Monday, October 15, 2012

Ingatkan Najib tentang Soros: Terima kasih Muhyidin


(Pertemuan Soros dan Najib tidak perlu jika benar apa yang dicanangkan oleh tukang kempen BN)
  
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana mengingatkan Perdana Menteri bahawa bantuan George Soros "tidak membantu negara".

Ketika menyokong apa yang didakwanya sebagai peringatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tentang Soros, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, adalah satu perkara bahaya jika tidak disedari peranan jutawan Yahudi di pelbagai negara.

Walaupun tidak dinyatakan, Mahfuz menyifatkan ingatan Muhyiddin itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Akhirnya, Najib semalam mengesahkan bahawa beliau bertemu dengan Soros di New York dua tahun lalu.

Mahfuz (gambar) berharap, peringatan Muhyiddin itu diberi perhatian serius oleh Najib.

"Tidak elok merayu bantuan orang yang siang malam Dr Mahathir dan Umno sendiri hebah dan hebohkan sebagai penyangak.

"Kalau tidak ada keperluan dan tidak ada bantuan yang hendak dirayu, tidak mungkin seorang Perdana Menteri sanggup mengambil risiko berjumpa senyap-senyap 'dalam gelap' dengan watak yang dicerca siang malam oleh partinya sendiri.

"Tak usahlah mendakwa kononnya Soros yang hendak jumpa beliau, nanti banyak lagi yang akan terdedah," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz juga menolak dakwaan Muhyiddin kononnya Barisan Nasional (BN) tidak menggunakan isu Soros demi keuntungan politik parti pemerintah itu.

"Selamba sungguh Muhyiddin berbohong seolah-olah rakyat tidak ada maklumat dan tidak baca berita," katanya sambil merujuk kepada projek memburuk-burukkan pembangkang melalui tindakan mengaitkan mereka dengan Soros seperti yang dilaporkan dengan meluas oleh media sekarang.

Projek itu dilaporkan telah dirancang oleh sebuah jabatan khas Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sejak pertengahan tahun ini dan dakyah berkenaan disebarluaskan melalui sebuah buku tebal Panduan Penjelasan Isu Semasa terbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Mahfuz berharap Najib dapat mengingatkan Muhyiddin bahawa, bukan sahaja tidak menepati janji, berbohong juga perbuatan munafik.

Perdana Menteri hari ini dilaporkan mendakwa bahawa kerajaan BN menjanjikan sesuatu perkara yang mampu dilaksanakan untuk faedah rakyat kerana jika tidak menepati janji, ia tergolong dalam kalangan munafik.

Sambil terus mengaitkan dengan pertemuan senyap-senyap Najib dengan Soros, Mahfuz mengingatkan bahawa Perdana Menteri yang jujur tidak bercakap lain di hadapan rakyat tetapi di belakang mereka melakukan yang lain pula.

"Adalah satu perbuatan songsang dan hipokrit yang amat serius apabila Perdana Menteri senyap-senyap bertemu 'dalam gelap' dengan watak yang dikempenkan sebagai penyangak di hadapan rakyat malah digambarkan sebagai musuh yang merosakkan negara," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Najib bahawa kerajaannya menunaikan janji, Mahfuz yakin ruang siber sehari dua ini akan penuh dengan senarai janji-janji bohong BN.

"Janji tidak ditepati BN sudah terlalu masyhur," kata beliau.

Orang muda yakin Kepala Batas jatuh

Para pemuda sekitar Kepala Batas yakin parlimen kawasan itu akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum ke 13 kerana kredibili mantan perdana menteri dan anak tok guru, Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan lagi sandaran sebagaimana dahulu.

Ketika diminta pandangan tentang pergolakan politik dalaman Umno Bahagian Kepala Batas mereka berkata, Barisan Nasional (BN) akan tumbang walaupun Pak Lah sendiri yang bertanding sebagai calun.

Mohd Faiz Ahmad, 20, (Gambar kiri) berkata senario sekarang bukan lagi menyebelahi Umno sebagaimana dulu jika BN letak kayu atau tunggul sekalipun parti mereka akan mengecapi kemenangan.

"Sekarang orang dah celik tidak macam dulu walaupun Pak Lah pernah jadi perdana menteri dan merupakan anak kepada Tok Guru Abdullah Haji Fahim sekalipun ia bukan lagi sandaran sepertimana dulu," katanya.

Rakannya, Yusof Othman, 22, (Gambar kanan)meminta para pemuda yang sayangkan bangsa dan agama agar melakukan perubahan demi menyelamatkan negara daripada terus manuju kebangkrapan.

Malaysia tiada boleh lari daripada bangkrap jika rakyat masih mempercayai BN memerintah kerana kewangan negara akan berkurangan ekoran terdapatnya  ketirisan.

"Bila tiris semuanya menuju kerugian.  Bahkan terdapat pula penyelewengan yang besar menyebabkan kehilangan wang rakyat," ujar beliau.

Seorang lagi pemuda yang sempat ditemui Sri Ganesan, 25, (gambar kiri) menambah, pemimpin yang korups patut dijatuhkan dan diganti dengan kepimpinan yang bersih.

"Buat apa mempertahankan kepimpinan BN yang nyata tidak layak lagi menjadi wakil rakyat, " jelas beliau.

Mahathir buka mulut, undi Melayu untuk BN menurun


PAS melihat pengaruh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak langsung menjejaskan undi kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan datang.

                                                                                                                                                                      
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, Pakatan Rakyat tidak pernah risau apabila Dr Mahathir membuka mulut mengkritik apa sahaja yang beliau kehendaki.

"Saya melihat Dr Mahathir memang mempunyai pengaruh tetapi ia tidak langsung memberi kesan undi kepada mereka yang menyokong Pakatan Rakyat.

"Tetapi ia akan memberi kesan secara langsung kepada sokongan Umno Barisan Nasional," jelasnya kepada Harakahdaily.

Jelas Mahfuz, tindakan Dr Mahathir membuka mulut atau mengkritik sebenarnya menimbulkan kerisauan kepada pemimpin Umno.

Malah, mereka beranggapan setiap kali Dr Mahathir membuat kritikan sokongan yang mereka perolehi dari undi orang Melayu akan menurun.

"Kita lihat bagaimana Dr Mahathir mengkritik mengatakan pemberian BR1M adalah seperti membeli undi, dan ini secara langsung akan terus mengurangkan sokongan kepada Umno Barisan Nasional.

"Inilah yang dirisaukan oleh Umno apabila Dr Mahathir menyuarakan pendapat, mereka bukannya mendapat peningkatan sokongan malah semakin berkurang," kata beliau lagi.

Mahfuz yang menyatakan, pengaruh Dr Mahathir adalah penentu kedudukan pemimpin Umno di dalam parti mereka sendiri bukannya penentu kepada kedudukan Pakatan Rakyat.

"Pemimpin Umno perlu tahu, pengaruh Dr Mahathir adalah penentu kedudukan mereka pada pemilihan dalam Umno itu sendiri bukannya penentu kedudukan Pakatan Rakyat.

"Pakatan Rakyat tidak pernah risau apabila Dr Mahathir bersuara tetapi pemimpin-pemimpin Umno perlu risau kerana kedudukan mereka belum terjamin lagi," sambung beliau lagi.

Tambahnya lagi, setiap kali Dr Mahathir mengkritik sokongan kepada Pakatan Rakyat terus bertambah sama ada dari undi Melayu mahupun kaum-kaum lain.

Manakala, Umno terus tertekan untuk menepis setiap kritikan tersebut apatah lagi bila melibatkan keputusan yang dilakukan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional.

Shura Saudi sedia terima ahli wanita


(Shura atau parlimen Arab Saudi sedia untuk menerima ahli wanita)

Sumber peringkat tinggi Majlis Syura Saudi memberitahu Asharq Al-Awsat bahawa prosedur pentadbiran dan sokongan logistik yang diperlukan untuk wanita menyertai Majlis Shura sesi seterusnya akan disiapkan tidak lama lagi.

Menurut sumber, jawatankuasa berkenaan sedang membuat persiapan untuk menyerahkan laporan mengenai penerimaan wanita sebagai ahli, dan telah memperuntukkan kawasan-kawasan tertentu dalam bangunan Majlis Shura, supaya ahli-ahli wanita dapat melaksanakan tugas mereka dengan selesa.

Sumber juga mendedahkan bahawa selain ahli Shura, tenaga kerja wanita yang akan dilantik di Majlis Shura termasuk; setiausaha, pentadbir, perhubungan awam, pembantu penyelidikan, di samping penasihat wanita.

Pelaksanaan oleh Majlis Syura ini adalah selaras dengan dekri diraja yang dikeluarkan awal tahun ini oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah Bin Abdulaziz yang membenarkan penyertaan wanita di Majlis Syura dan majlis perbandaran, serta hak mengundi yang sama.

Panggilan untuk membuka penyertaan Majlis Syura Saudi kepada wanita mengundang pelbagai reaksi sokongan dan penolakan.
Penyokong dekri percaya bahawa ia akan memberi wanita Saudi suara yang lebih kuat untuk menyampaikan isu-isu berkaitan mereka tanpa sebarang halangan.

Buih tidak dikenal pasti di persisiran Sungai Kapal


Pada pagi semalam, penduduk di Sungai Kapal, Pengerang telah mendapati buih putih yang tidak dapat dikenali di kawasan penambakan Dialog Group.


Lebih kurang pukul 10 pagi, Bendahari Gabungan NGO Pengerang, Chua Peng San telah membuat pemerhatian di tepi pantai Tokong Soon Chin Kong, Tanjung Sungai Kapal, dan mendapati bahan terapung itu mempunyai keluasan yang agar besar, berwarna kuning, tidak berbau, pada masa sama ketumpatan buih adalah besar, tetapi adalah berlainan daripada buih detergen.

