Monday, January 4, 2010

JIM sokong rayuan, tapi tiada aduan polis

Oleh Salhan K Ahmad

Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) menyokong hasrat kerajaan untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar terbitan satu gereja Katholik menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitannya.

Presiden JIM, Zaid Kamaruddin berkata pertubuhan itu bagaimanapun tidak akan membuat laporan polis bagi menghalang Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur, selaku penerbit, menggunakan kalimah tersebut dalam akhbar Herald-The Catholic Weekly.

Isu ini kembali menjadi perhatian sejak 16 Februari tahun lalu apabila ketua paderi gereja itu Tan Sri Murphy Pakiam, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Zaid menjelaskan, rayuan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu penting untuk memelihara proses undang-undang bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

Tambahnya, tindakan gereja Roman Katholik Kuala Lumpur memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman terhadap keputusan mahkamah terdahulu itu jelas bertentangan dengan undang-undang negara.

"Ini bertentangan dengan enakmen yang dikuatkuasakan di 10 buah negeri. Undang-undang ini menghalang penyebaran agama lain kepada orang Islam dan juga menghalang penggunaan kalimah Allah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau juga berharap isu yang berlarutan sejak ini tidak dipolitikkan mana-mana pihak sehingga menaikkan lagi sentimen orang Islam.

"Jadi tak perlulah ada lagi mana-mana pihak yang cuba memanaskan keadaan," katanya dan menjelaskan saranan itu ditujukan kepada semua pertubuhan sama ada mewakili masyarakat Islam mahupun Kristian.

Tambahnya, kalimah Allah itu merupakah satu elemen suci bagi orang Islam di negara ini dan tidak layak digunakan oleh bukan Islam.

"Bagi masyarakat Islam, komen ke atas nabi dan rasul sudah menjadi perkara sensitif, apatah lagi jika nama Allah diberikan taraf yang tidak selayaknya," katanya lagi. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment