Thursday, November 28, 2013

Novel Dilancar PM Diharamkan JAKIM

Novel pengarang terkenal Faisal Tehrani yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun lalu kini diperakukan haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas dakwaan mempunyai mesej Syiah.

Penolong Pengarah Seksyen Akidah Jakim Mohd Aizam Mas'od dilaporkan berkata, berlaku penyusupan idea ajaran itu melalui novel berjudul Perempuan Nan Bercinta itu.

"Ini sangat bahaya kerana penulisannya mempromosikan Syiah dan mutaah, antara hujahnya adalah mutaah bukan bertujuan seks tetapi menghalalkan pergaulan antara lelaki dan wanita... malah penulis juga bermain dengan pemikiran rasional orang ramai.

"Namun, buku ini sudah diperakukan haram oleh Jakim.

"Antara buku Syiah lain yang juga sudah diambil tindakan adalah Meniti Titian Kebenaran, Akhirnya Kutemui Kebenaran, Dialog Sunnah Syiah dan Salafi Wahabi," beliau dipetik sebagai berkata.



Juga dilancarkan di Seri Perdana

Justeru, Mohd Aizam menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati supaya tidak terjerat dengan fahaman Syiah kerana pengikut mereka menggunakan cara halus atau secara tidak langsung untuk menarik umat Islam menyertainya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ceramah Perdana Maal Hijrah dan Wacana Bakti bertajuk "Kesesatan dan Fahaman Syiah" anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).

Buku Faisal Tehrani (kiri), atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa itu dilancarkan perdana menteri bersama 29 lagi buku karya asli Terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada awal Julai tahun lalu.

Tahun lalu, beberapa hari selepas pelancarannya, juga di Seri Perdana, Aizam memberitahu Malaysiakini, Jakim sedang menimbangkan pengharaman novel itu selepas terdapat aduan diterima.

Sebuah lagi novel Faisal Sebongkah Batu di Kuala Berang turut diharamkan Jakim sebelum ini.

Novel itu dipercayai novel pertama diharamkan selepas kemerdekaan.

Perempuan Nan Bercinta mengisahkan pengalaman Dr Tengku Idora, seorang feminis yang berkenalan dengan Prof Dr Ali Taqi menerusi Bastian, kekasihnya.

Perkenalan itu membantu perubahan tanggapan Tengku Idora daripada seorang feminis melulu kepada feminis yang bersandarkan ketokohan anak perempuan Rasulullah Saidatina Fatimah az-Zahra.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi pengarang berhubung langkah terbaru Jakim itu.-mkini 

No comments:

Post a Comment