Thursday, November 28, 2013

Hutang negara sekarang hampir di paras siling



Jika dijumlahkan hutang kerajaan sebanyak RM529.6 bilion dengan jaminan kerajaan berjumlah RM147.3 bilion, ia akan membentuk sebanyak RM676.9 bilion.

Jumlah itu menyumbang kepada 68.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sedangkan paras hutang ditetapkan Akta Pinjaman Tempatan (1959) iaitu 55 peratus.

Jaminan kerajaan bermaksud hutang yang perlu dilangsaikan kerajaan sekiranya badan berkanun atau syarikat milik kerajaan gagal melunaskannya.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, situasi sekarang hutang negara berada hanya kurang 1.4 peratus lagi daripada paras siling di bawah Akta Pinjaman Tempatan (1959).

“Perlu diingatkan sekiranya angka hutang melebihi kadar 55 peratus berbanding KDNK, ia telah melebihi angka maksimum yang ditetapkan Akta Pinjaman Tempatan 1959.

“Jika ia berlaku, negara sebenarnya sudah di ambang bankrap,” katanya di sini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan baru-baru ini memberitahu parlimen, kadar hutang negara meningkat kepada 53.6 peratus berbanding KDNK sehingga September tahun ini.

Menurutnya, hutang negara sekarang berjumlah RM529.6 bilion, yang disifatnya masih lagi dalam keadaan terkawal.

Sebelum ini kerajaan juga memberitahu badan berkanun dan syarikat kerajaan berhutang sebanyak RM147.3 bilion, yang dikategori sebagai tanggungan dan bukan hutang kerajaan.

Aslani M
Harakahdaily
 

No comments:

Post a Comment