Tuesday, October 16, 2012

Belum tentu saman NFC kembalikan RM250 juta




Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata saranan Ketua Audit Negara agar Kerajaan Persekutuan menyaman NFC tidak menjamin wang pinjaman RM250 juta dikembalikan sepenuhnya.

Menurut beliau, perjanjian yang dimeterai adalah di antara Kerajaan Malaysia dan NFCorp dan sebarang tindakan undang-undang sivil seperti saman akan hanya melibatkan NFCorp.

Sedangkan katanya, penyelewengan dan pembelian aset mewah yang tidak ada kena mengena dengan projek fidlot kebangsaan banyak berlaku di dalam syarikat-syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, bukannya NFCorp.

Syarikat-syarikat tersebut katanya secara undang-undang tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab atau obligasi kepada kerajaan atau pun perjanjian dana awam RM250 juta kerana ia hanya melibatkan NFCorp, maka ia tidak boleh disaman.

"NFCorp tidak mempunyai aset yang besar dan mengalami kerugian sejak ia beroperasi.

"Jika Kerajaan Persekutuan berjaya sekali pun di dalam tindakan saman sivilnya, NFCorp boleh sahaja diisytiharkan muflis tetapi tidak masih mampu membayar kembali RM250 juta yang dipinjam," tegasnya.

Ketua Audit Negara dalam Laporan Audit 2011 menyatakan beberapa langkah yang dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap NFC berikutan kegagalannya memenuhi syarat perjanjian yang ditandatangani dan prestasi projek yang tidak dicapai.

Salah satu langkah yang dipertimbangkan adalah mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap NFC.

Oleh sebab itulah katanya, Kerajaan Persekutuan perlu mengenakan “jaminan peribadi” (personal guarantee) terhadap Shahrizat dan keluarganya agar semua harta mereka termasuk hartanah mewah yang dibeli melalui syarikat-syarikat milik keluarga mereka tetapi menggunakan dana dari NFCorp, boleh disita bagi mendapatkan kembali RM250 juta dana awam yang diselewengkan.

Pada masa yang sama, beliau turut mendesak Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia mengambil tindakan di bawah Akta Anti Pengubahan Wang (Anti Money Laundering Act, AMLA) seperti yang pernah disyorkan sebelum ini, agar sebarang aset Shahrizat dan keluarganya  boleh dibekukan dan disita.

No comments:

Post a Comment