Monday, January 10, 2011

Pemuda PAS cabar Pengarah Pelajaran Johor tanding di Tenang

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Dewan Pemuda PAS pusat mencabar Pengarah Pendidikan Johor Markom Giran yang didakwa ‘berkempen’ untuk Barisan Nasional (BN) di Tenang baru-baru ini agar bertanding jika berminat sangat dalam politik.
“Saya mencadangkan kepada Markom agar memberi notis 24 jam berhenti sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan menjadi calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Tenang,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kayat.
“Beliau dilihat berpotensi memandangkan beliau sudah dikenali ramai melalui media baru dan kebetulan beliau sudah hampir bersara awal tahun ini.
“Saya penuh yakin Datuk Abdul Ghani Othman, Pengerusi Perhubungan Umno Johor akan bersetuju dengan cadangan ini,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
PAS membuat laporan polis mengenai isu itu Jumaat lalu.
Malah Dewan Pemuda PAS juga menyifatkan tindakan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi mempertahankan Pengarah Pelajaran Johor yang didakwa berkempen untuk BN di Sekolah Menengah Tenang Station 31 Disember lalu, sangat memalukan.
Dalam kenyataannya semalam, Puad menyatakan bahawa tindakan Markom tidak salah kerana sebagai penjawat awam  beliau berhak menyokong dasar-dasar kerajaan.
Puad memberi alasan bahawa calon belum dikemukakan, maka tiada kempen dilakukan oleh Pengarah Pelajaran Johor tersebut.
“Sebenarnya Timbalan Menteri Pelajaran ini tidak mengkaji ucapan sebenar Markom yang rakamannya boleh diperoleh dengan mudah di YouTube,” kata beliau.
Secara jelas Markom mengesa guru-guru kaunseling menyokong dan berkempen bagi calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Tenang, katanya.
“Antara ucapan-ucapan beliau adalah kalau tidak ada pilihan raya Tenang, maka saya tidak akan berjumpa tuan-tuan semua dan memohon bantuan gerakan jentera bantu kerajaan untuk menang pilihan raya kali ini,” katanya.
Kata Suhaizan, pegawai kanan itu menyatakan terdapat empat kategori ibu bapa iaitu hijau adalah penyokong pembangkang, kelabu mereka yang membantah dasar-dasar kerajaan, putih dan biru dipercayai penyokong BN.
Suhaizan berkata, Pemuda PAS juga mendesak kepada Puad agar menyesali dan memohon maaf khususnya kepada semua warga pendidik dan masyarakat DUN Tenang berhubung dengan kecuaian beliau memberi respons yang salah terhadap isu ini.
Kata beliau, sebagai Timbalan Menteri Pelajaran Puad hendaklah berkecuali dalam menilai laporan-laporan yang telah dikemukakan walaupun daripada Pakatan Rakyat.
“Beliau tidak boleh berpihak atau dilihat berpihak. Tindakan Puad yang secara jelas berpihak kepada Markom tanpa kajian yang mendalam dilihat sebagai tindakan yang tidak profesional,” katanya.
Jika Puad boleh bertindak sedemikian rupa, katanya, bagaimana beliau boleh berperanan secara berkesan sebagai ahli Parlimen Batu Pahat dan Timbalan Menteri Pelajaran.
“Bayangkan bagaimana Puad boleh bertindak secara adil jika terdapat laporan-laporan guru terlibat dengan pembangkang.
“Saya sangat khuatir  ramai lagi warga pendidik yang akan menjadi mangsa dasar pilih kasih seorang Timbalan Menteri Pelajaran,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment