Saturday, February 1, 2014

Pengkritik 'Serampang Kajang' gagal fahami politik demokrasi

KUALA LUMPUR: 'Serampang Kajang' merupakan strategi politik untuk mengalahkan BN yang korup dan zalim, kata Naib Presiden PKR, R Surendran.

Ini, katanya tidak bercanggah dengan hasrat dan kemahuan rakyat; malah, ianya adalah demi kepentingan rakyat.

Beliau menyatakan demikian merujuk kritikan berkenaan perletakan jawatan bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh dan keputusan PKR untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.

“Banyak kritikan yang diterima hingga kini lebih bersifat reaksi menyentap, belum difikirkan dengan mendalam dan kurang memahami politik kepartian dan pilihanraya,” jelasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau menjelaskan, pilihanraya merupakan asas strategi bagi mana-mana parti politik di dalam sesebuah demokrasi moden.

Kata beliau, ia hak sesebuah parti politik untuk meminta rakyat membuat pilihan sebagai satu langkah strategi politik, sama ada melalui pilihanraya kecil atau pilihanraya umum.

Menurutnya, gengan menggunakan pilihanraya untuk meraih kelebihan politik, PKR/Pakatan Rakyat sebenarnya memperkukuh sistem demokrasi sedia ada.

Katanya, penggunaan pilihanraya sebagai langkah strategi yang sihat perlu dipupuk dan digalak.

“Pakatan Rakyat berniat menambah kekuatan dengan penggunaan sistem pilihanraya secara sah; ini berbeza apabila dibandingkan dengan BN yang melemahkan pilihanraya, dan menyalahguna kuasa eksekutif untuk menindas dan menganiaya musuh untuk terus memegang kuasa,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Serai berkata, pilihanraya kecil merupakan satu cara yang amat baik untuk mendengar suara rakyat; setiap pilihanraya kecil yang diadakan mengukuhkan demokrasi, dan mengiakan demokrasi penyertaan.

Justeru, katanya pengkritik 'Serampang Kajang' mungkin gagal mengamati bahawa sebuah demokrasi moden tidak boleh berfungsi dengan baik tanpa pertandingan sihat antara parti-parti politik yang menginginkan kelebihan politik.

“Kelebihan ini boleh diperolehi melalui cara-cara yang sah dan dibenarkan, termasuklah pilihanraya kecil,” jelasnya lagi.

Menurutnya, mereka turut terlupa kata-kata dan semangat yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menimbang malah membenarkan situasi-situasi sebegini.

“Perkara 51 membenarkan seseorang wakil rakyat untuk meletakkan jawatan tanpa sebab atau syarat. Perkara 51 ditulis untuk membolehkan pilihanraya kecil sebagai satu strategi politik,” katanya lagi.

Pengamal undang-undang itu menambah, memaksa berlakunya pilihanraya kecil adalah strategi politik yang diamalkan di pelbagai negara demokrasi matang.

Jelasnya, pada 2008, Ahli Parlimen David Davis telah meletakkan jawatan dari House of Commons, UK untuk memaksa berlakunya pilihanraya kecil demi memberi fokus kepada isu kebebasan awam.

Pada tahun 1986, katanya kesemua Ahli Parlimen Unionist telah meletakkan jawatan dari parlimen UK sebagai satu strategi politik.

Beliau berkata, berbeza dari apa yang dikatakan pengkritik, tiada apa-apa kesalahan dalam memaksa berlakunya pilihanraya kecil sebagai satu strategi politik.

“Mereka yang berkata pilihanraya kecil itu membazir wang ringgit mungkin tidak faham bahawa tidak dapat tidak wang ringgit memang terpaksa dibelanjakan demi menghidupkan sesebuah demokrasi.

“Fokus mereka sepatutnya kepada pilihanraya yang bersih, bukannya demokrasi yang murah,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment