Friday, March 7, 2014

Berdoalah agar Allah selamatkan penumpang MAS

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau mengikuti dengan dekat perkembangan pesawat MAS ke Beijing yang terputus hubungan komunikasi dengan pusat kawalan.

“Sama-sama kita doakan semua penumpang selamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

“Kepada semua ahli keluarga, jangan putus-putus berdoa memohon kesejahteraan daripada Allah SWT,” ujar beliau menerusi facebook.
Sementara itu, Dewan Ulamak PAS Pusat mengajak seluruh rakyat Malaysia berdoa kepada Allah memberi keselamatan terbaik untuk penumpang MAS dengan Boeing 777-200 dari Kuala Lumpur ke Beijing.

“Sebagai seorang yang menjadi pelanggan tetap pelbagai pesawat kapal terbang dengan kekerapan yang tinggi saban minggu saya benar-benar menjiwai nasib dan keselamatan para penumpangnya,” ujar Ketua Penerangannya, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan ringkas.

Buat masa ini pelbagai sumber berita berlegar di pelbagai media berhubung status keselamatan 227 penumpang MAS MH370 dengan Boeing 777-200 menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur yang terputus hubungan dengan menara kawalan 2.40 pagi tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menambah, kepada ahli keluarga yang sedang dilanda kebimbangan ayuhlah tabahkan hati kalian dan banyakkan berdoa.

Katanya, antara doa yang elok dibaca ialah حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ yang bermaksud: “Cukuplah Allah bagi kami dan Dia adalah sebaik-baik tempat penyerahan diri".

No comments:

Post a Comment