Saturday, February 1, 2014

PAS S'wak sokong anak tempatan kerja dengan Petronas

KUCHING: PAS Sarawak menyokong kenyataan Menteri kanan Sarawak Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing yang mencadangkan agar graduan dari Sarawak diutamakan oleh Petronas dalam pengambilan pekerja baru.
Ketua Penerangannya, Andri Zulkarnaen Hamden berkata rakyat Sarawak perlu diberi peluang untuk berkhidmat dengan anak syarikat Petronas yang beroperasi di Sarawak kerana kebanyakan mereka adalah graduan yang mahir dan ramai juga yang mempunyai pengalaman dan terlatih dalam bidang minyak dan gas.
"Kita juga mengesa bukan saja Petronas yang perlu mengambil ramai graduan dari Sarawak tetapi syarikat GLC juga perlu memberi keutamaan kepada graduan tempatan," ujar Andri.
Dalam kenyataannya kepada Borneo Post baru-baru, Tan Sri James Masing berkata Syarikat Petroleum kebangsaan, Petronas perlu mengutamakan graduan dari Sarawak untuk ditempatkan dalam organisasi mereka di Sarawak.
Petronas katanya perlu merekrut rakyat Sarawak sendiri yang berkelayakan dalam sektor pengurusan dan teknikal terutama untuk kerja-kerja di Sarawak.
Beliau menambah, rakyat Sarawak mempunyai kepakaran di kedua-dua peringkat pengurusan dan tahap teknikal kerana fakta telah menunjukkan ramainya rakyat Sarawak diambil bekerja oleh firma-firma antarabangsa.
Sementera itu Andri juga mencadangkan syarikat-syarikat GLC lain khususnya yang dipunyai kerajaan Sarawak sepatutnya memperuntukan kuota 50 peratus untuk anak tempatan yang berkelayakan dalam bidang pengurusan dan professional.
"PAS Sarawak juga mengharapkan 80 peratus peluang pekerjaan untuk bidang-bidang yang tidak memerlukan kelulusan yang tinggi dan bukan professional diperuntukkan kepada anak tempatan." tambah beliau.
Andri juga berkata, PAS Sarawak menyarankan agar dua syarikat gergasi milik kerajaan Sarawak (GLC) iaitu SESCO dan CAHYA MATA SARAWAK (CMSB) yang masih diterajui oleh bangsa asing juga perlu diserahkan kepada anak Sarawak yang berkelayakan.

No comments:

Post a Comment