Tuesday, March 4, 2014

Gerakan Suara Orang Kampung dibawa ke ibu negara


Gerakan Suara Orang Kampung bagi membela nasib petani, penternak dan nelayan akan dilancarkan pada Khamis, 6 Mac ini.

Menurut pengarah gerakan tersebut, Sulaiman Ibrahim pelancaran tersebut akan diadakan di hadapan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, dekat sini pada jam satu tengah hari, bersesuaian dengan waktu makan tengah hari bagi pekerja pejabat.

Beliau berkata, setakat ini lebih 200 wakil pekebun kecil, penternak dan nelayan menyatakan kesediaan menghadiri himpunan tersebut.

Himpunan yang mendapat sokongan Pemuda PAS Malaysia itu akan diisi dengan penerangan isu getah dan perarakan ke Bangunan Lembaga Getah  bagi menyerahkan memorandum mengenai isu harga getah yang tidak stabil.

"Kami akan cuba membawa lebih ramai wakil pekebun kecil, penternak dan nelayan ke himpunan tersebut bagi menyuarakan permasalahan mereka.

"Mereka akan berpakaian yang menunjukkan identiti masing-masing termasuk membawa alatan asas untuk menoreh, berkebun dan turun ke laut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Tambah beliau lagi, penyerahan memorandum akan diiringi Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat.

Sebelum ini, Pemuda PAS Malaysia mencadangkan kerajaan memperuntukkan sejumlah subsidi kepada penoreh getah sebagai penyelesaian jangka pendek sementara proses kajian dan semakan yang lebih terperinci dijalankan bagi mengatasi masalah kejatuhan harga getah.

Pemuda PAS juga mendesak kerajaan bertindak segera merangsang usaha penyelidikan menghasilkan produk berasaskan getah untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment