Friday, January 3, 2014

'Fatwa' Harussani songsang, menyesatkan - Dewan Ulamak

Dewan Ulamak PAS Pusat menyifatkan kenyataan terbaru Mutfi Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang melabel perserta perhimpunan pada 31 Disember lalu sebagai 'bughah' (pemberontak) dan halal darahnya, sebagai fatwa songsang.

Ketua penerangan dewan itu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, 'fatwa' Harussani itu sangat mendukacitakan dan menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum bughah.

"Kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani bahawa para demonstrator pada 31 dis 2013 di Dataran Merdeka baru-baru ini sebagai "bughah" dan "halal darah" amat mendukacitakan kerana ia menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum bughah dalam Islam.

"Ia satu penyelewengan fakta tentang hukum-hakam Islam yang sangat ketara dan menyesatkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, 'bughah' atau pemberontak dalam Islam ialah penentangan bersenjata oleh rakyat terhadap kerajaan Islam dan ia termasuk sebagai salah satu kesalahan jenayah hudud dalam Islam.

Sedangkan katanya, peserta himpunan pada itu hadir dengan tangan kosong dan membawa sepanduk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap urus tadbir negara yang membawa kepada peningkatan kos hidup.

Tambah beliau lagi, takrifan pemberontak dalam perlembagaan Malaysia merujuk kepada melancarkan peperangan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara bagi Malaysia.

"Adakah peserta perhimpunan 31 Dis 2013 turun berhimpun dengan senjata menentang pemerintah?

"Sangat jahil seorang mufti yang mengkategorikan mereka ini sebagai pemberontak. Lebih malang dan merbahaya apabila darah demonstrator ini pula diisytiharkan sebagai halal darah," ujar beliau lagi.

Kenyataan mufti itu kata beliau lagi satu 'fatwa' yang sangat berbahaya yang boleh membawa kepada huru-hara kepada negara dan tergugatnya keharmonian antara rakyat.

"Sangat dibimbangi "fatwa" seumpama itu membawa kepada pertumpahan darah sesama rakyat.

"Saya menyeru seluruh pihak yang prihatin terhadap keamanan bernegara dan keharmonian bermasyarakat membantah kenyataan-kenyataan songsang seumpama ini," tegasnya.

No comments:

Post a Comment