Tuesday, March 4, 2014

Isu penghakiman ingkar: Jangan undang salah faham

Seluruh ahli PAS dinasihatkan supaya mengambil sikap bertenang dengan isu perintah penghakiman ingkar berhubung saman fitnah RM2 juta ke atas Tuan Guru Presiden.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, ahli-ahli PAS tidak wajar mengeluarkan pandangan yang hanya mengundang salah faham sekaligus menjejaskan kestabilan parti dan Pakatan Rakyat.

"Saya percaya ahli-ahli PAS matang menghadapi isu ini kerana bukan sekali kita diduga dengan masalah dan perbezaan pandangan. 

"Kecenderungan mereka untuk memberi pendapat itu pun tanda mereka prihatin dan sayangkan PAS tetapi tiba satu peringkat lebih molek serahkan pada tindakan selanjutnya di pihak pimpinan," katanya kepada Harakah.

Beliau turut memberi jaminan kontroversi di sebalik tindakan mahkamah oleh bekas calon KeADILan Dun Bukit Besi, Dungun, Mohd Shamsul Mat Amin ke atas Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu sedang diselesaikan dengan kaedah terbaik.

"Saya menyeru semua ahli PAS agar tidak melatah sebaliknya kembali terus bekerja kepada parti dan Pakatan Rakyat seperti biasa.

"Apa lagi, pada musim menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang ini. Kita harus jangan hilang fokus," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan kes tersebut tidak melibatkan parti sebaliknya lebih kepada atas kapasiti individu. 

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Pusat, Asmuni Awi berkata, Presiden mempunyai beberapa bukti kukuh untuk mengetepikan tuntutan tersebut.

"Tambahan pula kes ini hanya kes biasa yang kerap terjadi dan hanya perlu dilalui mengikut proses biasa di mahkamah," katanya.

No comments:

Post a Comment