Friday, January 3, 2014

Ketua Pengarah Esscom wajar diberi kuasa tambahan

LAHAD DATU:Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) Jaini Ating menyifatkan cadangan agar Peguam Negara segera mengkaji kemungkinan memberi kuasa tambahan yang sesuai kepada Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), wajar diberi pertimbangan.
  
Beliau berkata ini kerana setiap kali isu keselamatan dibangkitkan, Esscom menjadi sasaran sedangkan peranan Esscom hanya tertumpu kepada menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone).
  
"Persepsi rakyat ialah Ketua Pengarah Esscom mempunyai kuasa perintah atau command untuk semua operasi keselamatan dan pertahanan di pantai timur Sabah.
  
"Dalam hal ini, kami di Pengasah menyokong agar bidang kuasa Esscom diperjelaskan kepada umum, dan berharap ketua pengarahnya diberi kuasa tambahan untuk tujuan memantapkan kawalan dan pemantauan keselamatan di Esszone," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
  
Jaini berkata demikian bagi mengulas kenyataan Aktivis Sosial Sabah Datuk Patrick Sindu semalam yang meminta kerajaan persekutuan, khususnya Jabatan Peguam Negara, menjelaskan secara terperinci bidang kuasa Esscom, terutama berkaitan keselamatan di Esszone.

Patrick juga dipetik sebagai mencadangkan agar Peguam Negara segera mengkaji kemungkinan memberi kuasa tambahan yang sesuai kepada Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek bagi meningkatkan keberkesanan kawalan dan pemantauan keselamatan di Esszone.

Jaini berkata Pegasah turut mengulangi cadangannya agar ibu pejabat Esscom dipindahkan ke Sandakan yang lebih strategik dari segi kedudukan geografi iaitu di tengah-tengah kawasan Esszone yang merangkumi 10 daerah dari Kudat hingga ke Tawau.
  
Bagaimanapun, katanya, Pengasah mahu pejabat Esscom sedia ada di Lahad Datu dikekalkan.
  
"Kita juga mahu Esscom menimbang agar pejabat Esscom diwujudkan di setiap 10 daerah terbabit. Kerjasama erat pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan itu seharusnya bukan sahaja wujud di peringkat pengurusan pusat Esscom tetapi di setiap peringkat termasuk pengurusan keselamatan di daerah terbabit," katanya.
  
Jaini juga berharap agar persatuan yang mewakili masyarakat nelayan Sabah itu dilibatkan dalam apa juga aktiviti yang dianjurkan oleh Esscom dan juga lebih banyak rakyat tempatan Sabah diberi peluang menganggotai pasukan keselamatan dan pertahanan Esscom.
  
Penubuhan Esscom diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melawat Lahad Datu pada 7 Mac lepas bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri ini susulan pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo pada Februari tahun lepas.
  
Esscom adalah ejen penguat kuasa Esszone yang meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna. - Bernama

No comments:

Post a Comment