Mengikut pemerhatian, sumber buih itu adalah dari kawasan penambakan.

Chua juga berkesempatan membuat persempelan terhadap buih tersebut.

Setakat tengah hari, sebahagian besar buih telah terdampar ke tepi pantai Tanjung Sungai Kapal sehingga ke Tanjung Datuk, pantai sejauh satu kilometer telah dicemar.

Kejadian aneh berlaku berturut-turut sejak kebelakangan ini, bermula dengan bau gas yang aneh, kematian kucing, anjing dan ikan, dan kini buih yang tidak dikenal pasti terapung di lautan, menimbulkan kemarahan dan kebimbangan penduduk Sungai Kapal.

Gabungan NGO bertanya berkenaan pendapat penduduk Melayu di tempat kejadian, beliau menjawab: “jika pembangunan membawa kesan sebegini, apakah kebaikan yang penduduk dapat”.

Sebahagian besar penduduk telah tidak puas hati terhadap tiadanya penjelasan berkenaan kejadian yang aneh berturut-turut itu.
Gabungan NGO Pengerang menyeru supaya pihak berkuasa mengemukakan hasil penyiasatan berkenaan pencemaran yang berlaku.

“Jika pihak berkuasa tidak memberi sebarang balasan, gabungan akan melalui Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa membangkitkan satu usul di bawah Perkara 18, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, meminta perbahasan tergempar berkenaan kejadian itu,” kata Peng San dalam satu kenyataan.

Berapa tahanan ISA terkini, bila dibebaskan


Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd. Yusoff minta Menteri Dalam Negeri menyatakan kedudukan terkini mangsa tahanan ISA yang masih ditahan dan bila mereka akan dibebaskan setelah Akta ISA dihapuskan.


Beliau mengemukakan pertanyaan bagi jawan lisan itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Pertanyaan-pertanyaan daripada ahli-ahli parlimen PAS hari ini sebagaimana di bawah.

Mohd. Nasir Zakaria [Padang Terap] minta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air menyatakan:-
(a) tarif terkini elektrik untuk semua kategori pengguna; dan
(b) bila dan bagaimana pelarasan tarif dilakukan oleh TNB dan nyatakan tahun pelarasan dilakukan.

Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta Menteri Kerja Raya menyatakan jenis bantuan yang diberikan bagi membantu Kerajaan negeri Kelantan membina lebuh raya Kota Bharu - Kuala Krai dan sebuah stadium bola sepak yang bersesuaian dengan keperluan negeri itu sekarang.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor] minta Perdana Menteri menyatakan tindakan Kerajaan mengenai kekhuatiran Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) tentang kedudukan bekalan (availability) perumahan yang mampu milik(affordable housing RM150,000-RM300,000khususnya di Lembah Klang, sementara menyaksikan penggunaan tanah-tanah milik kerajaan membangunkan projek-projek mewah bersifat 'high-end' termasuk projek multi-bilion Tun Razak Exchange.

Datuk Taib Azamudden Md Taib [Baling] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri menyatakan:-
(a) pencapaian yang telah diperoleh SME CORP Malaysia, SME Bank dan MARA dalam pembangunan IKS di Baling; dan
(b) senaraikan program-program usahawan dan kerjasama strategik jabatan-jabatan Kerajaan berkaitan bagi menjayakan pencapaian ini.

Salahuddin Ayub [Kubang Kerian] minta Menteri Luar Negeri menyatakan mengapa Kerajaan menyerahkan Blok L & M kepada Brunei Darussalam sedangkan dalamProduction Sharing Contract Petronas dengan jelas menunjukkan bahawa Blok L dan M telah diberikan kepada Murphy Oil oleh Petronas untuk diterokai dan adakah penyerahan kepada Brunei itu berlaku kerana Petronas cuai atau adakah Kerajaan Malaysia yang melakukan kesalahan.

Tuan Mohd Firdaus bin Jaafar [Jerai] minta Menteri Pengangkutan menyatakan berapakah jumlah pelaburan dua (2) syarikat yang mengendalikan pemasangan kamera untuk Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara.

TV3 akan hadapi nasib yang sama seperti Utusan?


TV3 sedang merudum ‘rating’nya. TV3 yang termasyur sebagai lidah UMNO dan BN kini sudah mula tidak mendapat sambutan ramai. Sebelum 2010, TV3 telah mendapat ‘rating’ yang tertinggi sehingga mendapat 3.5 juta penonton sehari dan kini jumlah tontonan dari rakyat telah jatuh sehingga 1.2 juta sehari. Kejatuhan bilangan penonton lebih dari 60 peratus ini tentu bersebab dan sebabnya boleh diagak oleh kita semua. Kejatuhan ini akan akhirnya membawa padah kepada pendapatan syarikat dan menjejaskan prestasi kewangan syarikat televisyen itu.

Selalunya kejatuhan penonton sesebuah syarikat penyiaran seperti TV3 itu adalah kerana kejatuhan keyakinan penonton terhadap kredibiliti saluran itu. Dalam sejarah banyak syarikat penyiaran dan saluran TVnya telah jatuh kerana tidak mendapat sokongan ramai. Keadaan ini tidak mengecualikan TV3 yang kini sudah menampakkan keadaan seperti itu akan berlaku ke atas syarikat televisyen itu.

Kejatuhan penonton yang dialaminya sekarang sudah mula menampakkan apa yang dialami oleh banyak syarikat TV yang terpaksa ditutup di negara-negara yang lain itu akan berlaku ke atas TV3 jika saluran televisyen itu tidak menjaga kredibilitinya di mata penonton yang sedia ada sekarang.

Ramai di antara pengiklan-pengiklan barangan dan perkhidmatan telah mula memikirkan untuk mengiklankan barangan dan perkhidmatan mereka di saluran-saluran yang lain kerana TV3 tidak  menjadi saluran sukaramai rakyat lagi. Kejatuhan jumlah penonton untuk saluran ini masih menurun dan dijangkakan yang ia akan melewati bawah dari 1 juta penonton setiap hari.

Keadaan ini berlaku bukan kerana apa….tetapi kerana TV3 sudah menjadi alat pembohongan BN dan UMNO dan rakyat yang berfikiran ‘professional’ tidak menganggap saluran TV3 ini sebagai saluran untuk rakyat. Sikap ‘tidak professional’ TV3 ini menjadi persoalan ramai kerana orang ramai tidak gemar dengan sikap condong yang keterlaluan terhadap sesuatu pihak dalam politik ini adalah tindakan yang dianggap tidak jujur.

TV3 tidak yakin terhadap professionisma kewartawanan dan berita. Ia sudah menjadi seperti pentarama jabatan penerangan dan propaganda kerajaan di zaman peperangan melawan komunis dahulu. Rakyat sudah jemu dengan tingkah laku TV3 ini kerana menjadi penghasut bagi membenci setengah pihak dalam masyarakat secara keterlaluan dan ia amat menjijikkan ramai rakyat yang mahukan berita-berita yang seimbang dan professional dalam penyibaran maklumat kepada rakyat.

Saya sudah tidak membuka saluran ini sejak tujuh atau lapan tahun dahulu. Saya sendiri sudah tidak melanggan dan membaca Utusan Malaysia sejak sepuluh tahun dahulu kerana sebab yang sama. Hanya beberapa orang yang rapat dengan saya memberikan apa-apa keratan tulisan Utusan itu jika ia bersangkut dengan isu-isu panas yang dicetak oleh akhbar lidah rasmi UMNO itu.

Sebenarnya rakyat memahami yang mana-mana saluran TV dan akhbar itu mempunyai ‘inclination’ masing-masing  terhadap sesuatu pihak. Tetapi apa yang dilakukan oleh TV3 dan Utusan itu adalah keterlaluan sehinggakan membelakangkan professionalisma kewartawanan. Tidak bergunalah belajar bidang kewartawanan sehingga ke peringkat yang tinggi tetapi mentaliti dan  sikap tidak professional itu ditunjukkan dengan terlalu jelas kepada rakyat yang sudah pandai berfikir ini.

Kerana tindakan TV3 ini maka mereka yang tidak menyebelahi mana-mana pihak terpanggil untuk memberikan sokongan kepada pihak yang dianiayai oleh saluran TV itu. Sesungguhnya apa yang disiarkan oleh TV3 ini merupakan satu yang ‘counter productive’ terhadap kerajaan itu sendiri dan pemantau-pemantau berkaitan dengan berita dari JPM itu tidak dapat merasakan rasa menyampah dan bosan penonton yang ramai-ramai balik ke rumah untuk bersantai dengan keluarga dipaparkan berita-berita yang berbentuk hasutan oleh media massa seperti saluran TV ini.

Bagi pembangkang yang menjadi korban fitnah ini, mereka sepatutnya berterima kasih kepada TV3 dan Utusan kerana kedua-dua saluran berita ini memberikan impak buruk terhadap BN dan tentulah PR yang mendapat keuntungan dari tindakan mereka itu. Sebahagian besar dari tanggungjawab pihak pembangkang untuk berkempen itu sudah pun di sempurnakan oleh Utusan dan TV3 ini. Seorang yang benci kepada saluran ini menambah seorang yang menyokong kepada pihak pembangkang. Matematiknya senang.

Sikap memecah belahkan rakyat oleh TV3 ini bertanggungjawab terhadap pembinaan kebencian rakyat kepada pihak yang berkuasa dan tidak adil jika dipersalahkan rakyat memberikan sokongan kepada pihak pembangkang kerana rakyat sentiasa berharap untuk hidup tenang di rumah setelah seharian bekerja kuat untuk keluarga masing-masing.

