Monday, January 4, 2010

‘Sijil halal’ ayam cucuk

GEORGETOWN: Pengusaha sebuah kafe di Jalan Penang di sini dikesan menggunakan sijil halal tanpa pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selain menyajikan minuman keras dan ayam tidak disembelih mengikut hukum syarak ditetapkan.
Lebih mengejutkan, kafe baru dibuka kira-kira sebulan lalu terletak di kawasan popular bagi pelancong asing, juga sering dikunjungi pelanggan beragama Islam yang tertipu dengan muslihat pengusaha tidak bertanggungjawab terbabit.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi Khamis lalu, pengusaha kafe itu yang berusia 36 tahun cuba memberi pelbagai alasan apabila disoal siasat dengan mengatakan tidak tahu tindakan yang dilakukan itu salah.

Serbuan dijalankan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), hasil pemantauan dilakukan sejak kafe berkenaan dibuka sebulan lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JHEAIPP, Faizal Ibrahim, berkata ketika pemeriksaan, pihaknya mendapati kafe berkenaan menyediakan minuman keras kepada pelanggan selain menyediakan menu mempunyai logo halal.

Beliau berkata, pengusaha didapati menyalahgunakan sijil halal diperoleh daripada sebuah pusat penyelidikan makanan Islam Malaysia dan Asia (IFRC) beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan kafe berkenaan mempunyai sijil halal sah tempoh sehingga 26 Oktober 2011, namun ia tidak mendapat pengiktirafan Jakim atau mana-mana jabatan agama Islam di negara ini.

“Pemeriksaan di dapur pula mendapati ayam dibekalkan kepada kafe berkenaan ayam cucuk yang teknik penyembelihan amat mencurigakan berikutan leher ayam dilihat mempunyai kesan cucuk.

“Siasatan mendapati ayam berkenaan tidak disembelih mengikut hukum syarak mengikut Mazhab Syafie kerana tiga urat penting di leher ayam yang disembelih perlu putus, iaitu urat pernafasan serta urat makan dan minum,” katanya.

Faizal berkata, dalam pemeriksaan itu, 22 ayam disimpan dalam peti ais, sijil halal dari IFRC, tiga logo halal, sembilan botol minuman keras dan menu minuman keras dirampas dan pengusaha kafe itu ditahan.

Beliau berkata, pengusaha kafe dibebaskan selepas diambil keterangan dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti syarikat pembekal ayam kepada kafe berkenaan.

Katanya, semua barangan dirampas diserahkan kepada KPDNKK untuk tindakan lanjut dan pihaknya memandang serius mengenai isu halal ini.

 Ini LAH akibatnya Ajaran rasuah from UMNO haram @halal....bontu kepala yeop....?

No comments:

Post a Comment