Sunday, April 20, 2014

Semangat Karpal perlu dicontohi rakyat – Lim Guan Eng

Kit Siang, Mohamad Sabu dan Anwar meletakkan jambangan bunga di keranda mendiang Karpal Singh dalam majlis penghormatan negeri di Dewan Sri Pinang, Georgetown.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mengajak orang ramai supaya menghargai pemergian Karpal Singh dengan meraikan pencapaian dan merealisasikan aspirasi beliau mengenai keadilan, integriti dan kebebasan.
Menurutnya, semangat juang yang tidak pernah luntur  "Harimau Jelutong" itu dalam mempertahankan ketidakadilan dan hak-hak setiap warga walau dihalang oleh masalah fizikal perlu dicontohi.
"Anda boleh menghalang fizikalnya, tapi tidak semangatnya. Saya melihat sendiri semasa sama-sama ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting pada 1988, beliau mengalami sakit belakang yang teruk tetapi tetap enggan mengalah.
"Kecekalan dan kekuatan beliau sekali lagi teruji apabila mengalami kemalangan pada 2005 yang menyebabkannya lumpuh dari pinggang ke bawah.
"Namun kelumpuhan itu berjaya diatasi apabila beliau tetap meneruskan kerjayanya dalam bidang undang-undang dan politik. Karpal kemudian menjadi orang kurang upaya pertama di Malaysia yang dua kali dipilih ke Parlimen, kedua-duanya dengan majoriti sangat besar,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penghormatan Negeri untuk mendiang Karpal di Dewan Sri Pulau Pinang.
Setiausaha Agung DAP itu menambah, seperkara lagi yang meninggalkan kesan amat besar dari mantan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu adalah prinsip utuhnya untuk membantu semua golongan.
"Beliau enggan mengenakan bayaran bagi kes-kes ketidakadilan tidak kira individu itu orang kenamaan seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang atau Melayu miskin, India dan Cina.
"Oleh kerana itu pemergiannya akan meninggalkan kekosongan besar bukan sahaja dalam kehidupan keluarganya, tetapi kepada semua rakyat Malaysia yang terinspirasi dengan prinsip Karpal.
"(Presiden Amerika Syarikat) Thomas Jefferson berkata apabila kerajaan takut kepada rakyat, wujudlah kebebasan; apabila rakyat takut kerajaan, wujudlah kezaliman. Sepanjang hayatnya, Karpal menunjukkan kepada kita semua bagaimana untuk tidak takut pada kerajaan,” ujar Guan Eng.
Orang ramai mula memenuhi Dewan Sri Pinang dan kawasan sekitar Gurney Drive di sini seawal jam 8 pagi bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal Singh.
Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Mohamad Sabu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Speaker Dewan Negeri Selangor Hannah Yeoh.
Orang ramai berpusu-pusu mendekati van yang membawa jenazah Karpal sebaik ia tiba di pintu pagar dewan tepat pada jam 8.11 pagi.
Van membawa jasad Karpal berlepas ke Krematorium Batu Gantung sekitar  jam 11 pagi melewati tiga tempat penting dalam hidup Karpal iaitu Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang (tempat mula kerjaya peguam), Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (tempat mula kerjaya politik) dan St. Xavier Instution (sekolah). - Sumber Roketkini
Guan Eng berucap pada majlis penghormatan negeri untuk mendiang Karpal Singh di Dewan Sri Pinang, Georgetown.

No comments:

Post a Comment