Friday, October 21, 2011

"Lawan ilmu dengan ilmu!" Mahasiswa bangkit pertahankan Aziz Bari

Kira-kira 700 orang siswa-siswi berhimpun selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk mempertahankan pensyarah Undang-Undang UIAM, Profesor Abdul Aziz Bari.  Malah mereka bertegas, seandainya tiada tindakan sebelum lawatan Perdana Menteri pada 25 Oktober, mereka tidak menolak kemungkinan untuk berhimpun sekali lagi dan menyerah memorandum kepada Najib Razak.

Ketika berucap pada kira-kira jam 1.50 petang tadi, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Razab berkata pihak universiti perlu adil ketika siasatan dijalankan, malah seharusnya "lawan ilmu dengan ilmu", dan bukannya "lawan ilmu dengan gantung".


Profesor Abdul Aziz Bari, 52, pensyarah Undang-Undang UIAM digantung dari tugasnya semalam, dipercayai ada kaitannya dengan kenyataan beliau ketika mengulas isu campur tangan Sultan Selangor dalam kes pemeriksaan JAIS terhadap Gereja Methodist Damansara Utama.  Sebelum beliau diambil tindakan oleh pihak UIAM, beliau disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak polis di bawah Akta Hasutan.

Seterusnya, Ahmad Syukri Razab memimpin perarakan ke pejabat Rektor, namun dihalang oleh kira-kira 30 orang pegawai keselamatan dan polis.  Pertembungan fizikal berlaku, sehingga pergelangan tangan kiri Ahmad Syukri Razab dicederakan, malah beliau kehilangan satu kasutnya.  Beliau berkata dirinya hanya mengalami luka ringan, ketika ditanya wartawan selepas itu.

Bagaimanapun, siswa-siswi berjaya untuk menyerah memorandum kepada Timbalan Rektor, pada kira-kira jam 2.20 petang.  Pada masa yang sama, dua orang Naib Presiden PKR, Nurul Izzah dan Tian Chua turut hadir untuk memberi sokongan kepada siswa-siswi dan Abdul Aziz Bari.  Perhimpunan bersurai selepas memorandum diserahkan.

Selain SMM, pertubuhan siswa-siswi yang hadir termasuklah DEMA, PKPIM, GAMIS, KARISMA, Pro Mahasiswa Nasional, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Majlis Perwakilan Mahasiswa Negara, Legasi Mahasiswa Progresif UPSI, Mahasiswa Pendidik UPSI dan lain-lain.

Di samping itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar bawah, berbaju biru) dihalang daripada masuk ke masjid hari ini, dan ditahan oleh lebih daripada 10 orang pegawai keselamatan dan polis. 

Shamsul bagaimanapun mengeluarkan kenyataan ringkas melalui telefon bimbitnya, "Sebentar tadi saya telah ditahan oleh pihak keselamatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berikutan kehadiran saya sebagai tanda solidariti kepada ribuan mahasiswa yang berhimpun di Masjid UIAM untuk membantah penggantungan Prof. Dr. Aziz Bari.

Apa yang menyedihkan, di UIAM yang sewajarnya menjadi tempat menyuburkan ilmu Islami seperti slogan UIAM 'Taman Ilmu dan Budi', saya ditahan di dalam Masjid dan langsung tidak dibenarkan solat meskipun solat Jumaat hampir dimulakan oleh Imam dan jemaah lainnya.

Penahanan ini jelas membuktikan bahawa pentadbiran UIAM begitu terdesak untuk mengekang keprihatinan massa di luar kelompok mahasiswa dan pensyarah lainnya, khusus dalam isu penggantungan Dr. Aziz ini
."

Menurut pengamatan wartawan, UIAM mula membuat sekatan di pintu kampus pada jam 12 tengah hari, memeriksa setiap kereta yang masuk ke kawasan kampus.  Kereta tidak dibenarkan masuk selepas menunjukkan pass media, malah diberitahu pegawai keselamatan bahawa hanya Utusan Malaysia dan Berita Harian dibenarkan masuk.  Bagaimanapun, wartawan berjaya masuk ke kawasan kampus dengan menumpang kereta dua orang muslim yang lain.

No comments:

Post a Comment