daripada kewajipan sesebuah kerajaan dalam membekalkan kebajikan dan membawa kesejahteraan kepada rakyatnya.

KPRU berpegang teguh pada pendiriannya bahawa masalah ini tidak patut dipandang ringan, kerana soal pokok rakyat Malaysia terjebak dalam masalah hutang masih tidak terjawab. Pada Disember lalu, Standard & Poor (S&P) turut membunyikan penggera berhubung peningkatan hutang isi rumah dalam Negara di samping kenaikan harga rumah, dan menekankan bahawa trend sedemikian berkemungkinan menyumbang kepada ketidakseimbangan ekonomi, maka unjuran kredit bagi empat bank dalam Malaysia diturunkan. Apakah ini bukan perkara yang membimbangkan?

Secara umumnya, sesetengah pihak menuding jari terhadap golongan yang terbelenggu dengan hutang keliling pinggan bahawa gaya perbelanjaan mereka tidak berhemah atau kekurangan pengetahuan pengurusan kewangan dan kredit. KPRU tidak menafikan sebab-sebab yang dilontarkan tersebut, tetapi apa yang harus diberi perhatian dan penekanan di sini ialah: hutang isi rumah berkait rapat dengan kemiskinan golongan pekerja berpendapatan.

Pada pendapat KPRU, salah satu jalan penyelesaian adalah melalui pewujudan pekerjaan yang berproduktiviti. Cadangan ini juga selaras dengan ILO bahawa dengan hanya mewujudkan pekerjaaan tidak dapat mengangkat pekerja daripada kemelut kemiskinan; apa yang diperlukan ialah produktiviti pekerjaan. Peningkatan produktiviti, secara idealnya, dapat meningkatkan gaji, membolehkan pekerja mendapat balik gaji yang setimpal atau lebih tinggi di samping mengurangkan masa kerja. Peningkatan produktiviti juga bermakna akan memberi ruang kepada kemajuan teknologi, pembangunan infrastruktur, pertumbuhan pelaburan, peningkatan kualiti modal manusia, pembekalan sistem pendidikan dan kesihatan, serta sebagainya. 

Pelaksanaan GST memberi tamparan kuat kepada kelas menengah

Sudah menjadi kelaziman bahawa 40% kumpulan pendapatan pertengahan di Malaysia dipandang sebagai golongan yang berpendidikan dan maka lebih berdikari dalam mencari nafkah untuk menyara kehidupan diri sendiri dan keluarga masing-masing, berbanding dengan kumpulan yang berada pada peringkat terbawah dalam sosioekonomi. Justeru, kesusahan kelas menengah ini pun diabaikan. Sesungguhnya, dalam zaman “Barang Naik” ini, tiada mana-mana pihak dapat melarikan diri daripada impaknya, perbezaannya sekadarnya tahap kesan yang dialami. Bagi golongan yang terhimpit di tengah dalam struktur sosioekonomi ini, kesannya adalah ketara sekali. Tambahan pula dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai April tahun 2015, 40% kumpulan pendapatan pertengahan ini bakal menghadapi tamparan bertubi-tubi sekali lagi.

Pendek kata, KPRU menggesa pihak kerajaan pusat agar memberi perhatian serious terhadap masalah kemiskinan di kalangan kumpulan tersebut sebelum menjadi parah, terutamanya sebelum pelaksanaan GST yang dijangka bakal memburukkan lagi situasi golongan tersebut, termasuk penduduk di Kajang.

No comments:

Post a Comment