Tuesday, December 24, 2013

SPRM perlu siasat di mana peruntukan baja RM4 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyisatkan segera peruntukan baja subsidi sebanyak RM4 juta yang didakwa seorang pemimpin Umno diberi kepada kerajaan negeri, namun tidak diterima sehingga sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, dakwaan dibuat pemimpin terbabit begitu serius, kerana sehingga kini peruntukan yang didakwa itu tidak pernah sampai kepada kerajaan negeri.

“Sebagai wakil rakyat dan pemimpin Umno di peringkat bahagian tentunya dakwaan dibuat berasaskan fakta. Ini kerana sejak 1990 sehingga sekarang kerajaan negeri tidak pernah menerima peruntukan bagi mengeluarkan baja subsidi padi.

“Sebaliknya kerajaan negeri menggunakan peruntukan sendiri sebanyak RM2 juta setahun bagi mengeluarkan baja subsidi padi kepada petani yang dinafikan mendapat baja subsidi cap dacing dikeluarkan kerajaan pusat.

“Jadi kita hendak tanya ke mana wang peruntukan sebanyak RM4 juta setahun disalurkan, sekiranya benar seperti didakwa pemimpin Umno terbabit, ini suatu yang serius,” katanya di sini.

Baru-baru ini Ketua Umno Pasir Puteh, Zawawi Othman dilaporkan mendakwa kerajaan pusat menyalurkan peruntukan sebanyak RM4 juta setahun kepada kerajaan negeri bagi membekalkan baja subsidi kepada petani.

Oleh itu beliau mendesak SPRM menyiasat segera penyelewengan tersebut.

Che Abdullah juga berkata, sepatutnya kerajaan negeri tidak mengeluarkan sendiri baja subsidi padi memandangkan baja tersebut tersebut sudah dikeluarkan kerajaan pusat.

Bagaimanapun malangnya kata beliau baja subsidi cap dacing tidak diagih sebagaimana sepatutnya apabila petani tidak menyokong Umno dihalang mendapatkannya.

Pada awal 1990-an petani dipaksa mengisi borang Umno bagi membolehkan mereka mendapat baja subsidi cap dacing.

Ekoran masalah itu, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan sendiri baja subsidi pagi bagi membolehkan petani yang dinafikan hak dapat mengusahakan sawah.

“SPRM dan Jabatan Audit Negara perlu menyiasat segera kerana sehingga sekarang kerajaan negeri tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada pusat bagi menyediakan baja subsidi padi.

“Cuba bayangkan dalam tempoh 23 tahun sudah tentu jumlahnya lebih RM90 juta. Ini suatu jumlah yang cukup besar dan perlu disiasat segera penyelewengan wang rakyat,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment