Friday, January 3, 2014

Bughah: Harussani didesak tarik balik 'fatwa' songsang

MELAKA:Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka menggesa Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menarik balik fatwa yang menyatakan bahawa peserta Himpunan Turun sebagai Bughah dan dihalalkan darah mereka.

Ketua Penerangannya, Mahani Othman Basir berkata fatwa tersebut amat merbahaya kerana dibimbangi ianya akan digunapakai oleh pihak berkuasa untuk bertindak memerangi rakyat pada himpunan seumpama itu pada masa hadapan.

"Mana mungkin peserta Himpunan itu adalah penderhaka kerana mereka taat kepada undang-undang tidak melakukan kekacauan, tidak membawa senjata, hadir dengan niat untuk membantah kenaikan harga barang dan kos kehidupan yang tinggi"

"Mereka adalah pembayar cukai, ada yang bekerja sebagai penjawat awam dan kakitangan kerajaan. Senjata yang ditemui dan laporan yang menyebut mereka melakukan kekacauan amat diragui" ujar beliau dalam kenyataannya di sini pagi ini.

Mahani berkata Mufti Perak tersebut mesti cermat mengeluarkan fatwa dan sepatutnya berbincang dengan mufti-mufti lain serta Majlis Fatwa kerana dibimbangi ianya tidak melihat kepada keseluruhan isu dan keadaan yang sebenar.

"Nampak jelas beliau berat sebelah dalam mengeluarkan fatwa sedangkan pada masa yang sama beliau hanya berdiam diri terhadap rasuah, ketirisan, penyelewengan dan sebagainya seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara saban tahun"

"Kami memohon rakyat Malaysia khususnya umat Islam meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin tentang isu ini. Ianya boleh dijadikan pencerahan kepada isu ini" tambah beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Bukit Katil.

Dewan Ulamak PAS Pusat semalam menyifatkan kenyataan Mutfi Perak yang melabel perserta perhimpunan pada 31 Disember lalu sebagai 'bughah' (pemberontak) dan halal darahnya, sebagai fatwa songsang.

Ketua penerangan dewan itu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, 'fatwa' Harussani itu sangat mendukacitakan dan menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum bughah.

No comments:

Post a Comment