Tuesday, October 16, 2012

Jamil tak jawab mekanisma naik gaji CEO Tabung Haji


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom didakwa gagal memberikan penjelasan berhubung kenaikan gaji Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai eksekutif (CEO) Tahung Haji Datuk Ismee Ismail.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Jamil hanya berkata kenaikan gaji Ismee itu mengikut peraturan yang ditetapkan namun tidak menjelaskan apakah mekanisme yang digunakan.

"Isunya menteri kata ikut peraturan tapi saya persoalkan peraturan apa yang diguna pakai tapi sampai sekarang menteri tak jawab.

"Saya tidak persoal peribadi Datuk Ismee Ismail sebagai CEO tapi yang saya persoalkan bagaimana mekanisme kenaikan gaji daripada 2011 sebanyak RM70,000 naik kepada RM85,000 pada 2012," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Naib Presiden PAS itu juga berkata, ketiadaan jawatankuasa penetapan gaji dalam Lembaga Pengarah Tabung Haji untuk menentukan kenaikan gaji CEO juga menimbulkan kecurigaan.

"Tak ada jawatankuasa penetapan gaji dalam lembaga pengarah tabung haji. Ada jawatankuasa soal pelaburan, ada enam jawatankuasa tapi tak termasuk soal penetapan gaji.

"Kalau menteri kata kenaikan ini mengikut peraturan, ini satu pembohongan yang dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Justeru Mahfuz berkata, beliau sedang merancang untuk menubuhkan badan bertindak untuk menyelamatkan Tabung Haji daripada sebarang penyelewengan.

"Saya akan bincang untuk menubuhkan badan bertindak untuk menyelamatkan tabung haji. Mungkin kita akan namakan badan ini sebagai penyelamat tabung haji," katanya.

Awal bulan lalu ketika berbahas di Parlimen, Mahfuz mendedahkan beliau mempunyai maklumat bahawa gaji Ismee dinaikkan dari RM70,000 pada 2011 kepada RM85,000 pada 2012.

Selain gaji, beliau juga mendakwa CEO Tabung Haji itu juga turut mendapat bonus RM700,000 serta gratuiti RM490,000.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana gaji seorang CEO berstatus kontrak memperolehi gaji sebesar itu berbanding CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berjawatan tetap tidak menikmati gaji selumayan itu malah gaji dan bonus itu sendiri lebih daripada yang diperolehi perdana menteri.

Apa yang dibimbangi kata Mahfuz, jika ada berlaku ketidaktelusan dalam agensi itu sehingga boleh menjejaskan simpanan pencarum yang lain.

No comments:

Post a Comment