Sunday, January 12, 2014

Pertempuran kuasai Putrajaya bermula & berakhir di Johor


KUALA LUMPUR: Johor adalah kunci untuk Pakatan Rakyat “membuka gerbang Putrajaya” khususnya bagi Semenanjung Malaysia dan pelaksanaan strategi untuk menawan Putrajaya perlu terlebih dahulu dijayakan di Johor, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang. 
Sehubungan itu beliau menyifatkan usaha menawan Johor bagi menawan Putrajaya dalam PRU14 adalah cabaran terbesar yang perlu ditanggapi Pakatan Rakyat dan menjadi isu penting dibincangkan dalam Konvensyen Negeri DAP di Batu Pahat, hari ini..
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Pakatan Rakyat telah meleburkan status Johor sebagai “negeri selamat” untuk BN dengan memenangi 5 kerusi parlimen dan 18 kerusi negeri.
Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian yang wajar dibanggakan jika diambil kira jumlah sumber yang dikeluarkan oleh BN untuk memenangi pilihan raya di negeri itu.
“Namun pencapaian itu tidak mencukupi. Untuk mencapai matlamat menawan Putrajaya dalam PRU14, Pakatan perlu menetapkan sasaran untuk memenangi separuh daripada kerusi parlimen di Johor.
“Untuk mencapai sasaran ini, kita perlu terlebih dahulu mempertahankan kawasan marginal kita (Bakri dan Batu Pahat) dan kawasan yang baru dimenangi (Kluang, Kulai dan Gelang Patah).
“Setelah itu, kita mesti melakukan gerak menyerang untuk menawan kawasan marginal BN, iatu Segamat, Sekijang, Labis, Ledang, Muar, Tebrau, Pasir Gudang dan Pulai,” ujarnya.
Menurut Kit Siang(gambar), jika Pakatan Rakyat berjaya memenangi semua kawasan marginal BN sebelum ini, ia  mampu mengumpul 13 daripada 26 kerusi yang dipertandingkan dalam PRU13.
Bagi mencapai matlamat itu, beliau menggariskan enam daripada 12 strategi yang pernah diutarakan sebelum ini iaitu:
  1. Komitmen penuh dan segera daripada ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat DAP, PKR, dan PAS di peringkat kebangsaan, negeri, atau tempatan, untuk meningkatkan sokongan orang awam sepanjang tempoh empat tahun mendatang bagi membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan di Putrajaya pada PRU14.
  2. Memastikan persempadanan semula yang adil.
  3. Memberi penekanan terhadap kempen di luar bandar.
  4. Meningkatkan kerjasama Pakatan di semua peringkat.
  5. Memberi penekanan terhadap kepimpinan antara-generasi.
  6. Mematahkan pembohongan dan propaganda BN.
Merujuk kepada persempadanan semula kawasan pilihan raya yang adil, beliau memberi contoh kawasan parlimen terkecil di Johor iaitu Labis yang hanya mempunyai 37,714 pengundi berbanding 106,726 di Gelang Patah.
“Tidak cukup jika pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Tan Sri Abdul Aziz hanya berjanji untuk tidak mewujudkan kerusi yang mempunyai lebih daripada 100,000 pengundi dalam proses persempadanan semula akan datang.
“SPR boleh memenuhi janjinya dengan melakukan persempadanan semula dan mengurangkan jumlah pengundi bagi kerusi seperti Gelang Patah, Pulai, dan Pasir Gudang yang mempunyai lebih daripada 100,000 pengundi kepada 80,000 hingga 90,000 pengundi, tetapi pada masa yang sama tidak adil dan tidak demokratik jika ia membentuk kerusi baru yang mempunyai kurang daripada 40,000 pengundi,” ujarnya.
Dalam persempadanan semula 2013, SPR jelas beliau telah membentuk kerusi Pengerang daripada parlimen Kota Tinggi, menghasilkan dua kerusi parlimen yang masing-masing mempunyai 32,484 dan 30,420 pengundi, sedangkan kerusi seperti Johor Bahru kekal dengan lebih 90,000 pengundi.
“Untuk memastikan persempadanan semula yang adil, SPR tidak boleh hanya menambah kerusi baru di kawasan yang mempunyai jumlah pengundi yang tinggi, khususnya kawasan selatan Johor yang sedang mengalami pembangunan dan peningkatan penduduk yang pesat. Ia mesti juga memberikan komitmen untuk mengurangkan kesenjangan antara kawasan bandar dan luar bandar,” tegas Kit Siang.
Beliau menyarankan SPR agar memastikan kerusi parlimen terkecil di Johor tidak mempunyai kurang daripada separuh jumlah pengundi berbanding kerusi terbesar di Johor.
Penggunaan nisbah maksimum 2:1 antara kawasan bandar dan luar bandar, ujarnya akan memberi sumbangan besar ke arah mencapai matlamat melaksanakan persempadanan semula yang saksama.

No comments:

Post a Comment