Friday, October 24, 2014

PPS gagal didakwa kerana memang tak bersalah – Lim Guan Eng

Sehingga hari ini kerajaan masih gagal untuk membuat pendakwaan terhadap 154 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS), kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Kata Guan Eng, pendakwaan gagal dibuat kerana PPS sememangnya berperanan untuk membanteras jenayah, bahkan membantu tugas Polis dalam menjalankan misi kepolisan masyarakat.
“Sampai hari ni masih gagal untuk membuat pendakwaan. Sejak empat tahun lalu tidak ada masalah, bahkan pihak polis membenar dan memudahkan anggota PPS untuk menjalankan peranannya membanteras jenayah.
“Mengapa tiba-tiba hari ini (menghalang peranan PPS)?,” kata Guan Eng kepada pemberita selepas upacara pecah tanah Kolej Pergigian Antarabangsa Pulau Pinang, hari ini.
Tambah Guan Eng, meskipun Pulau Pinang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, namun kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya dalam memastikan keselamatan penduduk di negeri ini.
Langkah yang diambil termasuk menjalankan ‘program payung’ (umbrella programme), iaitu penyediaan pondok polis di kawasan dikenalpasti sebagai ‘panas’ selain penyediaan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tumpuan jenayah jalanan.
Terbaru pada Ogos lalu, kerajaan Nnegeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menambah 56 buah kamera CCTV yang menelan RM9.8 juta untuk tempoh lima tahun dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri paling selamat.

“Polis turut mahu mendapatkan kerjasama dengan  program-program kepolisan masyarakat. Melalui permintaan itu, maka PPS ditubuhkan. Kalau tak ada PPS, macam mana nak jalankan kepolisan masyarakat?
“Kemudian, Menteri Dalam Negeri membuat serangan dengan motif politik. Ini tidak adil,” ujar Guan Eng.
Beliau mempersoalkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa PPS tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan tidak termasuk di bawah mana-mana akta yang diluluskan Dewan Rakyat.
Kata Guan Eng, parti Umno sendiri mempunyai unit tertentu yang tidak berdaftar dengan ROS, termasuk Skuad Gempur Pemuda Umno.
“PPS ditubuhkan oleh kerajaan negeri. Kalau parti politik boleh, mengapa kerajaan negeri tidak boleh. Sedangkan kerajaan negeri dipilih melalui undang-undang
Justeru itu, Guan Eng menasihatkan Zahid untuk memberikan lebih tumpuan kepada isu keselamatan negara, terutamanya di Sabah yang kini kerap diancam kumpulan bersenjata, daripada terus berpolitik dengan menyerang kerajaan Pulau Pinang dan PPS.

No comments:

Post a Comment