Apabila sampai di rumah rakyat mahu relaks dengan isteri dan anak-anak dan mereka tidak mahu berhadapan dengan hasutan pihak saluran TV3 sentiasa memaparkan keburukan pihak lain. Rakyat sudah merasakan yang ‘intensity’ pembohongan dan fitnah yang dilakukan oleh TV3 ini membuatkan ramai yang secara automatik membenci saluran itu dan seterusnya kepada pihak yang disokong oleh saluran itu.

Saya telah berjumpa dan bercakap dengan beberapa ketua syarikat yang saya kenali dan mereka memberitahu saya yang mereka sedang menimbang untuk memberhentikan pengiklanan barangan mereka melalui saluran ini jika saluran penyiaran ini meneruskan sikap buruk mereka itu. Jika hilang sokongan dari pihak industri ini TV3 akan hilang pendapatan syarikat yang berkurangan dan segala ‘glamour’ yang di alami oleh saluran TV3 yang terkenal itu.

Jika itu berlaku ia merupakan pengalaman yang sedang di alami oleh Utusan Malaysia yang tidak lagi mendapat sokongan dari pengiklanan yang besar-besar dan itu pun sebabnya Kumpulan Utusan Melayu itu telah kerugian sejak beberapa tahun yang lalu. Jangan terkejut jika TV3 akan menghadapi tindakan rakyat untuk memboikot saluran ini secara menyeluruh. Di zaman dunia tidak bersempadan ini rakyat boleh memilih saluran TV lain yang tidak membina kebencian di antara rakyat di negara ini.

Kita cuba untuk tidak menonton TV3  buat dua tiga hari ini... Saya yakin anda akan biasa dengan pemboikotan itu dan jiwa akan lebih tenteram dan aman tanpanya. Menjaga ketenteraman hati dan jiwa kita itu adalah satu ibadah kerana kita wajib menjauhi musuh-musuh secara baik, tanpa melakukan perkara-perkara yang ganas yang juga ditegah oleh agama dan juga adat kita. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

MB tertipu jika percaya 86 ahli PR sertai Umno



BERA:
 PAS menganggap Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob tertipu jika percaya seramai 86 orang ahli parti-parti Pakatan Rakyat dari Cawangan Bukit Mendi menyertai Umno dalam ‘Majlis Pemimpin Turun Padang’ kelmarin.


Ketua Pemuda PAS Cawangan Bukit Mendi, Hasan Abdul Latif yang mendakwa mengikuti program yang dihadiri Datuk Seri Adnan Yaakub itu secara dekat, hampir semua yang hadir bukannya datang dari Felda berkenaan.

(Gambar: Hassan menunjukan laporan akhbar kononnya 86 ahli komponen PR menyertai Umno.)

“Saya pasti kebanyakan yang hadir didatangkan dari Kampung Baris, Felda Sungai Kemahal, Jawi-jawi yang semuanya dari Dun Menteri Besar sendiri (Dun Pelangai).

“Memang ada seorang penduduk Bukit Mendi iaitu Ismail Yusoff yang mengetuai kumpulan masuk Umno dan majlis tersebut diadakan di perkarangan kedainya sendiri, tetapi dia hanya bekas penyokong DAP” jelasnya.

Media massa, elektronik dan portal berita internet semalam menyiarkan berita kononnya lebih 80 anggota PKR, PAS dan DAP cawangan Felda Bukit Mendi dan Bukit Puchong menyertai Umno dan menyerahkan borang kepada Adnan pada majlis 'Pemimpin Turun Padang dan Kenduri Rakyat' di Felda Bukit Mendi, kelmarin.

Turut hadir menyaksikan ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Bera Mohd Fadzil Othman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemayan dan Adun Guai, Norol Azali Sulaiman.

Felda bukit Mendi berada dalam Dun Triang yang dimenangi wakil DAP Leong Ngah Ngah.

Sementara itu Hasan berkata, beliau mengsyaki kemungkinan orang Umno sendiri yang masuk Umno pada majlis berkenaan bagi mengambil hati Menteri Besar yang pertama kali datang ke Bukit Mendi walau pun berada bersebelahan dengan Dun Pelangai.

“Saya terpaksa tampil untuk menjelaskan kekeliruan ini setelah menerima banyak panggilan telefon bertanyakan keadaan sebenar,” katanya kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu Yang Dipertua PAS Kawasan Bera, Sulaiman Mohamad pula berkata, propaganda isu PAS masuk Umno merupakan fenomena biasa menjelang pilihan raya.

Beliau turut mengesahkan, tidak ada ahli PAS di Felda Bukit Mendi dan Bukit Puchong yang keluar menyertai Umno.

“Berdasarkan gambar yang kita perolehi, tiada seorang pun yang kita kenali sebagai ahli PAS. Malah dengan hanya seorang saja (Ismail) yang tampil mengesahkan dia mennyertai Umno, itu bukan membuktikan ada penyokong PAS turut sama menyertai Umno.

“Mungkin yang mahu masuk Umno itu hanya penyokong atas pagar ataupun penyokong Umno sendiri yang berlakon sebagai ahli Umno baru. Propaganda itu biasa menjelang PRU,” katanya.

Leong Ngah Ngah pula ketika dihubungi, mengesahkan Ismail pernah menjadi penyokong DAP pada satu ketika dulu tetapi sudah tidak aktif.

“Bagi saya keputusan Ismail untuk menyertai Umno itu haknya dan beliau bebas menentukan haknya untuk berpolitik dalam sebuah negara demokrasi, DAP tiada hak untuk menghalang,” ujarnya.

Kalau penakut, jangan marah orang berani!


Rasanya sudah lama tidak mendengar YB Chua Tee Yong 'berkokok' (maaf) tentang isu Talam. Tahu-tahu sahaja pada minggu lepas,  pemilik rumah PKNS telah berdemonstrasi untuk menuntut agar Kerajaan Negeri Selangor (KNS)  ‘mengambil alih hutang perumahan mereka’. Menurut mereka, kalau KNS boleh ‘mengambil alih hutang Talam’, mengapa KNS tidak boleh ambil alih hutang mereka?

Tatkala mendengar hujah semudah itu, tahulah kita bahawa mungkin YB Chua & pimpinan BN lainnya telah insert maklumat yang mengelirukan kepada pemilik-pemilik rumah ini. Namun sebenarnya bukanlah susah untuk YB Chua ‘kelentong' pemilik-pemilik rumah ini. Kerana penstrukturan semula hutang Talam merupakan kaedah yang agak kompeks.
Bahkan ianya satu kaedah baru yang diperkenalkan oleh KNS untuk ‘memaksa’ pihak yang berhutang untuk membayar balik hutang, tanpa melaksanakn pendekatan bailout yang sering diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini. Justeru, sememangnya mudah untuk pemilik-pemilik perumahan ini di’kelentong’ oleh YB Chua & konco-konconya.

(Chua yang cuba menjadi hero isu Talam)

Sebelum merenung lebih lanjut berhubung isu ini, eloklah kiranya kita memahami dengan lebih mudah berhubung isu Talam ini di pautan pada laman web www.keadilanselangor.net seperti berikut:-

9 Oktober 2012: Pemilik rumah PKNS sekali lagi berdemonstrasi bagi menuntut Kerajaan Negeri Selangor (KNS) mengambil alih hutang perumahan mereka. Asas tuntutan ini adalah tindakan KNS menstruktur semula hutang Talam Corporation.

Hakikatnya, mereka di perdaya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan memberikan maklumat yang palsu dan mengelirukan! Pihak yang tidak bertanggungjawab ini mendakwa KNS mengkhianati wang rakyat Selangor dengan mengambil alih hutang Talam.

Namun kenyataannya, tindakan KNS telah menyelesaikan kemelut hutang tersebut serta berjaya mengutip keseluruhan hutang tersebut yang bernilai RM392 juta dan secara langsung dapat memanfaatkan wang itu melalui Geran Selangorku kepada seluruh rakyat Selangor.

Masalah ini berpunca kerana umum tidak memahami isu sebenar Talam, oleh itu penulis akan menjelaskan isu Talam ini dengan penjelasan yang paling mudah agar seluruh rakyat Selangor memahami dengan tepat serta dapat memberikan penerangan kepada mereka yang masih keliru dan menganggap KNS bersalah.

Hakikatnya, semua pihak perlu berterima kasih kepada MB Tan Sri Khalid kerana berjaya menyelesaikan masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh 3 MB di bawah pemerintahan rejim UMNO-BN

Memahami Kes Talam


Kes Talam memang nampaknya mengelirukan. Walaubagaimanapun, dengan sedikit sebanyak kesabaran dan huraian yang jelas, kes ini sebenarnya  mudah difahami.

Artikel ini akan membincangkan asal-usul kes ini, bagaimana Selangor berjaya mengutip semula hutang Talam serta bagaimana kes ini berbeza dengan kes-kes ‘bailout’ yang dilihat pada peringkat persekutuan.

Latar belakang

Cerita ini bermula dalam tahun lapan puluhan dan sembilan puluhan, dengan seorang jurutera bernama Chan Ah Chye yang bekerja di syarikat milik kerajaan Selangor, PKNS. Chan mengasaskan Talam Corporation, dan mungkin hasil hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin tertentu seperti Menteri Besar waktu itu
Muhammad Muhammad Taib , berjaya menjadi antara pemaju-pemaju utama di Selangor.

Banyak tanah di Selangor diperuntukkan ke Talam secara percuma! Tanah ini dicagarkan kepada bank untuk mendapatkan pinjaman-pinjaman besar yang membiayai projek-projek Talam.

Pembaca boleh teka sendiri siapa yang dapat berkongsi untung dari projek-projek ini.

Tauke-tauke zaman itu sentiasa berpendirian bahawa berniaga dengan wang yang dipinjamkan adalah lebih baik daripada menggunakan wang sendiri. Oleh itu, pinjaman-pinjaman Talam dari bank terus meningkat.

