Saturday, January 25, 2014

GST: Melayu ditipu lagi


SEREMBAN: Lebih 300 orang hadir pada 'roadshow' kempen "Faham GST, Tolak GST" yang diadakan di Dataran Tok Dagang, Paroi malam tadi.

Kempen anjuran Pakatan Rakyat yang bakal menjelajah ke seluruh negara itu bertujuan memberi penerangan kepada rakyat mengenai kesan yang akan dihadapi mereka apabila kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April 2015 nanti.

Pakar Ekonomi, Dr Rosli Yaakob dalam ucapannya memberitahu GST adalah satu sistem cukai yang dilaksanakan jika sesebuah negara itu berada dalam kedudukan kewangan dan ekonomi yang teruk.

Jelasnya, jika GST itu dilaksanakan maka sebuah kerajaan yang memiliki negara yang teruk dari sudut kewangan mahupun ekonomi dapat memperolehi sumber pendapatan dari rakyat secara mudah.

"Kita kena faham, GST ini hanya dilaksanakan pada sesebuah negara yang teruk sumber kewangannya, mereka tidak ada sumber lain dan secara mudah dengan GST dapat mengambil wang rakyat bagi sumber kewangan.

"Tetapi Malaysia merupakan negeri yang kaya, sumber kewangan kita tetap ada dari cukai perniagaan, sumber minyak dan pelbagai hasil bumi.

"Jadi kenapa kerajaan terpaksa melaksanakan GST, ini bukti jelas kedudukan kewangan negara makin teruk sehingga ia dilihat tidak seimbang dengan sumber pendapatan negara," jelasnya.

Tegas beliau, pentadbiran di bawah Barisan Nasional (BN) mengamalkan konsep berbelanja terlebih dahulu baru memikirkan tentang hasil.

"Konsep BN ini menyongsang mereka berbelanja dulu baru fikir hasil. Jadi bila terlebih belanja boros baru pening kepala nak cari pendapatan.

"Akhir sekali BN ambil jalan mudah dengan melaksanakan GST, duit rakyat diambil untuk tampung perbelanjaan yang boros.

"GST menjadi platform mereka dari BN untuk kemewahan tanpa memikirkan perit rakyat, bagi mereka asal dapat berbelanja mewah dan apa berlaku itu masalah lain," sambung beliau.

Dr Rosli yang memberitahu kempen kerajaan mengatakan GST menjadikan membolehkan orang Melayu mendapat untung adalah satu penipuan serta mengelirukan rakyat.

"Penipuan dilakukan BN melalui iklan-iklan di media dan juga papan tanda mengatakan orang Melayu mendapat untung dari GST.

"Siapa yang untung sebenarnya, rakyat yang bayar cukai ke untung, yang pastinya keuntungan adalah mereka yang selalu berbelanja dan yang boros.

"Duit masuk banyak jadi boleh bermewah tanpa ada had sempadan," tegasnya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa agar rakyat terus memberi tekanan agar kerajaan BN tidak dapat melaksanakan GST pada tahun hadapan.

Jelas beliau, sikap kerajaan yang sering kali menekan hidup rakyat tidak harus dipandang ringa dan rakyat perlu menyatakan hak mereka.

"Kita mengharapkan rakyat faham apa itu GST dan apa kesan yang mereka akan hadapi, momentum memberi tekanan kepada rakyat perlu diteruskan.

"Ini bagi memastikan kerajaan takut dengan suara rakyat, seterusnya meraka akan membatalkan pelaksanaan GST," ucap beliau.

Beliau yang dalam nada yang sama turut memaklumkan kedudukan ekonomi negara ini sudah berada pada satu tahan yang semakin parah.

"Saya menjangkakan ekonomi kita semakin teruk, kenaikan harga minyak akan berlaku pada tahun begitu juga harga-harga lain.

"Kerajaan terpaksa melakukannya bagi menampung pendapatan negara, mereka perlu lakukannya sebelum GST dilaksanakan.

"Kita akan melihat selepas April 2015 nanti, kadar harga barang berada pada satu tahap yang paling maksima dan pada waktu itu rakyat akan tahu apa yang sepatutnya mereka lakukan," sambung beliau.

Jelasnya, pelaksanaan GST pasti akan dilakukan oleh kerajaan kerana mereka berpendapat BN berada pada saat akhir pemerintahan mereka dan ini hanya jalan untuk mereka mengumpul kemewahan.

Turut hadir pada kempen tersebut adalah Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong dan beberapa pimpinan PAS Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment