Friday, October 21, 2011

Sam diheret daripada menunaikan solat Jumaat di masjid UIA.


Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin hari ini diheret daripada menunaikan solat Jumaat di masjid Universiti Islam Antarabangsa, sebelum perhimpunan membantah penggantungan tugas Profesor Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah bermula.


Bercakap kepada Malaysiakini selepas kejadian itu, Shamsul Iskandar berkata beliau diangkut dan ditarik ke dalam sebuah Proton Satria hitam dan dibawa keluar dari perkarangan universiti itu.

Beliau yang merupakan bekas pelajar UIA itu berkata kira-kira 15 orang - ada yang berpakaian seragam pengawal keselamatan dan ada juga yang tidak - menahannya sebaik sahaja beliau mengambil wuduk.

“Saya beritahu saya mahu solat dahulu kerana iqamat mula dibacakan, tetapi mereka kata tidak boleh dan malah mereka juga tidak boleh menunaikan solat,” katanya.

Shamsul Iskandar berkata mereka enggan bertolak-ansur dan kemudiannya bertindak mengheretnya ke kereta.

Beliau berkata mereka yang tidak berpakaian seragam itu juga tidak menunjukkan sebarang kad pengenalan diri dan bertindak dengan cara yang kasar.

“Apa yang menyedihkan, di UIA yang sewajarnya menjadi tempat menyuburkan ilmu Islami seperti slogan UIA 'Taman Ilmu dan Budi', saya ditahan di dalam Masjid dan langsung tidak dibenarkan solat meskipun solat Jumaat hampir dimulakan oleh Imam dan jemaah lainnya.

“Penahanan ini jelas membuktikan bahawa pentadbiran UIA begitu terdesak untuk mengekang keprihatinan massa di luar kelompok mahasiswa dan pensyarah lainnya, khusus dalam isu penggantungan Dr Aziz ini,” katanya.

Menurut Shamsul Iskandar beliau kemudiannya dibawa kira-kira enam kilometer jauh di kawasan sekitar Taman Melewar dan meminta dirinya diturunkan di subuah masjid di sana agar beliau boleh menunaikan solat Jumaat.

Beliau percaya tindakan menahannya bertujuan menghalangnya yang pernah menjadi pemimpin pelajar di UIA daripada mengetuai bantahan di universiti tersebut.


Malaysiakini
Share |

No comments:

Post a Comment