Friday, March 7, 2014

Malaysia, Vietnam lancar operasi cari pesawat MAS

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya hari ini menafikan spekulasi bahawa penerbangan Malaysia Airlines ke Beijing yang hilang telah mendarat di Nanming, China.
  
Penerbangan MH370 itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi hari ini, kira-kira dua jam selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, katanya dalam sidang akhbar.
  
Ahmad Jauhari berkata pasukan mencari dan menyelamat Malaysia dan Vietnam telah mengaktifkan operasi mereka di Laut China Selatan di sepanjang sempadan ruang udara Malaysia dan Vietnam semasa hubungan dengan pesawat itu terputus.
  
"Mereka melancarkan operasi mencari dan menyelamat beberapa jam lalu. Dan mereka masih berusaha. Kita perlu menunggu keputusannya.
  
"Setakat ini, kami masih belum menerima sebarang pengesahan bahawa ada pesawat mendarat di Nanming, China. Kita terputus hubungan pada kira-kira 2.40 pagi, itu hubungan radar.
  
"Kedudukan terakhir yang dilaporkan ialah kira-kira 120 batu nautika di timur Kota Baharu, di Laut China Selatan. Tidak ada petanda isyarat kecemasan daripada pesawat," katanya.

No comments:

Post a Comment