Sunday, January 12, 2014

Lebih 1000 dipindahkan di Kelantan

KOTA BAHARU: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di dua jajahan di Kelantan pagi ini terus bertambah kepada seramai 1,050 orang berbanding seramai 897 orang malam tadi.
         
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata jajahan Jeli merupakan mangsa teramai yng dipindahkan iaitu seramai 999 orang yang kini ditempatkan di empat buah pusat pemindahan.
         
"Mereka dipindahkan di Sekolah Kebangsaan Legeh, Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Lanas, Masjid Kampung Gemang dan Masjid Sungai Satan," katanya.
         
Di Tanah Merah pula mereka yang dipindahkan hanya membabitkan seramai 51orang yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kulim.
         
Katanya kesemua mangsa itu terdiri daripada 178 buah keluarga yang dipindahkan berikutan limpahan air Sungai Golok di Jenob sejak pagi semalam.

Bacaan paras air sungai itu pada pukul 8 pagi ini adalah 24.03 meter iaitu melepasi paras bahaya 23.50 meter.
         
Penduduk di Rantau Panjang, Pasir Mas pula dinasihatkan supaya mengambil langkah bersiap sedia untuk berpindah berikutan paras ais Sungai Golok di Rantau Panjang kini telah melepasi paras bahaya.
         
Paras bacaan kini adalah 9.43 meter melepasi paras bahaya 9 meter dan sungai-sungai utama lain juga dilaporkan terus meningkat namun belum mencecah paras bahaya. - Bernama

No comments:

Post a Comment