Saturday, March 8, 2014

Solat hajat keselamatan penumpang dan kru MH370

Pemuda PAS Malaysia mengarahkan seluruh jentera Dewan Pemuda PAS kawasan untuk menganjurkan solat hajat setiap hari agar usaha mencari pesawat MH370 yang dilaporkan hilang berjaya.

Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang mengeluarkan kenyataan itu berkata, negara dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 Malaysian Airlines yang dalam perjalanan dari KLIA ke  Beijing International Airport. 

Pesawat yang bertolak dari KLIA pada pukul 12.45pagi itu terputus hubungan dari menara kawalan pada pukul 2.30pagi.

Sejak dari itu kerajaan Malaysia dengan bantuan dari pelbagai agensi penyelamat telah memulakan misi mencari dan menyelamat. Negara-negara jiran juga turut membantu usaha ini.

“Saya turut menggesa semua pihak tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan spekulatif untuk mengelakkan kecelaruan maklumat.

“Kita beri kepercayaan kepada pihak-pihak tertentu untuk membuat pengumuman rasmi,” ujar Khalil lagi.

Beliau turut berharap agar semua pihak sentiasa menjaga sensitiviti daripada insiden yang telah berlaku.

“Selain usaha yang dilaksanakan ini, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia yang prihatin untuk kita bermunajat dan berdoa kepada Allah agar usaha mencari ini akan beroleh kejayaan dan semua penumpang dapat ditemui selamat,” katanya.

No comments:

Post a Comment