Tuesday, December 24, 2013

Semoga Mak Cik Yam damai di sana…

Saya tak mengenali Mak Cik Yam, seorang wanita kurang upaya, peniaga sayur kecil-kecilan yang menjadi mangsa samun di Felda Tenang, Besut.

Dibelasah dengan kejam oleh penyamun pada 14 Disember lalu, bertarung nyawa di Hospital Kota Bharu, akhirnya lebih kurang jam 3 pagi tadi, Mak Cik Yam telah pergi kembali kepada Penciptanya.

Berita tragedi yang menimpanya saya baca dengan penuh simpati sambil mengirim sedikit sumbangan melalui sahabat PAS Besut yang menziarahinya di hospital.

Pagi ini apabila melihat gambar beliau ketika masih sihat sedang menjual sayur di pasar sehari yang dipaparkan  di laman sosial seorang rakan dari Besut, tanpa dipinta air mata saya mengalir laju. Serta merta dada terasa sebak dan terharu.

Gambar seorang ibu yang sedang duduk menjual sayur sangat mendalam ertinya bagi saya kerana ibuku juga seorang peniaga sayur di pasar sehari seperti juga Mak Cik Yam.

Wanita tua yang tak berdaya sepertinya diperlakukan sebegitu. Benarlah kata-kata bahawa, di dalam kelompok haiwan tiada manusia, tetapi dalam spesis manusia ada binatang!

Dari segi logik akal seorang penyamun (kalaulah penyamun itu berakal), adalah munasabah beliau diperlakukan sebegini kalau Mak Cik Yam seorang kontraktor besar. Ada ratusan ribu pitih disimpan di dalam peti besi rumahnya.

Tetapi seorang peniaga sayu kecil-kecilan, kurang upaya pula, harta apa yang Mak Cik Yam ada? Saya tahulah memang tak kaya sebab saya pun anak penanam dan penjual sayur!

Jadi apa yang penyamun ini cari sebenarnya sehingga tergamak membunuh?

Apakah kita sebagai ahli masyarakat memerlukan manusia yang tak bertamaddun dan mempunyai naluri jahat sebegini terus bersama kita dalam masyarakat?

Zalimkah suatu undang-undang itu kalau perbuatan jahat sebegini diancam dengan suatu bentuk hukuman yang sangat keras sebagai pencegahan?

Atau penjenayah sebegini perlu dikasihani, diberikan kerja supaya mereka mempunyai sumber pendapatan sebab sebenarnya mereka melakukan jenayah kerana desakan hidup?

Perompak dan penyamun lebih mengancam manusia dari pencuri. Sebab itu dalam Islam, kalau pencuri yang cukup syarat pelaksanaan hukumannya dipotong tangan, seorang perompak dipotong tangan dan kaki secara bersilang. Kalau dia merompak dan membunuh, maka dia juga perlu dijatuhkan hukuman bunuh.

Kalau Mak Cik Yam yang diperlakukan sebegitu adalah mak kita, ada tak kita sebagai anak yang akan berkata, hukuman sebegitu terhadap perompak tersebut adalah tidak berperikemanusian dan tidak bertamaddun?

Kalau undang-undang Islam ini dikatakan tidak berperikemanusian, apakah perlakuan perompak kepada Mak Cik Yam itu berperikemanusian?

Dalam Islam, ada perkara yang dikira kemestian, tiada tolak ansur dan ianya wajib dipertahankan. Agama, akal, nyawa, harta, keturunan dan maruah. Islam datang untuk melindungi kepentingan dan keperluan ini.

Kalau ada manusia yang hidupnya dalam masyarakat mengancam agama, nyawa, akal, keturunan, harta dan maruah orang lain maka Islam hadir sebagai penyelamat.

Manusia yang merbahaya sebegini perlu disedarkan dengan hukuman keras. Hukuman keras ini bukan nak hukum orang baik seperti Mak Cik Yam!

Semoga Mak Cim Yam damai di sana dan ditempatkan di syurga.

No comments:

Post a Comment