Krisis ekonomi, projek terbengkalai!

Akhirnya, krisis ekonomi sekitar tahun 1997 melanda Talam. Akibat tidak berupaya untuk membayar balik pinjaman-pinjaman besar, kedudukan kewangan Talam semakin merosot dan projek-projek semakin terbengkalai.

Malangnya, Talam dan sekutu-sekutu politiknya gagal insaf atau bertaubat. Pada 2001, di bawah Menteri Besar BN Khir Toyo, tiga bidang tanah diperuntukkan kepada anak syarikat Talam Maxisegar Sdn Bhd sebagai pembiayaan pembinaan kampus induk UNISEL dengan kos pembinaan RM 750 juta!

Projek ini akhirnya turut terbengkalai dan pada September 2006, Talam diklasifikasikan sebagai “Affected Company” menurut amalan Practice Note 17 (PN 17) akibat kedudukan kewangannya yang parah.

Reformasi di Selangor

Pada 2008, apabila Khalid Ibrahim menyandang jawatan Menteri Besar, beliau mewarisi masalah ini di mana Talam berhutang besar kepada kerajaan negeri serta anak-anak syarikatnya.

Ada cerita bahawa apabila Talam diminta menjelaskan kenapa mereka tidak pernah memulakan proses membayar balik hutang, jawapan malu-malu mereka adalah: “Tiada sesiapa yang pernah minta.”

Untungnya untuk rakyat Selangor, wujudnya Menteri Besar yang baru. Khalid Ibrahimbukan setakan berpengalaman kuat tetapi memang pakar dalam bidang kewangan korporat. Beliau memulakan usaha dengan segera untuk menyelesaikan masalah ini dan mengutip balik hutang Talam kepada
rakyat Selangor.

Rancangan yang akhirnya dipilih berasaskan prinsip yang mudah: menggunakan aset-aset Talam yang masih ada untuk menjelaskan hutang tersebut.

Meneliti pengstrukturan semula



Proses kutipan hutang memang rumit dari segi teknikal.

Rumusannya: Pertama, hutang Talam disahkan dan direkod dalam akaun (sesuatu yang tidak dibuat sebelum 2008). Selepas disahkan semua pihak, hutang ini dipindahkan kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) yang akhirnya bertanggungjawab mengutip hutang dalam bentuk tanah dan wang tunai.

Bahagian seterusnya menjelaskan proses secara terperinci.

Walaupun rumit dan mungkin membosankan, proses disenaraikan untuk sesiapa yang ingin tahu dan untuk menegakkan nilai-nilai ketelusan.

1.    Talam berhutang RM 392 juta kepada tiga anak syarikat Selangor: KHSB, PIYSB, dan  PNSB.
2.    Setelah hutang ini dipersetujui, disahkan dan direkodkan, satu lagi anak syarikat Selangor,Selangor Industrial Corporation (SIC), membeli hutang tersebut daripada tiga syarikat itu.
3.    SIC mengambil pinjaman RM 392 juta dari CIMB untuk membeli hutang tersebut.
4.    Pada November 2009, Exco Negeri serta Dewan Negeri meluluskan geran RM 392 juta kepada MBI yang menggunakan dana tersebut untuk membeli dan mengambilalih hutang -hutang dari SIC.
5.    SIC kemudiannya mengguna dana tersebut untuk membayar balik pinjaman
daripada CIMB.

Proses rumit, objektif mudah - tanpa sebarang perbelanjaan tinggi, Talam kini berhutang jumlah yang sama kepada satu sahaja anak syarikat Selangor, bukan lagi tiga yang asal.

Hutang dijelaskan sepenuhnya

Kita harus memerhatikan bahawa tidak wujud pada bila-bila masa atau mana-mana peringkat transaksi sebarang pemindahan dana kerajaan kepada Talam. Pemindahan dana hanya berlaku dari satu saku kerajaan negeri kepada saku yang lain.

Ini adalah perbezaan yang amat ketara berbanding syarikat-syarikat seperti Indah Water Konsortium, MAS, atau Putra/Star LRT, di mana duit rakyat dimasukkan terus ke dalam syarikat-syarikat yang kelihatan hilang beratusan juta ringgit melalui penyalahgunaan kuasa, rasuah dan ketirisan.

Pengstrukturan semula hutang Talam berjaya mengesahkan hutang Talam dan membuka jalan untuk Talam membayar balik hutang tersebut ke satu sahaja anak syarikat negeri.

Ceritanya masih belum habis.

Satu lagi pencapaian yang amat penting adalah bahawa MBI telah pun berjaya kutip semula jumlah sepenuhnya hutang Talam, iaitu RM 392 juta.

Kepada sesiapa yang ingin tahu, kutipan ini wujud dalam 2 bentuk:

1. RM 340.88 juta dikutip dalam bentuk tanah dan aset: 
•    1,322.44 ekar tanah di Bukit Beruntung                     (RM 150.28 juta)
•    2,263.53 ekar tanah di Bestari Jaya                           (RM 105.30 juta)
•    400 ekar tanah di Ulu Yam & 60% saham di  Ulu Yam Golf & Country  Resort      (RM 22.20 juta)
•    134.2 ekar tanah di Danau Putra                               (RM 52.10 juta)
•    5-unit pejabat di Menara Pandan                               (RM 11.10 juta)

2. RM 51.12 juta pula dikutip dalam bentuk tunai: 

•    Jualan 2 ekar tanah di Puncak Jalil                              (RM 12 juta)
•    Penyerahan tunai dari EON                                         (RM 5 juta)
•    Baki bayaran kerjatanah (earthwork) dari UNISEL          (RM 7.68 juta)
•    Jualan 25.94 ekar tanah Bkt Beruntung kpd. PKNS         (RM 9.04 juta)
•    Jualan 218 ekar tanah Bestari Jaya                              (RM 17.4 juta)
Fakta jadi bukti

Apakah yang kita boleh rumuskan?

Lebih satu dekad bawah BN, satu syarikat berhutang ratusan juta kepada kerajaan negeri Selangor.
Dalam setahun dua sahaja mentadbir di Selangor, Khalid berjaya kutip semula hutang ini, dan meningkatkan dana yang boleh dibelanja untuk membiayai program-program kebajikan di seluruh Selangor.

Skandal?

Ya, skandalnya adalah cara Talam dibiarkan sahaja dan tidak diminta pun untuk bayar balik hutang ini bawah BN, dan skandalnya adalah kita terpaksa tunggu 50 tahun sebelum mengangkat pemimpin yang berupaya mereformasikan amalan-amalan kotor ini.

Chua Tee Yong pun semakin ketandusan kredibiliti. Hari pertama kata RM 1 billion. Hari kedua RM 260 juta. Hari ketiga RM 42 juta pula.

Mungkin Chua ingat dia setaraf dengan Rafizi Ramli. Malangnya, beliau gagal faham bahawa pendedahan Rafizi ini bukan setakat adakan sidang media besar dengan melaungkan nombor-nombor. Di belakang setiap pendedahan adalah usaha berjam-jam membuat penyelidikan terperinci.

Cubalah buat kerja rumah sebelum ingin berdepan dengan tokoh korporat berintegriti seperti Menteri Besar Selangor, terutamanya jika dari pihak BN - janganlah sampai mengata dulang, paku serpih.


Setelah jelas latar belakang masalah & kaedah yang digunapakai oleh KNS ketika menuntut semula pembayaran hutang kepada Talam, maka pastinya kita akan tertanya-tanya mengapa Barisan Nasional begitu marah dengan keadaan ini.

Kalau kita lihat pada fakta diberikan, KNS secara sistematik telah berjaya ‘memaksa’ Talam untuk membayar hutang tersebut secara aset & tunai secara terus pada KNS. Di sinilah punca kemarahan juak-juak pimpinan Barisan Nasional. Pembayaran balik hutang secara aset & tunai itu telah dilihat seolah-olah ‘merampas hak’ mereka yang terlibat. Di bawah ini kita sertakan sekali lagi aset-aset & kaedah tunai yang terlibat dalam proses pembayaran semula hutang Talam kepada KNS.

1. RM 340.88 juta dikutip dalam bentuk tanah dan aset:
·  1,322.44 ekar tanah di Bukit Beruntung  (RM 150.28 juta)
·  2,263.53 ekar tanah di Bestari Jaya    (RM 105.30 juta)
·  400 ekar tanah di Ulu Yam & 60% saham di Ulu Yam Golf & Country Resort    (RM 22.20 juta)
·  134.2 ekar tanah di Danau Putra     (RM 52.10 juta)
·  5-unit pejabat di Menara Pandan       (RM 11.10 juta)

2. RM 51.12 juta pula dikutip dalam bentuk tunai:
·  Jualan 2 ekar tanah di Puncak Jalil    (RM 12 juta)
·  Penyerahan tunai dari EON     (RM 5 juta)
·  Baki bayaran kerjatanah (earthwork) dari UNISEL    (RM 7.68 juta)
·  Jualan 25.94 ekar tanah Bkt Beruntung kpd. PKNS       (RM 9.04 juta)
·  Jualan 218 ekar tanah Bestari Jaya     (RM 17.4 juta)

Jika dilihat pada aset-aset & jualan aset yang terlibat, rata-ratanya mencatatkan kepentingan kroni yang bukan sedikit. Kerana itu kita tidak pelik apabila puluhan tahun Barisan Nasional di Selangor masih gagal untuk mendesak agar Talam membayar hutang dengan kaedah ini. Jika digunapakai, pasti ada kalangan kroni-kroni, baik dalam parti, mahupun di luar parti, yang akan‘mengamuk’.

Dan puluhan tahun ketakutan BN untuk mengambil kembali hak rakyat Selangor yang telah dirampas rasanya sudah terjawab. Kalangan kroni yang terlibat dengan kawasan-kawasan aset & jualan aset berkenaan mungkin boleh mengangguk bersetuju bahawa merekalah punca BN selama ini takut untuk menyentuh aset-aset Talam yang nilainya ratusan juta ini.

Dan ketika KNS berani untuk bertindak ke atas hutang Talam, wajarnya puak-puak yang penakut ini berterima kasih banyak pada KNS kerana mereka tidak 'diamuk' kerana yang bertindak ialah KNS sendiri. Bukan apa, jika mereka terus 'meroyan' & bising-bising tidak tentu hala, takut-takut nanti ada yang akan berkata, “Dah namanya BN, sudahlah penakut, jaga kroni, bila dah setel, berkokok banyak pulak!”


* Penulis boleh dihubungi melalui syedjunaidi2006@gmail.com

Bajet untuk golongan menengah dan atasan


Bajet 2013 kerajaan BN dianggap lebih memberikan manafaat kepada golongan pertengahan dan atasan berbanding dengan golongan bawahan, kata penganalisis kewangan Islam.

Firma konsultan Kewangan Islam, Daya Fikir, dalam analisa mereka mendapati, ptongan bayaran 20 peratus untuk pemimjam PTPTN yang membuat bayaran sekalugus adalah contoh yang paling ketara.

Ini kerana, hanya golongan pertengahan dan berada saja mampu membuat bayaran ini sedangkan golongan bawahan tidak mempunyai wang untuk membayarnya sekaligus.

Firma ini juga berkata,secara umumnya Bajet 2013 adalah lebih bersifat mesra peniaga dan kelompok menengah atasan.

"Asasnya, sebahagian besar daripada 130 inisiatif dan peruntukan yang telah digariskan dilihat lebih memberikan manafaat yang signifikan kepada golongan tersebut secara jangka panjang, samada secara langsung dan tidak langsung," kata firma itu.

Kedua, inisiatif potongan cukai kepada semua pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti pelaburan (angel investor) yang dilakukan secara tunai dalam syarikat-syarikat untuk tujuan pengembangan perniagaan.

"Pada asasnya baik untuk perkembangan ekonomi (economic growth), namun kesannya dilihat tidak akan begitu menyeluruh, yang pastinya fokus pelaburan kelak hanya akan tertumpu kepada segmen industri dan perniagaan tertentu sahaja, yang dianggap menguntungkan.

"Jika ini berlaku, dibimbangi jurang pendapatan dan status dalam masyarakat akan makin terjarak," kata analisa firma itu.

Berikut adalah analisa penuh Daya Fikir Solution yang ditulis oleh dua orang rakan kongsinya iaitu Abdul Hadi Bin Jusoh dan Hashim Bin Ahmad Shiyuti.



Bajet 2013, satu penghayatan 


Saban tahun, pimpinan tertinggi negara akan membentangkan perancangan negara yang akan dilaksanakan pada tahun yang berikutnya. Antara pembentangan dan pengumuman formal yang terbesar adalah bajet tahunan yang mana ianya merupakan rumusan tentang perancangan dan peruntukan kewangan negara yang bersifat komprehensif dan inklusif.

Jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan dipertanggungjawabkan sebagai pelaksana segala intipati yang termaktub di dalamnya. Dengan kata lain, hala tuju dan wawasan negara akan diterjemahkan berdasarkan perlaksanaan pelan induk ini.

Pada tahun ini, Bajet 2013 telah dibentangkan pada September 2012 yang mana pada dasarnya adalah bajet yang amat dinanti-nantikan oleh semua pihak termasuklah kalangan professional, pelabur-pelabur luar dan dalam negeri, firma-firma perniagaan, begitu juga kalangan ahli-ahli politik dan rakyat jelata dari fahaman dan aliran politik yang berlainan.

Ini kerana, ianya adalah antara gerbang persepsi utama yang dianggap sebagai penentu bagi memikat dan menambat hati hati rakyat untuk terus memberikan mandat kepada kerajaan yang sedia ada untuk terus memerintah, baik di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri.

Untuk bajet kali ini, pihak kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 251.6 bilion dengan tema ‘memakmurkan Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati. Daripada angka tersebut, sejumlah RM 201.9 bil telah diperuntukkan untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan selebihnya untuk perbelanjaan pembangunan.

Sasaran defisit bajet kali ini dianggarkan menyusut sebanyak 0.5%  kepada 4.0% berbanding tahun 2012. Dari segi pendapatan, hasil kerajaan dilihat mengalami sedikit anjakan menaik daripada RM 207 bil (2012) kepada RM 208.6 bil (2013).


Begitu juga dengan liabiliti subsidi yang juga dilihat mengalami sedikit peningkatan kepada RM 33.2 bil, setelah mengambil kira pengurangan kadar subsidi gula sebanyak RM 0.20 sekilogram.

Justeru, Daya Fikir Solutions (Daya Fikir) telah mengambil inisiatif untuk menganalisis bajet pada kali ini secara menyeluruh dan di luar kotak pemikiran yang bersifat politik kepartian, agar timbang tara yang selayaknya dapat dizahirkan serta lebih berpijak kepada bumi yang nyata.



Mesra golongan atasan


Secara umumnya Bajet 2013 adalah lebih bersifat mesra peniaga dan kelompok menengah atasan. Asasnya, sebahagian besar daripada 130 inisiatif dan peruntukan yang telah digariskan dilihat lebih memberikan manafaat yang signifikan kepada golongan tersebut secara jangka panjang, samada secara langsung dan tidak langsung.

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan wujud juga inisiatif yang dilihat memberikan impak positif kepada banyak pihak, khususnya kepada rakyat kebanyakan. Untuk itu, Daya Fikir secara rumusannya berpandangan:

Pertama, inisiatif pemberian diskaun sebanyak 20% bagi pembayar hutang PTPTN yang dibuat secara sekaligus (lump-sum) dalam tempoh setahun dan 10% kepada mereka yang dapat melunaskan secara istiqamah dalam tempoh setahun mendatang.
Adalah dijangkakan hanya mereka yang berada di dalam braket zon keselesaan dan berkemampuan sahaja, yang akan menerima tempias daripada manafaat ini.

Bagi kelompok rakyat kebanyakan, mereka mampu berbuat demikian hanyalah melalui pinjaman peribadi dengan mana-mana insitusi perbankan dan kewangan yang sudah tentu kadar bayaran baliknya  hampir menyamai sekali ganda dengan jumlah pinjaman yang telah dibuat.

Justeru, jika dihitung hutang peminjam PTPTN sebenarnya akan bertambah, walaupun secara relatifnya hutang mereka dengan PTPTN telah dianggap langsai.

Kaedah ini dilihat praktikal untuk dilaksanakan, pertamanya, pihak bank dan institusi kewangan  perlulah menyediakan satu pakej pembayaran balik yang lebih rendah berbanding kadar yang sedia ada,  khusus kepada peminjam yang ingin melangsaikan hutang PTPTN.

Keduanya, kaedah pelangsaian mesti dibuat secara terus kepada PTPTN, tidak melalui peminjam. Signifikannya, untuk mengelakkan wang daripada pinjaman peribadi tersebut terlepas ke pasaran akibat sikap tidak berdisiplin peminjam, yang seterusnya akan menyumbang kepada anjakan menaik kadar inflasi.


Potongan Cukai


Kedua, inisiatif potongan cukai kepada semua pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti pelaburan (angel investor) yang dilakukan secara tunai dalam syarikat-syarikat untuk tujuan pengembangan perniagaan.

Pada asasnya baik untuk perkembangan ekonomi (economic growth), namun kesannya dilihat tidak akan begitu menyeluruh, yang pastinya fokus pelaburan kelak hanya akan tertumpu kepada segmen industri dan perniagaan tertentu sahaja, yang dianggap menguntungkan.

Jika ini berlaku, dibimbangi jurang pendapatan dan status dalam masyarakat akan makin terjarak. Sewajarnya, cukai tersebut masih perlu dikenakan tetapi pada kadar yang lebih rendah, yang mana hasil daripada cukai tersebut dapat digunakan untuk mengurangkan kadar harga barangan yang bersifat keperluan dalam ekonomi, iaitu melalui pemberian subsidi langsung secara telus kepada pihak pengeluar berdasarkan kepada jumlah pengeluaran sebenar (real output).

Secara signifikan, pengurangan harga barang keperluan akan meningkatan jumlah pendapatan boleh guna rakyat yang seterusnya akan menjana ekonomi melalui peningkatan perbelanjaan dan jumlah simpanan isirumah, yang akan mengalir masuk ke dalam ekonomi.


Pengecualian cukai


Ketiga, pengecualian cukai aliran pendapatan kepada syarikat insurans dan takaful keluarga yang menguruskan skim anuiti.

Kesannya juga dilihat tidak begitu menyeluruh dan tidak memberikan kesan langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi, terutamanya mereka yang tidak mempunyai aliran pendapatan yang tetap.

Tambahan, dalam suasana ekonomi global yang makin tidak menentu ini. Walaupun begitu, memang tidak dinafikan, inisiatif ini akan menyuntik nilai pelaburan dalam ekonomi oleh syarikat-syarikat insurans dan takaful.

Namun, ianya dibimbangi akan tertumpu kepada segmen pelaburan yang hanya berupaya memberikan pulangan keuntungan yang lebih signifikan kepada mereka. Dan, mana-mana segmen pelaburan yang lebih bersifat tanggungjawab sosial akan terpinggir.

Keempat, asasnya strategi suntikan langsung kepada lokasi yang berpenyakit mampu mempercepatkan dan meringankan bebanan penyakit seseorang.

