Tuesday, December 24, 2013

Kerajaan digesa selesai kemelut kekurangan diesel di stesen minyak

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) hari ini menggesa kerajaan menyelesaikan segera isu kekurangan diesel di stesen minyak di seluruh negara yang kerap berlaku terutama hujung bulan.
  
Presiden PDAM Datuk Hisham Othman berkata masalah itu telah berlarutan selama lebih setahun dan perlu diselesaikan segera supaya bekalan tidak terjejas dan penjualannya kepada pengguna berjalan lancar.
  
"Masalah kekurangan bahan bakar itu pada setiap hujung bulan telah merumitkan dan membebankan pengguna.
  
"Kehabisan diesel di stesen-stesen berlaku pada hujung bulan selama tiga hingga lima hari dan biasanya pengusaha akan dipersalahkan," katanya dalam kenyataan di sini.
  
Beliau berkata penghantaran diesel ke stesen minyak dibuat oleh syarikat dan ini di luar kawalan pengusaha.
  
Katanya bekalan diesel yang mencukupi adalah kritikal terutama dengan pelbagai aktiviti yang berlangsung ketika ini termasuk sambutan perayaan Krismas dan tahun baharu 2014. - Bernama

No comments:

Post a Comment