Saturday, January 25, 2014

Sayangnya Najib membaiki labu


TIDAK pasti berapa ramai lagi rakyat Malaysia yang percaya tentang apa juga penjelasan Perdana Menteri Najib Razak mengenai apa jua perkara.  Beberapa hari lalu, dengan wajah selamba yang sudah hilang seri dan komersialnya, Najib muncul di perhimpunan bulanan kakitangan Kementerian Kewangan.
      
Bercakap kepada kakitangan kementerian berkenaan seolah-olah bercakap kepada seluruh negara, Najib tidak ketinggalan menyelitkan perihal ejekan dan cemuhan ‘kangkung’ yang diterimanya dari rakyat Malaysia pelbagai lapisan.  Namun, seseorang boleh membayangkan berapa ramai percaya atau yakin dengan penjelasan beliau.
  
Untuk menekankan kononnya beliau sememangnya faham konsep penawaran dan bekalan dalam pengurusan ekonomi makro (ekononi negara), menurut Najib  tujuan beliau (dibaca, menarik dan mengurangkan subsidi; membiarkan kenaikan barangan dan perkhidmatan tanpa apa juga bentuk mekanisme kawalan; membiarkan matawang ringgit berada pada paras terendah di tukaran wang asing akibat simpanan luar yang terlalu berlebihan, iaitu bernilai sembilan bulan import tertahan berbanding tiga bulan import tertahan sebagaimana diamalkan oleh kebanyakan negara termasuk negara kaya dan maju; membiarkan hutang negara menghampiri had dibenarkan undang-undang sehingga pengkadaran kredit antarabangsa mengalami penurunan gred; dan macam-macam lagi), "bukan untuk membebankan rakyat,  tetapi mencapai lonjakan negara maju dan berpendapatan tinggi yang tidak mungkin berjaya tanpa lonjakan ekonomi."

obses perkataan
  
Tidak dapat dinafikan kebanyakan ahli politik Umno terkena penyakit ‘obses perkataan’ apabila menjadi pemimpin dan apatah lagi apabila menduduki jawatan kerajaan.  Perkataan kegemaran Najib ialah ‘transformasi’.  Sikit-sikit transformasi seolah-olah dengan jentik jari eknomi Malaysia boleh menjalani proses perubahan struktur semalaman.
  
Tujuannya sudah tentulah bagi menceritakan kepada rakyat Malaysia dan dunia, dia tahu apa yang dilakukannya dan dia memiliki resepi yang tidak ada pada sesiapapun termasuk pakar ekonomi terulung sekalipun.
  
Kini Najib bercakap tentang ‘lonjakan negara maju dan berpendapatan tinggi’.  Apakah Najib secara serius yakin, Malaysia akan menjadi negara maju dan rakyatnya akan berpendapatan tinggi’ hanya dengan satu ‘lonjakan’?  Apakah usaha menyusun semula struktur ekonomi sesebuah negara seperti melonjakkan diri untuk melangkah longkang?
  
Barangkali filem Hollywood ‘The Transformer’ memberikan inspirasi untuk Najib menggunakan perkataan ‘transformasi’.  Kepada minda Najib jika sebuah robot boleh ditukarkan sekelip mata menjadi sebuah trak gempur, maka perihal sama boleh digunakan untuk meyakinkan rakyat Malaysia.
  
Justeru jika adapun sesuatu yang menyerlah tentang Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ialah betapa beliau gemar mencipta atau memperkenalkan istilah baru yang bunyinya cukup ‘bombastik’ kepada rakyat kampung dan mereka yang kurang faham tentang ekonomi.
  
Kini perkataan ‘lonjakan’ kian menjadi perkataan ‘favourite’ Najib.  Walaupun tidaklah sebombastik ‘transformasi’ namun ia memberikan semacam ‘ummph’ kepada resipi ekonomi di awang-awangan beliau.

bukan sekadar lonjakan
  
Begitupun, setiap pakar ekonomi arif betapa untuk menjadikan sebuah negara miskin atau membangun kepada sebuah negara maju bukanlah boleh dibuat dengan hanya sekadar  lonjakan.  Malah jika terdapat usaha gigih ke arah lonjakan sekalipun, ia akan membawa padah.
  
Contoh paling jelas adalah apabila China ketika dipimpin oleh Mao Zedong (yang tak arif tentang ekonomi) melancarkan kempen ‘Lonjakan Besar Kehadapan’ (The Great Leap Forward) di antara 1958 sehingga 1961 bagi mentransformasikan negara tersebut dari berasaskan ekonomi tani kepada ekonomi berasaskan industri.

Akhirnya bukan sahaja kempen tersebut gagal, ‘lonjakan’ yang cuba dipaksakan oleh Mao ke atas rakyatnya mengakibatkan malapetaka berskala besar dalam apa yang dinamakan sebagai  ‘Great Chinese Famine’ (Kebuluran Besar China) dan mengakibatkan sebanyak di antara 18 hingga 45 juta nyawa rakyat terkorban.

Sejarahwan terkemuka Belanda Frank Dikotter dalam bukunya, Mao’s Great Famine merumuskan Lonjakan Besar Kehadapan China bukan menghasilkan motivasi ekonomi tetapi sebaliknya "memotivasikan satu daripada penyembelihan beramai-ramai manusia terbesar dalam sejarah manusia".
  
Lonjakan tajaan Najib bagi mentransformasikan ekonomi Malaysia belum sampai ke peringkat  sebagaimana dialami dalam The Great Chinese Famine.  Tetapi  dengan kadar inflasi pasca-bajet meningkat pada angka 3.2 peratus Disember lalu (sebagaimana dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan) berbanding 1.2 peratus setahun lalu; kenaikan harga minyak sebanyak 10 peratus; tarif elektrik 15 peratus; pelbagai barangan dan perkhidmatan pelbagai peratus.

Matawang ringgit yang terus melemah dengan penurunan 1.5 peratus lagi sejak awal tahun; dan cukai GST serta kenaikan tol lebuhraya yang bakal dikuatkuasakan; dan macam-macam lagi, tidak mustahil Malaysia dan rakyatnya sedang bergerak deras ke arah mala petaka ekonomi.
  
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Jika urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya.”
  
Dalam sebutan masyarakat Melayu pula:  "Bagai tikus membaiki labu."    

No comments:

Post a Comment