Relatifnya, suntikan bantuan terus kewangan melalui skim BR1M kepada rakyat yang memerlukan adalah amat bermakna kerana ia mampu meringankan bebanan kewangan mereka, walaupun secara jangka pendek.

Namun, dalam keghairahan meraikan pemberian ini, Daya Fikir melihat inisiatif spesifik untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan kuasa beli secara jangka panjang adalah juga perlu menjadi prioriti pihak kerajaan. Tindakan ini perlu dilaksana secara seiringan dengan suntikan terus yang dilaksanakan itu.

Jika tidak, dikemudian hari rakyat hanya akan terkesan dengan anjakan kenaikan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan harga barang.


Pendidikan



Kelima, peruntukan yang besar untuk pendidikan adalah amat digalakkan selaku tunjang kepada pembangunan negara pada masa hadapan, yang mana amat bergantung kepada corak dan amalan sistem pendidikan hari ini.

Pendidikan dianggap sebagai baja yang menyuburkan benih masyarakat yang disemai untuk menghasilkan buah dan baka yang baik pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kekurangan yang memerlukan penambahbaikan yang ketara perlu dilaksanakan.

Peruntukan spesifik bagi memajukan Sekolah Agama (kerajaan dan rakyat) perlu diwujudkan dengan nilai yang sekurang-kurangnya menyamai dengan peruntukan sekolah-sekolah lain sebagaimana yang disebut di dalam bajet 2013.

Peruntukan khas bagi pendidikan agama adalah diperlukan bagi membolehkan pendidikan agama dilakukan secara seiringan dalam menghasilkan generasi yang bersifat kamil dan sempurna dari segi akademik dan akhlak.

Generasi yang seimbang dari duniawi dan ukhurawi akan memantapkan lagi pengukuhan ketamadunan dan menyiapkan sumber insan yang lebih kompetitif bagi bersaing dengan kuasa baru ekonomi dunia seperti China dan India.


Perumahan 



Keenam, perancangan kerajaan bagi melaksanakan skim rumah mampu milik merupakan satu cadangan yang amat signifikan. Namun, jika tidak kena cara perlaksanaannya ia hanya akan menjurus kepada ‘spekulasi hartanah’ yang seterusnya akan menyumbang kepada kenaikan luar jangka harga hartanah kediaman sehingga pada satu tahap, tidak mencerminkan harga sebenarnya.

Ia kesan daripada jumlah rumah yang ditawarkan begitu terhad di pasaran, sedangkan permintaannya begitu tinggi. Dengan jumlah 123,000 rumah yang ditawarkan, adalah amat mustahil untuk  memenuhi populasi yang makin membesar, khususnya di kawasan-kawasan strategik seperti di Lembah Kelang yang berkepadatan penduduk hampir 7 juta.

Akhirnya, ia hanya akan membuka ruang kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meraih keuntungan mudah yang lumayan bersandarkan spekulasi hartanah ini. Hakikatnya, ia boleh dilakukan iaitu dengan meletakkan syarat-syarat tertentu kepada pembeli seperti tidak boleh menjualnya semula dalam tempoh 5 – 10 tahun.

Jika ini tidak dapat dielakkan, pembeli perlu mendapat kelulusan khas daripada pihak kerajaan dan hendaklah dijual pada harga yang tidak melebihi 5-10% daripada harga asal.
Dari sudut pembiayaan pula, skim rumah pertama secara praktikalnya sukar dilaksanakan, kerana hakikatnya tidak ramai yang layak untuk mendapatkan pembiyaan setelah ditolak dengan pelbagai komitmen lain seperti kereta dan pinjaman peribadi.

Dan, cadangan untuk mengecualikan pembeli rumah pertama ini dikalangan generasi daripada proses penyemakan CTOS dan CCRIS adalah satu cadangan yang tidak praktikal.

Ia bukan setakat memberikan tekanan kewangan dan bebanan risiko kepada institusi peminjam, malah juga kepada rakyat, sekiranya berlaku kemerunduman ekonomi yang teruk, yang tak dijangka.


Cukai majikan



Ketujuh, pengecualian cukai kepada majikan yang menyediakan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja dianggap sebagai satu cadangan yang baik, kerana ia akan menggalakkan lebih ramai wanita memasuki pasaran kerja dan mengurangkan kewujudan pusat-pusat asuhan yang tidak berdaftar.

Ia juga akan memberikan kesan menaik kepada jumlah pendapatan isirumah yang seterusnya memberikan impak positif kepada aliran ekonomi.

Kelapan, pemberian insentif kepada pihak yang mengeluarkan Agro-Sukuk, Sukuk Runcit dan Bon Runcit akan merancakkan lagi pasaran modal, khususnya pasar modal Islam sebagai alternatif untuk mendapatkan dana kos yang lebih kompetitif.

Selain itu, ia dianggap sebagai nafas baru kepada segmen pertanian Negara untuk berkembang dengan lebih rancak lagi. Untuk lebih merancakkannya lagi, program kesedaran dan pendidikan pelaburan sukuk / bon ini perlu diperluaskan ke seluruh Negara melalui agensi yang sedia ada.



Cukai Pendapatan



Kesembilan, pengurangan 1% cukai pendapatan adalah satu langkah yang baik, walaupun ia dianggap begitu kecil. Namun, ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan jumlah pendapatan boleh guna rakyat.

Walaubagaimanapun, ianya juga perlu seiringan dengan anjakan menaik harga barangan dalam pasaran. Jika tidak, ia hanya berlalu tanpa memberikan apa-apa kesan yang signifikan.

Akhir sekali, kita menyambut baik cadangan pihak kerajaan untuk memberikan diskaun tambang kepada pengguna KTM yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Namun, pada masa yang sama kita mencadangkan agar diskaun ini diperluaskan ke aliran pengangkutan awam yang lain, khususnya yang ditadbir urus oleh Syarikat Prasana Negara Berhad.
Begitu juga dalam soal kecekapan dan mutu perkhidmatan, ia juga perlu sentiasa ditambah-baik dari semasa ke samasa, walaupun aliran tunai masuk mereka kemungkinan akan mengalami sedikit penyusutan, yang seterusnya menjejaskan keuntungan syarikat.

Di samping itu, untuk menyemarakkan lagi usaha ini, semua tempat letak di kawasan KTM dan aliran pengangkutan awam yang lain perlu disediakan secara percuma.

Sebagai kesimpulannya, bajet 2013 boleh dianggap sebagai positif tetapi, memerlukan beberapa penambahbaikan dari segi intipati, perlaksanaan dan penguatkuasaannya, agar matlamat yang dicadangkan dapat dilaksanakan dengan lebih tuntas dan tidak hanya tertumpu kepada kelompok-kelompok tertentu semata-mata.

Ibarat kata pepatah Melayu ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’. Biarapapun persepsi pelbagai pihak terhadap bajet kali ini, amanah rakyat perlu ditunaikan, dan janji mesti ditepati untuk kesejahteraan rakyat.

Wassalam @ Daya Fikir
----------------------------------------------------

Penulis: Abdul Hadi Bin Jusoh dan Hashim Bin Ahmad Shiyuti

Tentera Assad lancar bom kluster


(Laporan Human Rights Watch  mendapati tentera kerajaan telah menjatuhkan  bom kluster di kawasan penduduk awam.)

 Kerajaan Syria telah menjatuhkan bom kluster buatan Rusia di kawasan awam pada minggu lalu dalam usaha mengambil kembali kawasan yang dirampas kumpulan penentang, menurut kumpulan pemantau Human Rights Watch.

Bom digugurkan dari kapal terbang dan helikopter, dengan banyak serangan mengambil tempat berhampiran lebuh raya utama utara-selatan yang melalui bandar barat laut Maarat al-Numan, dalam satu laporan Human Rights Watch yang dikeluarkan Ahad lalu.

Kumpulan penentang merampas Maarat al-Numan dari tentera Presiden Bashar al-Assad, minggu lalu, memotong laluan dari Damsyik ke Aleppo, bandar terbesar di Syria. Tentera kerajaan cuba untuk merebut kembali kawasan tersebut sejak perampasan berkenaan.

Human Rights Watch,  sebelum ini telah melaporkan bahawa Kerajaan Syria menggunakan bom kluster, yang telah diharamkan oleh kebanyakan negara, pada Julai dan Ogos lalu tetapi serangan terbaru ini menunjukkan keazaman kerajaan untuk mendapatkan semula kawalan strategik di barat laut Syria.

Bom kluster boleh menggugurkan ratusan bom di kawasan yang luas,  direka untuk membunuh orang sebanyak mungkin. Kumpulan hak asasi manusia mengatakan penggunaan bom kluster di kawasan penduduk awam boleh menjadi satu jenayah perang.

Lebih daripada 100 negara telah mengharamkan penggunaan, pengumpulan, pemindahan atau penjualan bom kluster di bawah konvensyen yang kemudian menjadi undang-undang antarabangsa pada tahun 2010, tetapi Syria tidak menandatanganinya, sama seperti Rusia, China dan Amerika Syarikat.

Struktur semula subsidi IPP elak tarif elektrik naik


Kerajaan digesa membuat penstrukturan semula subsidi yang diberikan kepada penjana tenaga bebas (IPP) untuk mengelakkan berlakunya kenaikan kadar tarif elektrik.

Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria berkata, pemberian subsidi sebanyak RM19 billion kepada IPP itu perlu dilihat semula oleh kerajaan.

Malah katanya, melalui penswastaan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menjadi penyumbang wang tunai kepada IPP yang membuat keuntungan besar.

Akibat tekanan itu, katanya, TNB telah merayu kepada kerajaan untuk meningkatkan tarif bagi mengatasi kedudukan kewangannya yang terjejas.

"Akhirnya, TNB akan menaikkan tarif elektrik di mana pengguna akan terus menjadi mangsa," katanya dalam soalan tambahan di Dewan Rakyat.

