Tuesday, October 16, 2012

P Pinang surplus kerana rakyat, pentadbiran gigih


Pengesahan Laporan Ketua Audit Negara 2011 bahawa lebihan surplus yang paling tinggi dicatat dalam sejarah Pulau Pinang yang naik 312% kepada RM138 juta pada 2011 berbanding RM33 juta pada 2010 adalah usaha gigih rakyat Pulau Pinang dan semangat berpasukan semua anggota pentadbiran kerajaan negeri.

Demikian dinyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, pentadbiran Cekap Akauntabel dan Telus atau CAT kerajaan negeri PR telahpun membolehkan surplus naik RM105 juta dalam setahun kepada rekod RM138 juta berdasarkan kenaikan hasil yang dikutip yang naik RM192 juta atau 47% daripada RM411 juta pada 2010 kepada RM603 juta pada 2011 sungguhpun perbelanjaan mengurus naik RM88 juta atau 23% daripada RM377 juta pada 2011 kepada RM465 juta pada 2011.

Kerajaan negeri juga, kata beliau berterima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Pulau Pinang atas pengurusan kewangan baik negeri, khususnya dalam menaikkan kutipan hasil sebanyak 47% atau RM192 juta.

Menurutnya, sungguhpun prestasi kewangan adalah yang paling baik dalam sejarah negeri Pulau Pinang, maka kerajaan negeri menerima teguran Laporan Ketua Audit Negara dengan hati terbuka.

“Saya telahpun mengarahkan jawapan daripada semua jabatan berkenaan sekiranya ada kelemahan yang harus diperbaiki ataupun ada teguran audit yang tidak berasaskan fakta ataupun disebabkan oleh kesilapan pihak lain dan bukannya melibatkan kerajaan negeri.

“Di antara teguran audit yang saya hendak jelaskan di sini adalah bahawa daripada RM 557.25 juta yang diperuntukkan kepada 9 jabatan negeri untuk menjalankan 2,489 projek, hanya RM 171.05 juta telah dibelanjakan, ataupun RM386.2 juta tidak dibelanjakan,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sebenarnya, jelas beliau hanya RM23.9 juta yang tidak dibelanjakan dan bukannya RM386.2 juta.

Katanya, RM23.9 juta tidak dibelanjakan kerana projek bermula lewat dan jabatan telahpun diarahkan untuk memastikan kelewatan dapat dielakkan.

Beliau menjelaskan lagi, baki RM362.3 juta tidak dibelanjakan disebabkan oleh dua (2) perkara utama iaitu:

- RM100 juta yang diperuntukkan untuk pengambilan tanah hub pendidikan Asian Women Leadership University atau AWLU di Kampung Genting, Balik Pulau tidak dibelanjakan apabila AWLU bersetuju memilih tapak kerajaan negeri di Pondok Upeh. Oleh itu pengambilan tanah di Kampung Genting dibatalkan dan kos RM100 juta dijimatkan; dan

- RM262.3 juta diperuntukkan untuk membayar hutang pinjaman projek bekalan air yang tidak perlu lagi dibelanjakan selepas perjanjian penghijrahan aset air kepada kerajaan persekutuan menerusi Perbadanan Asset Air Bhd(PAAB). Ini adalah kerana kerajaan persekutuan diperlukan membina Empangan Air Mengkuang dan mengambilalih hutang pinjaman ini sebagai pra-syarat kerajaan negeri bersetuju menyerahkan aset air kepada PAAB.

Ahli Parlimen Bagan itu menambah, Laporan Ketua Audit Negara telahpun menyatakan bahawa daripada 2,489 projek yang telah diluluskan pada 2011, sebanyak 2,455 projek (iaitu  98.6%)  telah siap sepenuhnya.

Katanya, hanya dua perbelanjaan besar sebanyak RM362.3 juta tidak dijalankan seperti yang dijelaskan di atas.

Beliau berkata, daripada jumlah peruntukan  RM557.25 juta hanya RM23.9 juta tidak dapat dibelanjakan kerana lewat berjalan projek.

“Pada keseluruhannya ulasan Ketua Audit Negara adalah bahawa pencapaian yang  baik dari segi bilangan projek yang berjaya disiapkan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment