Saturday, March 8, 2014

Giliran Anwar Ibrahim Fail Rayuan Di Mahkamah



Putrajaya berkata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan beliau bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kenyataan dari wakil jurucakap kerajaan Malaysia yang dikeluarkan petang ini berkata, keputusan mahkamah itu adalah isu antara dua individu di antara Anwar dan bekas pembantunya tidak melibatkan kerajaan.

"Anwar dan pasukan guamannya mempunyai hak membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan hari ini.

"Ini kes antara dua individu dan mahkamah, bukannya kerajaan.

Anwar didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Saiful pada 2008 apabila Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau pada 2012.

Mahkamah Rayuan menetapkan hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar.

Menurut Putrajaya, Malaysia mempunyai sistem perundangan yang bebas dan hakim membuat keputusan berdasarkan bukti yang dipersembahkan kepada mereka secara seimbang dan objektif.

"Sehubungan itu, bagi menghormati proses perundangan dan hak individu terlibat, tidak elok untuk kerajaan memberikan sebarang komen lanjut," kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyeru agar penyokong Anwar tidak mengadakan bantahan secara terbuka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Khalid menegaskan, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan membenarkan sebarang demonstrasi mahupun perhimpunan besar-besaran membantah keputusan mahkamah tersebut kerana setiap bantahan seharusnya dilakukan di mahkamah.

"Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia bertenang atas apa juga keputusan Mahkamah Rayuan, saya minta supaya tiada mana-mana pihak membuat himpunan membantah kerana ini proses perundangan yang dibuat melalui proses undang-undang kita.

"Apa juga bantahan perlu dibuat melalui mahkamah. Bantahan melalui jalan raya dan perhimpunan tidak dibenarkan sama sekali," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Mahkamah turut membenarkan penangguhan hukuman dengan wang jaminan RM10,000 terhadap Anwar yang harus diserahkan pada Isnin depan. – 7 Mac, 2014.

No comments:

Post a Comment