Sunday, April 20, 2014

Karpal Singh: Perginya seorang pejuang tanpa warna

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menziarahi jasad mendiang Karpal di Jalan Utama, Georgetown. Foto BULETIN MUTIARA
Pagi ini upacara penghormatan negeri berlangsung bermula jam 8.30 pagi untuk mendiang Karpal Singh, bekas Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang meninggal dunia akibat nahas jalan raya, Khamis lalu.
Ucapan takziah dan simpati datang mencurah mengisi ruang rumah sederhana keluarga Karpal di Jalan Utama, dekat sini sejak jasadnya dibawa ke situ untuk membolehkan sahabat handai, taulan rakan dan orang ramai memberikan penghormatan terakhir.
Tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik,  jasa Karpal terhadap negara dan rakyat sepanjang tempoh panjang khidmatnya sebagai peguam dan ahli politik dikenang ramai.
Kerajaan negeri Pulau Pinang bercadang untuk mengubah nama satu persiaran di Sungai Pinang kepada Persiaran Karpal Singh bagi mengambil sempena nama mendiang peguam itu.
Ketua Menteri Lim Guan Eng akan mengemukakan cadangan itu pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) minggu depan.
"Persiaran IJM akan ditukar kepada Persiaran Karpal Singh. Orang Pulau Pinang tahu Persiaran IJM ini, yang terletak berhampiran jambatan pertama, di tepi laut," katanya pada sidang akhbar di kediaman Karpal Singh di sini hari ini.
Karpal Singh, 74, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Km306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, Kampar.
Turut terbunuh dalam kejadian pada 1.10 pagi melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori itu pembantu peribadi Karpal, Michael Cornelius, 39.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ialah antara pemimpin Pakatan Rakyat yang paling awal mencatatkan rasa sedih dan dukacitanya dengan pemergian Karpal.
Sambil merakam takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu, beliau menyifatkan pemergian Karpal sebagai satu kehilangan kepada dunia politik tanah air.
“Beliau juga merupakan pendokong kuat kepada Perlembagaan Malaysia dan amat tegas dengan pendirian bahawa Malaysia merupakan negara sekular. Sudah tentu prinsip ini amat berbeza dengan prinsip perjuangan PAS dan beliau ternyata menghormati perbezaan ini.
“Saya masih ingat sewaktu ke rumah beliau awal tahun lepas di mana saya diberikan sambutan yang sangat hangat dari beliau. Bahkan beliau menghantar saya pulang rapat ke pintu kenderaan sekalipun situasi beliau yang terpaksa bergerak dengan kerusi roda.
“Saya kira, di sebalik perbezaan pandangan antara kami, sambutan yang diberikan oleh beliau kepada saya sangat-sangat mencerminkan kelembutan beliau dan penerimaannya terhadap hubungan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat,” ujar Tuan Guru Nik Aziz.
Berucap dalam satu majlis ceramah umum di SEBERANG JAYA, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim  mengimbas kembali kegigihan Karpal yang menjadi peguam bela dalam kes fitnah liwat 2.
“Karpal cuba hubungi saya empat kali pada 6.30 petang (Rabu lalu). Saya hubunginya semula dan beliau beritahu kami hanya ada sepuluh hari untuk hantar rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
“Beliau kata akan membuat permohonan dan lakukan yang terbaik untuk memenangi kes ini,” katanya.
Kata Anwar lagi, Karpal benar-benar bimbang akan hukuman penjara lima tahun dalam rayuan kes itu.
“Pemergiannya satu kehilangan peribadi kepada saya, (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) dan keluarga,” katanya yang menyifatkan ‘Harimau Jelutong’ itu sudah seperti ahli keluarga sendiri.
Malah, kata Anwar lagi, Karpal tidak pernah mengambil sebarang bayaran sepanjang menjadi peguam bela dalam kes itu.
“Ketika saya dalam perbicaraan, wang dikumpul untuk membayarnya tetapi beliau tidak ambil. Katanya, khidmat guaman bagi pertahankan saya adalah sumbangan kecil,” katanya lagi kepada ratusan hadirin.
Penasihat DAP Lim Kit Siang percaya perjuangan bekas Pengerusi DAP Kebangsaan itu telah berjaya menyentuh ramai orang berdasarkan ucapan-ucapan takziah yang mengalir tanpa henti sejak berita pemergiannya.
“Seluruh Malaysia bersama-sama keluarga Karpal berduka dengan pemergian seorang pahlawan. Rakyat tanpa mengira kaum dan agama dan majoriti yang tidak pernah bertemu dengan Karpal terkejut dan dengan pemergian tidak dijangka ‘Harimau Jelutong’ dan menganggapnya sebagai kehilangan peribadi.
“Inilah bukti bagaimana perjuangannya demi keadilan, kedaulatan undang-undang dan demokrasi lebih empat dekad telah menyentuh kehidupan mereka,” katanya lagi.
Mengenang bekas Pengerusi DAP Kebangsaan itu, beliau menyifatkan Karpal sebagai seorang yang tidak pernah terpengaruh dengan kedudukan, serta menjadikan cabaran sebagai penghalang dalam perjuangan menegakkan keadilan.
“Beliau tidak pernah membiarkan kuasa dan kedudukan, atau kesusahan peribadi menjejaskan komitmennya dalam perjuangan.
Karpal Singh telah pergi meninggalkan kita, namun jasanya akan tetap terpahat dalam kenangan rakyat negara ini kerana beliau sesungguhnya seorang ‘pejuang tanpa warna’.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli (empat dari kiri) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Gua Eng dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika menziarahi jasad mendiang Karpal.

No comments:

Post a Comment