Beliau turut membangkitkan soal pembahagian dan penghantaran tenaga yang dimonopoli oleh TNB perlu dipecahkan agar wujudnya persaingan bagi mengelakkan berlakunya kenaikan tarif elektrik sewenang-wenangnya.

"Pemonopolian perlu dipecahkan, supaya ada persaingan. Persaingan ini bukan sahaja ianya sihat yang penting dapat mengurangkan beban yang ditanggung pengguna akibat kenaikan tarif elektrik," katanya.

Sebelum itu dalam sesi soal jawab, Nasir mengemukakan soalan asal yang meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyatakan tarif terkini elektrik untuk semua katagori pengguna dan bagaimana pelarasan tarif dilakukan oleh TNB dan nyatakan tahun pelarasan di lakukan. 

KDNK Kelantan 2012 atasi peringkat negara


Biar pun ada pihak mendakwa Kelantan tidak membangun, namun laporan Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kelantan mengatasi peringkat negara.


KDNK Kelantan 2012 dijangka meningkat kepada RM11,144 juta dengan kadar pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus, sedangkan pertumbuhan Malaysia pada tahun sama pada kadar 4 hingga 5 peratus.

Sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama kepada KDNK Kelantan pada 2010 iaitu sebanyak 73.8 peratus, sektor pertanian (19.4 peratus) dan pembuatan (4.7 peratus).

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, KDNK Kelantan pada 2012 bagi sektor perkhidmatan dijangka meningkat kepada 80.4 peratus.

“Kerajaan berbelanja secara bijaksana, berhemah dan adil serta mengutamakan kebajikan kepada rakyat berdasar keapda sumber sebenar,” katanya pada ucapan Belanjawan Kelantan 2013 pada persidangan Dun hari ini.

Teks belanjawan tersebut dibaca Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa.

Teras Belanjawan Kelantan 2013 yang bertema Bajet Negeri Berkebajikan menumpu kepada  merancakkan pembangunan ekonomi untuk semua rakyat, memperkasa pembangunan insan berteraskan Islam.

Selain itu pembelaan golongan daif, miskin, kurang upaya, anak yatim, armalah dan warga emas serta memperkukuhkan keupayaan institusi dan badan pelaksana.

Menteri Besar berkata, selaras komitmen kerajaan menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat, program sosioekonomi akan dimantapkan.

Kemudahan infrastruktur

Katanya, sejumlah RM153.37 juta diperuntukan di bawah program penyediaan kemudahan infrastruktur asas kepada rakyat termasuk pembinaan jalan dan jambatan baru di samping memperluaskan sistem rangkaian jalan.

Sebanyak RM20 juta disediakan kepada JKR dan RM7 juta di bawah Pejabat Pembangunan Negeri untuk melaksanakan projek di bawah program kesejahteraan rakyat.

Antaranya pembinaan lorong memotong jalan Kota Bharu-Kuala Krai sebanyak RM2 juta, pembinaan jambatan Sungai Manal, Tanah Merah (RM2.2 juta), pembinaan jambatan Sungai Kerak, Machang (RM2.1 juta).

Pembinaan jambatan Kampung Kuau (RM2.5 juta), pembinaan jambatan konkrit di Sungai Sat dan jalan Kampung Kelaweh ke Maka, Machang (RM6.01 juta), jambatan Sungai Kemasin di Pengkalan China, Bachok (RM2.6 juta).

Jambatan Pulau Kundor, Kota Bharu (RM2.1 juta) dan jambatan merentasi landasan keretapi di Bandar Pasir Mas (Fasa II) - RM4.82 juta.

Bagi pembangunan rohani dan sahsiah kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi mengadakan kursus, bengkel latihan dan ceramah bagi meningkatkan kualiti modal insan rakyat khususnya golongan muda.

Pembinaan masjid

Sebanyak RM3 juta disediakan bagi projek pembinaan dan pembaikian masjid-masjid di seluruh negeri.

Antara masjid yang siap dibina pada 2012 iaitu Masjid Keputeraan Paloh 2, Gua Musang dengan kos sebanyak RM3 juta dan Masjid Keputeraan Lojing (RM3.89 juta). Manakala Masjid Chenulang, Kuala Krai (RM500,000) dijangka siap tahun depan.

Peruntukan sebanyak RM3 juta bagi program-program pembinaan insan bagi pembangunan modal insan generasi muda.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Yayasan Islam Kelantan (Yik) mendapat peruntukan paling banyak iaitu RM72 juta.  Yik mengurus 91 sekolah agama termasuk dua Maahad Tahfiz Quran dan empat Maahad Tahfiz Sains.

Bajet 2013 juga turut menyediakan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi projek pembangunan, menyelenggara dan menaiktaraf sekolah berkenaan.

“Yik merancang membina Maahad Muhammadi Sains (Lelaki) di Pengkalan Chepa dianggar melibatkan kos sebanyak RM12 juta. Pejabat Yik juga akan dibina di Tunjung dengan kos sebanyak RM8 juta,” ujarnya.

Kelantan juga bagi bonus sebulan setengah gaji


 Kelantan hari ini mengumumkan membayar bonus satu bulan setengah gaji kepada semua kakitangan awam negeri, di mana setengah bulan gaji dibayar Ogos lalu.


Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan perkara itu ketika membentang Bajet Kelantan 2013.

Teks belanjawannya dibaca Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa.

Menteri Besar berkata, baki selebihnya akan dibayar pada bulan Disember ini dan Januari 2013.

Katanya juga budaya Kerja Berprestasi Tinggi yang berpegang Ubuddiyyah, Masuliyyah dan Itqan membolehkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) memperolehi empat bintang dalam penilaian “Star Rating” dan menduduki tangga ke empat daripada 13 pejabat SUK di negara ini pada 2011.

Manakala dalam bidang ICT Pejabat SUK juga mencapai taraf lima bintang bagi persembahan Portal Rasmi Kerajaan Negeri dua tahun berturut-turut.

Kerajaan negeri juga melalui bahagian ICT mewujudkan RTV Kelantan membabitkan kos sejumlah RM257,000 bagi menyalur maklumat kerajaan kepada orang ramai.

Menteri Besar juga berkata, bagi memberi keselesaan kepada anggota perkhidmatan awam peruntukan sebanyak RM42.5 juta disediakan bagi membina bangunan Blok 8 dan ia kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap tempoh tiga tahun.

Mengenai pencapaian dalam bidang pendidikan katanya, kecemerlangan pelajar di bawah kelolaan Yik memberangsangkan, di mana pada 2011 seramai 379 pelajar berjaya mendapat keputusan 9A dalam PMR, 1,384 mendapat pangkat Mumtaz dalam Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMU).

Manakala tiga pelajar mendapat 12A, 49 orang (11A) dan 43 (10A) dalam peperiksaan SPM pada 2011.

Pada 2012 Yik mengurus seramai 364 pelajar menyambung pengajian ke luar negara iaitu Mesir, Jordan, Kuwait, Maghribi dan Arab Saudi.

“Kerajaan juga menyediakan RM2 juta kepada Yayasan Kelantan Darulnaim bagi meneruskan kesinambungan menyalurkan penajaan dan bantuan kepada anak-anak Kelantan,” katanya.

PAS tidak setuju ubah sukatan pelajaran SAR



PAS tidak bersetuju kemungkinan kerajaan mengubah sukatan pelajaran yang digunakan oleh Sekolah Agama Rakyat (SAR) jika status sekolah tersebut ditukar kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Che Uda Che Nik (PAS-Sik) berkata, tenaga pengajar SAR mula menyuarakan kebimbangan mereka jika kerajaan mengubah sukatan dan tradisi pengajaran kitab lama yang diwarisi turun temurun daripada ulama terdahulu.

"Bila tukar status, silibusnya perlu diubah. Ini yang kita tidak setuju, kerana apa? Kerana pusaka datuk nenek kita yang membaca kitab lama ini adalah penting. Kalau kita mendaftar, tradisi itu kita buang. Yang ini para ustaz tak mahu terima.  

"Adakah menteri akan menteri pelajaran boleh memberi jaminan jika didaftarkan, kita boleh kekalkan silibus itu. Soalnya silibus, bukannya soal kuasa, tanah dan lain-lain, itu soal yang kedua," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mencelah ucapan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga berkata, SAR bersedia ditukar kepada SABK jika kerajaan dapat memberi jaminan tidak akan mengubah silibus pengajaran.

Sebelum itu, Che Uda menyentuh mengenai keadaan sekolah di luar bandar yang masih daif dan kekurangan fasilitu berbanding sekolah di kawasan bandar.

"Sekolah di luar bandar masih tertinggal dari segi kemudahan fasiliti.

"Guru-guru di sekolah luar bandar sedih kerana tumpuan kepada sekolah yang cemerlang di bandar sahaja tapi tidak kepada sekolah biasa sehingga berlaku perbezaan taraf. Sekolah yang tinggi benar-benar tinggi tapi yang rendah terus rendah," katanya.

Dr Hasan Ali hanya sebagai alat Umno


Kenyataan bekas seorang ahli PAS yang dipecat supaya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melepaskan jawatan Mursyidul Am menjelaskan keadaan sebenar Datuk Dr Hasan Ali sebagai alat Umno.


Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kenyataan bekas anggota Exco Selangor itu selari dengan kehendak Umno.

“Adakah beliau juga sudah menjadi alat Umno. Beliau tidak berhak buat desakan sebab sudah pun ditolak dan dipecat sebagai ahli PAS,” katanya pada satu kenyataan di sini.

Hasan dalam laporan media tajaan Umno semalam dilaporkan mendesak Mursyidul Am PAS berundur dan menyerah jawatan kepada timbalannya, Datuk Dr Harun Din.

