Friday, January 3, 2014

Bughah: Mungkin untuk mencari tempat dalam kerajaan


Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mendesak Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menarik balik tuduhan bughah (pemberontak) kepada rakyat Malaysia yang menyertai himpunan Turun pada malam 31 Disember lalu di Dataran Merdeka. 

AJK DMPP, Dr Asiah Ali menegaskan, tujuan himpunan itu untuk memberi isyarat kepada kerajaan BN bahawa rakyat sudah terbeban dengan kenaikan kos hidup dan bukan untuk menggulingkan kerajaan. 

Menurut beliau, rakyat mahu meluahkan perasaan terhadap tekanan hidup yang semakin bertambah supaya didengar oleh pimpinan kerajaan BN.

Katanya, bantahan rakyat itu dilakukan secara demokrasi terhadap kerajaan BN yang tidak melaksanakan dasar-dasar Islam sebaliknya penuh dengan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. 

"Peserta himpunan Turun mahu mengingatkan kerajaan BN supaya sentiasa beringat dan berwaspada tidak menaikkan kos hidup sesuka hati kerana rakyat sekarang bertambah cerdik," tegasnya. 

Tambah beliau rakyat boleh menegur kerajaan bahkan wajib menegur segala kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan. 

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiyah DMPP memetik hadis Rasulullah yang mengingatkan pemerintah supaya mendampingi ulama tetapi jika ulama suka mendampingi pemerintah ia tidak digalakkan dalam Islam. 

Katanya, ulama ada dua golongan iaitu ulama us-suk dan ulama akhirat yang menegur kerajaan jika melakukan perkara yang tidak betul sebab itu dalam kerajaan Islam penasihat mereka adalah ulama. 

Beliau menjelaskan, empat eleman yang ada pada kerajaan iaitu ulama iaitu keilmuan yang ada pada mereka dan boleh menunjukkan jalan kepada negara serta keadilan para pemerintah. 

Ditambah pula dengan sumbangan para hartawan kepada rakyat serta doa orang miskin, tegasnya. 

Beliau menegaskan, jika benar Harussani mengeluarkan fatwa begitu ia amat tidak betul dan mungkin memperalatkan diri sendiri untuk mendapatkan tempat dalam kerajaan. 

"Ulama seperti ini akan menyesatkan pemimpin dan rakyat maka tidak akan wujud negara aman, makmur dan sejahtera," katanya. 

Bekas Prof Madya Pendidikan Islam UiTM itu menegaskan, jika rakyat dikatakan penderhaka, mereka membawa senjata dan menentang kerajaan yang melaksanakan dasar Islam. 

Katanya, tetapi jika rakyat menentang secara demokrasi kerajaan tidak boleh menganggap mereka sebagai penderhaka atau mengambil tindakan kasar sehingga melibatkan tumpahan darah. 

Sehubungan itu beliau mewakili DMPP mendesak Harussani mesti menarik balik tuduhan bughah terhadap peserta himpunan Turun kerana mereka meluahkan rintihan secara demokrasi.

No comments:

Post a Comment