Tuesday, December 24, 2013

Kelantan tetap segar Membangun Bersama Islam


MINGGU lepas (21 Disember) berlangsung Konvensyen Intelek dan Graduan Kelantan. Penganjur utamanya adalah Persatuan IGrad yang diketuai Zamakhshari Muhammad.  Pejabat Menteri Besar Kelantan turut memberi kerjasama menjayakan konvensyen yang julung kali diadakan itu. 
Ia membincangkan secara serius persoalan dasar Kerajaan Negeri Kelantan, iaitu Membangun Bersama Islam.  Sifatnya julung kali kerana persoalan dasar kerajaan itu sebenarnya telah meninta sejarah unik politik pentadbiran negeri Serambi Mekah dan dibicarakan secara terbuka sejak berlalunya musim pilihan raya umum ke-13.
Meskipun sebelum ini (21 Oktober), Kerajaan Negeri Kelantan telah menyambut genapnya 23 tahun Kelantan Membangun Bersama Islam, tetapi di situ tidak berlakunya konteks penilaian yang boleh dirincikan untuk menjadi titik muhasabah.
Forum memenuhi harapan
Walaupun begitu, pihak Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG) sebelumnya telah mengadakan satu forum sulung seawal penubuhannya (ditubuhkan pada Jun 2013). Forum tersebut membincangkan "Kelantan Pasca Tok Guru: Harapan dan Halatuju".
Forum yang telah menghasilkan perkongsian antara moderatornya Ketua Eksekutif KTD, Dr. Abdullah Sudin dengan tiga figur cendiakawan, iaitu pertama mewakili Kerajaan Negeri Kelantan ialah Datuk Dr Mohamad Fadzli Datuk Hassan, keduanya pensyarah USM dan mantan Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zanal Abidin dan ketiga pensyarah media UMK, Profesor Dr Abu Hassan Hasbullah.
Hasilnya banyak maklumat dihidangkan kepada audiens yang terdiri daripada ketua jabatan, para pentadbir dan kakitangan kerajaan negeri. Justeru, pihak Pengarah IPTG, Dr. Che Samsudin Mohamed Nor bertanggungjawab mengangkat semua maklumat yang berguna itu kepada pihak Menteri Besar untuk diteliti demi memenuhi harapan dan halatuju yang lebih baik dalam pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam.
Sokongan Menteri Besar
Sementara Konvensyen Intelek dan Graduan pula menyasarkan audiensnya adalah terbuka kepada wakil NGO. Ia menampilkan pengisian bermakna menerusi ucapan perasmian oleh Menteri Besar Kelantan yang dibacakan oleh Ahli Exco merangkap Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Datuk Mohd Nassuruddin Daud. Ucapan yang sarat dengan penghebahan maklumat baru dan nada sokongan tinggi Kerajaan Negeri Kelantan atas usaha IGrad tersebut.  Tahniah untuk semua aktivis IGrad.
Selanjutnya konvensyen sehari itu disusuli dengan pembentangan pengalaman mantan Speaker (juga mantan Ahli Exco Negeri Kelantan) Datuk Omar Mohamed berhubung pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam.
Diikuti pula, pembentangan kertas kerja tentang prestasi 23 tahun dasar itu dan ulasan menuju masa depan oleh Ahli Exco selaku Pengerusi Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Datuk Hassan.
Pengisian terakhir adalah sesi wacana yang meneliti persoalan realiti, isu dan cabaran dasar Membangun Bersama Islam di Kelantan. Wacana itu dijayakan bersama-sama moderatornya, Ketua Kerusi Tok Kenali KIAS, Dr. Yaacob Yusof dan tiga panelis yang terdiri daripada pensyarah sains politik UKM Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Agus Yusoff, ahli korporat Haji Ahmad Zakie Ahmad Shariff, dan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yussof.  
Kesemua pengisian dalam konvensyen kali ini dianggapkan amat bermanfaat, lebih-lebih lagi idea (baca: cadangan) dan teguran serta kritikan daripada dua figur ‘luar’ iaitu Datuk Dr. Mohamad Agus dan Haji Ahmad Zakie.
Realiti berjaya
Sepintas lalu, persoalan pokok yang dihasil daripada konvensyen dasar Membangun Bersama Islam ini sememangnya sesuatu realiti yang berjaya. Di sebaliknya banyak isu kejayaan telah diutarakan dan tidak boleh tidak sentiasa berdepan dengan cabaran. Misalnya Dr Mohamad Agus banyak mengulas dan mencadang peri pentingnya Kelantan menguruskan pendidikan rakyat secara cekap dan cemerlang serta berkebajikan. YIK antara paling diharapkan dapat meneruskan kecemerlangan.
Sementara Ahmad Zakie amat mengharapkan ketelusan dan kemurnian sistem nilai Islam dapat dihayati dan diamalkan secara terbaik demi mencipta budaya kerja (ahli pentadbir) dan pembangunan negeri (ahli korporat) yang benar-benar Islamik.
Tinggal lagi, hasil perjalanan forum itu perlu dibutirkan dalam bentuk butiran untuk muhasabah, dijadikan maklumat perancangan dan jalan penyelesaian ke arah memastikan dasar Membangun Bersama Islam sedia diurus secara tuntas oleh Menteri Besar dan Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Semoga Zamakhshari dan rakan sepasukan IGrad dapat menyediakan butiran konvensyen sebaiknya. Tahniah untuk kalian.
Bagi Kerajaan Negeri Kelantan, sesungguhnya sentiasa mengalu-alukan penyertaan dan perkongsian sumbangan mana-mana NGO bagi memesra masing-masing kelompok berkepentingan  (interest gorup) kepada memahami dasar negeri. Justeru strategi ini dibina sekian lama sejak 1990.
Sebagaimana tercatat di dalam Program PAS Kelantan 2013 ketika mengemukakan sembilan tawaran pilihan raya untuk rakyat kekal memilih PAS dan PKR, iaitu tawaran ketujuh - "Meningkatkan mutu taraf hidup ke arah Masyarakat Madani" - merupakan pendekatan masyarakat sivil yang sedia memberi ruang kepada semua pihak NGO mengemukakan apa-apa sumbangan demi kebaikan masyarakat dan negeri.
Atas komitmen inilah, Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob telah bersetuju menubuhkan portfolio Hubungan Seranta bagi menggandingkan peranan portfolio NGO yang diasaskan oleh Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz yang sudah terserlah bukti kejayaannya. Semoga Kelantan dan rakyatnya terus Membangun Bersama Islam.
______________
Wan Nik Wan Yussof ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

No comments:

Post a Comment