Kenyataan itu juga diulas seorang lagi bekas pemimpin PAS, Datuk Nakhaie Ahmad dengan menyatakan sokongan kepada saranan Hasan.

Dr Mohamed Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, tindakan Hasan cuba melagakan Mursyidul Am dan timbalannya dianggap sebagai suatu tindakan yang berniat jahat.

“Mursyidul Am PAS mendapat sokongan padu ahli-ahli dan penyokong PAS. Keputusan untuk bersama Pakaran Rakyat adalah keputusan bersama PAS Pusat.

“Kami ingin berterus terang bahawa ahli PAS kesal dan terguris hati dengan tindakan Dr Hasan Ali. Beliau patut ingat budi PAS padanya.

“Baru masuk PAS terus diberi kepercayaan menjadi Naib Presiden, menang dua kerusi Dun dan Parlimen serentak atas tiket PAS, kemudian pegang Exco juga atas tiket PAS, namun hari ini mengambil sikap bermusuh pula dengan PAS,” katanya.

Ada sebab perbelanjaan pertahanan negara diragui


Teras ingin menarik perhatian kepada semua ahli Parlimen bahawa kerajaan perlu dituntut untuk mengamalkan sikap telus dalam perbelanjaan untuk pertahanan negara.



Ketelusan dan akauntabiliti adalah syarat demokrasi yang berkualiti. Mana-mana pemerintah yang tidak telus atau tidak mahu mengamalkan akauntabiliti sukar untuk disifatkan sebagai pemerintah yang demokratik.


Mengikut kajian Transperancy International UK dari 93 negara yang dikaji mengenai ketelusan dalam belanjawan pertahanan negara Malaysia berada dalam ketegori sederhana dan rendah. Laporan mengenai kajian ini telah diterbitkan pada Oktober 2011.


Kategori Malaysia ini ditafsir sebagai negara yang mempunyai kerangka undang-undang yang mengawal perbelanjaan pertahanan dan memperuntukkan kebebasan untuk mendapat maklumat akan tetapi negara tersebut tidak bersedia atau tidak punya  keupayaan untuk menguatkuasakan undang-undang yang ada. Jika adapun pendedahan kepada awam ia dibuat dengan sangat terpilih. Kategori ini juga memasukkan ciri ketiadaan audit dalam sektor pertahanan dan perbelanjaan di luar belanjawan yang sangat tinggi.



Sesungguhnya jika semua agensi awam perlu mendedahkan perbelanjaan masing-masing maka Kementerian Pertahanan merupakan agensi yang lebih perlu mendedahkan perbelanjaannya yang kepada awam dan Parlimen.


Ini adalah kerana sering atas nama kerahsiaan,  perbelanjaan pertahanan boleh diseleweng tanpa dapat dikesan dalam audit negara pada hal elemen ketelusan belanjawan pertahanan akan menjadi kayu ukur kepada sistem demokrasi negara dan dengan itu keyakinan rakyat kepada status keselamatan negara.


Rasuah dan salah guna peruntukan dalam sektor pertahanan adalah gejala yang cukup bahaya kepada keselamatan negara. Implikasinya sangat besar dan mengekalkan keyakinan rakyat yang memberi mandat kepada kerajaan untuk menjaga kedaulatan negara adalah keutamaan tertinggi.


Pembelian pelbagai senjata pertahanan termasuk sumber tenaga manusia untuk menyelenggaranya memerlukan peruntukan yang sangat tinggi.


Untuk membeli pesawat 100 F35 atau pemusnah 16 Aegis sahaja memerlukan tenaga  teknikal mahir yang cukup mahal.


Dengan berlaku kes yang melibatkan pembeliaan senjata dan peralatan pertahanan yang tidak berkualiti, pembeliaan senjata yang tidak perlu, pembeliaan yang terpaksa diubahsuai dengan kos yang tinggi, pembekalan yang tidak memenuhi spesifikasi, pembeliaan melalui orang tengah yang mengambil komisyen yang luarbiasa tinggi, menunjukkan perbelanjaan pertahanan negara sarat dengan penyelewengan.


Peruntukan yang melibatkan belanjawan pertahanan berjumlah berbilion ringgit. Rakyat meletakkan kepercayaan kepada kerajaan agar keselamatan negara jangan digadai dengan korupsi yang tidak terkawal.


Dari jumlah RM251.6 bilion dalam belanjawan 2013, Kementerian Pertahanan mendapat RM15.2 bilion (RM13.7 bilion pada 2012 dengan RM210 juta peruntukan tambahan). Peruntukan pengurusan sahaja   RM11.9 bilion (RM6.0 bilion untuk gaji) manakala pembangunan Pertahanan mendapat RM3.2 bilion.


Dengan jumlah peruntukan yang sedemikian tinggi dan perbelanjaannya tidak pernah didedahkan kepada Parlimen mahupun kepada awam, apakah jaminan bahawa pertahanan negara tidak dijangkiti rasuah dan salahguna peruntukan.


Melihat kepada beberapa perbelanjaan yang telah dikeluarkan dari Kementerian Pertanahan untuk membeli senjata, kapal selam, peralatan komunikasi, ada sebab kenapa rakyat sangsi terhadap perbelanjaaan pertahanan negara.


Antara senarai perbelanjaan yang besar untuk 2013 ialah pembelian pesawat pejuang LCS, AV8, M4 dan EC725 yang akan diperolehi tahun depan. Tentera udara akan pasti memperolehi peruntukan pembangunan yang paling besar RM 1.2 bilion seperti untuk program AEW dan membayar penambahbaikkan pesawat Hornet.


Dalam peruntukan untuk Malaysian Maritime Enforcement Agency (dibawah Jabatan Perdana Menteri mendapat RM209 juta untuk pembangunan dan RM356 juta pengurusan. Peruntukan untuk logistik mendapat RM94.3 juta.


Teras menegaskan rasuah dalam pertahanan akan melesapkan dan membazir sumber wang dan tenaga manusia yang sangat besar. Ia sekaligus menyebabkan keberkesanan operasi terjejas. Dalam masa yang sama keyakinan awam tergugat terhadap kecekapan tentera dan seluruh khidmat keselamatan yang sepatutnya dijamin untuk rakyat. Tidak kurang juga rasuah dalam sektor pertahanan akan menjauhkan sebarang syarikat luar untuk melabur di negara ini.


Isu ketelusan dalam belanjawan pertahanan sangat perlu diberi pertahanan serius. Perbelanjaaan pertahanan masih terus merupakan sektor yang sangat kabur dan terdedah kepada rasuah. Dalam banyak ketika kerahsiaan yang tidak punya justifikasi yang kuat boleh mengugat keselamatan nasional dan antarabangsa.

Belanjawan adalah dokumen yang sangat penting untuk memungkinkan ahli dewan rakyat, organisasi bukan kerajaan dan masyarakat awam untuk mempertanggungjawapkan  pemimpin-pemimpin negara terhadap sebarang keputusan yang diambil.


Kes pembeliaan kelengkapan tentera yang kini diheret ke mahkamah menunjukkan sektor ini perlu diberi perhatian yang sangat utama jika kita mahu rakyat yakin bahawa keselamatan negara berada dalam keadaan kukuh dan terjamin.



Penulis ialah Presiden Teras.

Kelantan bentang bajet lebihan RM45.8 juta


Kelantan membentang anggaran Bajet 2013 dengan lebihan sebanyak RM45.83 juta ketika Belanjawan 2013 kerajaan pusat defisit 16 tahun berturut-turut.


Sedangkan pada belanjawan 2012 dianggarkan mencatat defisit sebanyak RM83.23 juta. Ini bermakna berlaku kenaikan hasil sebanyak 35.21 peratus.

Buat pertama kali juga pendapatan daripada hasil royalti petroleum sebanyak RM200 juta dimasukkan dalam bajet bertema Bajet Negeri berkebajikan.

Pembentangan bajet dilakukan anggota Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa mewakili Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengambil masa hampir sejam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Bajet dianggarkan dengan perolehan hasil sebanyak RM581.77 juta dan perbelanjaan mengurus sebanyak RM535.95 juta.

Anggaran hasil sebanyak RM581.77 juta meliputi hasil cukai sebanyak RM296.80 juta, hasil bukan cukai RM171.57 juta, manakala terimaan bukan hasil (RM113.41 juta).

“Peningkatan hasil pada 2013 berpunca daripada tuntutan hasil royalti petroleum yang sepatutnya dibayar kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri sebanyak RM200 juta atau sebanyak 34.38 peratus daripada hasil negeri.

“Kerajaan negeri memutuskan untuk memasukkan RM200 juta sebagai pendapatan dari royalti petroleum, di mana sebelum ini diletak sebagai token sebanyak RM10.

“Ini bertujuan untuk melonjakkan lagi harapan kerajaan dan rakyat Kelantan untuk mendapatkan hak serta meletakkan tiang pacak bahawa Kelantan berhak terhadap pengeluaran gas di telaga Kamelia yang akan memulakan pengeluaran Isya-Allah pada Mac 2013,” kata Menteri Besar.

Medan tersebut berada dalam Blok PM 301 yang paling hampir dengan pantai Kelantan, di mana pengeluaran tahunannya sebanyak 110,000 kaki padu setahun.

Husam ketika ditemui kemudian berkata, tidak salah untuk memasukkan  hasil daripada sumber royalti petroleum sebanyak RM200 juta memandangkan ia adalah hak Kelantan.

Katanya, perkara itu pernah berlaku di Terengganu ketika di bawah kerajaan PAS apabila perolehan daripada royalti turut dimasukkan dalam anggaran bajet negeri.

“InsyaAllah kita akan mendapat hak tersebut kerana sumber gas dan minyak terbabit berada di perairan Kelantan,” ujarnya.