Friday, March 7, 2014

Syabas ulangi tidak hantar lori tangki ke kawasan catuan


Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini mengulangi mereka tidak menyediakan bekalan air menerusi lori tangki di kawasan catuan kecuali bagi kawasan kritikal, kecemasan dan ada upacara tertentu.
    
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata ini kerana pelan catuan merupakan program bekalan air berjadual dan pengguna seharusnya menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan pada hari tiada bekalan.
    
"Bekalan air melalui lori tangki akan dilakukan di kawasan kritikal atau ada kecemasan, kematian dan kenduri yang memerlukan air dalam kuantiti yang banyak," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.
    
Beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan perbuatan menyalahi undang-undang bagi mendapatkan bekalan air termasuk merosakkan sistem paip agihan.
    
Mereka yang didapati terlibat dengan perbuatan itu berdepan dengan penalti tinggi menurut Akta Industri Pembekalan Air 2006, katanya.
    
Sementara itu, Syabas dalam satu kenyataan hari ini meminta orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut tentang Pelan Catuan Bekalan Air termasuk kawasan yang terlibat dan jadual agihan agar melayari laman sesawang www.syabas.com.my atau laman Facebook dan Twitter Syabas. 

No comments:

Post a Comment