Monday, January 10, 2011

Umno cemburu lihat kerjasama Pakatan

Media disaran supaya menghentikan berita yang cuba mensensasikan isu kerajaan perpaduan antara Umno dan Pas, kata Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Manuty.
Menurutnya, Presiden Pas sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis Solat hajat Perdana anjuran Pakatan Rakyat di Stadium Melawati malam tadi, telah mengulangi pendirian bahawa parti itu akan kekal setia bersama Pakatan Rakyat.
“Saya melihat ini merupakan satu penegasan yang sangat dialukan ketika sebahagian besar pendokong Pakatan Rakyat tentunya tertanya-tanya tentang isu itu.
“Penegasan ini tentunya melegakan pandangan rakyat  yang mahu melihat kekuatan Pakatan yang tidak tergugat sama sekali mengikut perencanaan yang cuba digerakkan Umno,” katanya kepada Keadilandaily.
Dr Muhammad Nur Manuty berkata, isu itu sengaja ditimbulkan kerana Umno merasa sangat tertekan dengan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.
“Umno merasa cemburu melihat gabungan semakin kukuh dalam Pakatan Rakyat terutama selepas Konvensyen Pakatan yang diadakan bulan lalu,” katanya.
Jesteru itu, beliau meminta pihak media supaya tidak lagi mensensasikan berita mengenainya tanpa mendapatkan perspektif yang jelas dari pimpinan Pakatan Rakyat sendiri.
“Saya merasa perlu sangat media menghentikan isu ini supaya gerak kerja kita untuk mara ke depan berjalan dengan lancar dan berkesan serta tidak membuang masa membincangkan isu kerajaan perpaduan ini lagi,”  tambah beliau.
Dalam ucapannya di hadapan  penyokong Pakatan rakyat malam tadi, Abdul Hadi Awang berkata, parti itu akan kekal bersama Pakatan Rakyat dalam berdepan apa jua cabaran dan komited menentang Umno Barisan Nasional.
“Kepada siapa sahaja rakan kita yang disentuh samada PAS, KEADILAN dan DAP, kita akan bersama dalam menghadapi segala cabaran. Pakatan Rakyat makin hari makin kuat. Ini kenyataan terbuka yang kita nyatakan secara praktikal pada malam ini,” katanya pada majlis Solat Hajat Perdana itu.
Sementara Muryidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam pidatonya pula berkata, beliau mengingatkan pendokong Pas mengenai pengkhianatan Umno ketika parti itu menjadi komponen BN.
“Dia nak bela Melayu tapi Melayu Kelantan tak nak bela. Inilah Umno. Nak suruh PAS berpadu dengan dia. Kita dah masuk BN, itupun dengan permintaan Allahyarham Tun Razak.
“Bila masuk dia tendang kita. Saya ingat pepatah Arab. ‘Anjing yang kurus, bagi makan sampai gemuk, dia gigit kita balik. Oleh yang demikian bila dia minta balik bersungguh minta balik bekerjasama kita kata tidak,” kata Nik Aziz

No comments:

Post a Comment