Friday, January 3, 2014

Pecat guru KAFA: Pengarah YIT tidak wajar tanggung dosa Umno


Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) tidak harus menanggung dosa pemimpin Umno malah menambahkan dosa peribadi dengan bercakap tidak benar dan menafikan tindakan memecat guru KAFA di negeri ini didorong oleh sentimen politik, kata Pesuruhjaya PAS negeri, Satiful Bahri Mamat(gambar).

Menurut beliau, kesalahan yang dilakukan pemimpin Umno yang menerajui kerajaan negeri tidak wajar dipikul para pegawai yang tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Satiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka berkata, seorang pegawai YIT melalui catatan di laman sosial mengakui bahawa seorang guru KAFA mestilah menyokong Umno sekiranya mahu terus mengajar.

"Beliau (pegawai YIT tersebut) juga mendedahkan kebenaran dakwaan bahawa setiap guru yang mahu disambung perkhidmatannya mestilah mendapat sokongan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," tegas Satiful.

Malah tambah Satiful, seorang lagi pegawai YIT telah mendedahkan bahawa arahan pemecatan guru-guru KAFA itu datang dari Menteri Besar sendiri.

"Menghukum seseorang yang tidak bersalah adalah satu tindakan yang zalim dan berdosa, begitu juga tindakan memecat mana-mana pegawai atau kakitangan semata-mata kerana politik kepartian," tegasnya lagi.

Sehubungan itu, Satiful menyifatkan tindakan kerajaan negeri yang diterajui  Ahmad Said itu sebagai "sangat tidak berperikemanusiaan" walaupun guru-guru KAFA yang dipecat adalah kakitangan kontrak.

"Tidak ada belas ihsan langsung kepada guru-guru tersebut yang juga ibu bapa, mereka hilang mata pencarian ketika sibuk menghadapi persiapan anak-anak untuk kembali ke sekolah," ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan slogan 'Merakyat Pentadbiran dan Pembangunan' yang sering dilaungkan kerajaan BN negeri sedangkan ia tidak berlaku adil kepada rakyat.

"Dengan tegas  saya mendesak Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said, kerajaan negeri Terengganu dan Yayasan Islam Terengganu agar menarik balik pemecatan dan penamatan kontrak guru-guru KAFA tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment