Thursday, November 28, 2013

2 calon SPM, seorang PMR ditahan terlibat aktiviti jenayah siber

Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) ditahan Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana terlibat dengan aktiviti jenayah siber.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, ketiga-tiga suspek berumur antara 15 dan 18 tahun itu ditahan kerana mengoperasikan laman web untuk memuat turun dan menayangkan filem-filem tempatan tanpa kebenaran pemilik hak cipta.


Beliau berkata, mereka ditahan di rumah masing-masing dalam serbuan Ops Spyglass yang dijalankan pada 29 Oktober dan 8 November lalu di Selangor serta Pulau Pinang.
"Serbuan dilakukan setelah kami menerima aduan daripada pemilik hak cipta dan orang ramai tentang aktiviti jenayah siber yang melibatkan filem tempatan seperti KL Gangster 2, KL Zombie dan Tanda Putera.
"Laman web tersebut adalah www.allinoneattheremovies.blogspot.com yang beroperasi di Selangor dan www.pjsenter.com serta www.piratebytez.com yang beroperasi di Pulau Pinang," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Serbuan yang disertai 10 penguat kuasa itu turut mendapat kerjasama daripada pegawai Cybersecurity Malaysia (Cybersecurity) yang memberikan bantuan teknikal semasa pemeriksaan.
Mohd. Roslan berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas tiga komputer riba, masing-masing dua router dan modem serta satu unit jalur lebar yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM12,000.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek kini diletakkan di bawah jaminan polis dan tindakan akan diambil setelah urusan peperiksaan persekolahan mereka selesai.
"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 1(G) Akta Hak Cipta 1987.
"Sekiranya disabit kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan sekurang-kurangnya RM2,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, berdasarkan soal siasat, suspek memaklumkan filem-filem yang disediakan diperoleh daripada laman web lain.
"Antaranya www.ganool.com yang beroperasi di Jawa Timur dan http://pencurimovie.sx/serta http://moviepecah. blogspot.com/ dipercayai beroperasi di Eropah.
"Pihak penguat kuasa akan mengenal pasti pemilik laman web berkenaan dan mengambil tindakan kepada mereka, buat masa ini notis halangan akses dikeluarkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa memantau aktiviti siber anak-anak masing-masing supaya mereka tidak melakukan sebarang perkara menyalahi undang-undang.

No comments:

Post a Comment